Monday, June 28, 2010

Khairy, Angkat Sajalah Bendera Putih..

Jawapannya ialah liabiliti.

Khairy Jamaludin ketika ini ialah Ketua Pemuda UMNO merangkap Ketua Pemuda BN sekali gus. Beliau juga Ahli Parlimen Rembau. Ini faktanya.

Secara peribadi, saya agak gementar apabila mahu bercakap tentang kepimpinan Pemuda UMNO. Manusia bernama Khairy ini pada saya, terlalu elitis. Sayangnya, keelitisan yang tergambarkan pada susuk lelaki ini, langsung tak berjaya mempopularkan beliau dalam kalangan anak muda. Khairy terlalu lekas naik dan terlalu menonjol di pentas UMNO. Tak lalu pun tahap balaci.

Bila bercakap dengan rakan-rakan yang seusia, kami selalu mempertikaikan kedudukan Khairy ketika ini. Popular sangatkah lelaki ini? Ada pandangan juga yang terpacul bahawa Khairy cuba mencipta kewujudannya sendiri dengan mengada-adakan isu dan kontroversi. Ia berhasil pada satu tahap, tapi akhirnya, kami sependapat, Khairy hanya menampakkan kebebalannya sendiri.

Untuk naik ke puncak, kita perlu bersusah payah di denai, mendaki segala cenuram, meredah onak dan belukar. Ini semua selalunya permainan budak kampung. UMNO tidak lahir langsung di bandar besar, juga tidak terus berada di puncak kalau tidak ada pejuang-pejuang yang bersusah-payah di peringkat bawahan, atau tepatnya di peringkat akar umbi. Meski yang menggerakkannya ialah elitis Melayu seperti Dato’ Onn dan Tunku, tapi jiwa mereka tebal Melayu. Melayu itu kenal bangsanya, kenal susah payah bangsanya meredah ribut politik Tanah Melayu ini.

Adakah Khairy mempunyai keunggulan ini? Kita tahu beliau antara pemimpin generasi baru pasca-merdeka. Kita juga tahu, Khairy mempunyai kualiti tertentu untuk memimpin. Itu persoalan bakat yang sesiapa pun ada. Tapi dayakah Khairy kalau sampai hari ini, beliau ternyata masih gagal meraih sokongan peringkat akar umbi yang selama ini menjadi tunjang kepada UMNO?

UMNO bukan parti yang kaya ketika ia dibentuk. Ia parti yang meraih simpati dan sokongan orang Melayu. Kalau Khairy dan gerombolannya sedar akan hakikat ini, saya gembira. Tetapi lihatlah, sehingga hari ini, banyak sekali langkah sumbang Khairy telah menyebabkan UMNO semakin tidak popular. Saya tidak segan untuk mengatakan betapa usaha DS Najib memulihkan UMNO akan terencat kerana adanya lelaki ini dalam dream team Presiden.

Kenapa? Kerana pada saya, Khairy mempunyai kualiti Melayu yang sangat boleh dipertikaikan. Sebagai contoh, beliau terlalu sombong untuk berkonflik dengan Perkasa sedangkan beliau tahu benar, Perkasa itu adalah untuk memperjuangkan nasib kaum Melayu dan bumiputera. Ini langkah lawan arus yang bahaya. Khairy juga masih gagal memenangi hati golongan Melayu muda di seluruh negara. Tanyalah, kalau ada kaji selidik langsung sekali pun, saya yakin tidak ramai yang suka dengan lelaki ini.

Sama ada Khairy melakukan sesuatu, atau beliau berundur dengan kadar segera. UMNO tidak punya banyak masa, dan tidak punya banyak kuasa untuk terus membela golongan elitis oportunis seperti Khairy. Sudah lama beliau berada di kerusi itu, yang di bawah pula terus melihat dan memerhatikannya. Kalau Khairy terus selesa di kedudukan sekarang, saya percaya, beliaulah KP paling teruk pernah lahir untuk UMNO.

1 comment:

Anonymous said...

Syabas penulis ! ketajaman akal yang penting dalam mentadbir negara seperti ditunjukkan oleh Tun Mahathir

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...