Wednesday, January 27, 2010

Calon Pro Aspirasi Disabotaj, Pro-M makin tertekan, guna taktik kotor

Saya sangat terkejut semalam sewaktu melakukan tinjauan bersama rakan-rakan yang lain di dalam kampus. Beberapa helai kain rentang calon yang bertanding telah dikoyakkan dengan sengaja dan dibiarkan berlonggok di tepi jalan. Ada sebahagiannya telah diambil atau disorokkan kerana cebisannya gagal dikesan semula. Perkara ini sangat memeranjatkan kerana tidak pernah berlaku selama ini, dalam sesi kempen, perkara-perkara begini.

Apa yang mengecewakan saya ialah kebanyakan kain rentang tersebut melibatkan calon yang sama. Apakah wujud dendam di sebalik kejadian ini? Soalnya, kenapa sampai begitu? Bersusah payah ia disiapkan akhirnya dikhianati begitu sahaja.

Saya juga sempat mengambil gambar beberapa kain rentang yang telah dikoyakkan sebagai bukti. Kejadian semalam pada saya sungguh terancang. Masakan tidak, dalam masa yang begitu singkat, hampir 10 helai kain rentang berjaya dikoyakkan. Bagaimana ia dilakukan?

Saya bukanlah hendak menuduh atau mencampuri bidang kuasa pihak keselamatan yang sedang melakukan siasatan, namun apa yang berlaku semalam sangat mengecewakan serta menimbulkan bermacam persoalan. Ketika warga kampus sedang tidur dan sebagainya, ada segelintir yang lain begitu tegar melakukan kegiatan terkutuk sedemikian. Apakah standard mentaliti golongan ini?

Seharusnya, kita sebagai warga APEX mengelakkan budaya politik kotor seperti ini. Kita sedang belajar, jadi ambillah ilmu yang baik-baik sahaja. Rasionallah.

Dan pagi tadi, saya diberitahu, pihak Pro-Mahasiswa sudah pun menyerang kem pro aspirasi dengan menuduh pihak pro aspirasi yang melakukannya. Sungguh pantas. Mereka memainkan isu ini di laman sosial facebook. Gambar juga diup-loadkan bagi mengukuhkan tuduhan tersebut. Apa ini?

Pihak pro aspirasi tidak perlu pun melakukan tindakan tersebut. Untuk makluman, pro aspirasi sudah pun membentuk kerajaan kerana kejayaan memenangi sebahagian besar kerusi pusat pengajian yang dipertandingkan. Pihak Pro-Mahasiswa gagal menghantar calon mereka, maknanya, mereka jugalah yang memberikan kemenangan mudah ini kepada pro aspirasi. Jadi kenapa pula pro aspirasi hendak memprovokasi pihak lawan sebegitu rupa? Tidakkah itu menggambarkan akal yang dangkal?

Satu lagi, untuk apa dilakukan tindakan tersebut? Jika benar pro aspirasi yang buat, tentunya ia akan mejadi turning point kepada pihak lawan. Tentunya pro aspirasi sedar perkara tersebut kerana pelajar bukan bodoh untuk menilai. Tentu sekali pro aspirasi tidak akan bertindak sebegitu dangkal dengan mengoyakkan kain rentang lawan, atau mengoyakkan kain rentang calon sendiri supaya dilihat sebagai mangsa. Tentu sekali juga pro aspirasi tidak akan memberikan point terpijak kepada pihak lawan untuk digunakan dalam kempen kali ini.

Kami juga berbincang tentang tindakan yang boleh diambil. Laporan juga sudah dibuat. Namun kami tidak bersetuju secara kolektif untuk memainkan isu ini di facebook atau blog kerana ia akan memberikan kesan yang negatif kepada universiti. Kami hanya menyerahkan perkara ini kepada pihak yang bertanggugjawab sahaja. Malangnya, pihak Pro-Mahasiswa awal-awal lagi sudah bising-bising di laman maya. Sangat memalukan. Kerana itulah saya terpanggil untuk mendedahkan perkara sebenar.

Pada saya, apa pun yang berlaku, perkara sebenar mesti disampaikan supaya para pengundi kelak tidak tersilap memilih lagi. Andaian juga semakin kencang bahawa Pro- Mahasiswa akan memainkan isu ini termasuk isu kononnya disabotaj dalam pemilihan kali ini. Masakan tidak, mereka tidak menghantar calon bagi kebanyakan pusat pengajian khususnya yang selama ini menjadi kubu kuat seperti Ilmu Pendidikan dan Sains Kemasyarakatan. Strategi tersirat mereka sungguh berbahaya kerana ia akan memberikan imej yang negatif kepada universiti kelak.

Desas desus selama ini kononnya kem Pro-Mahasiswa akan menggunakan strategi kempen seperti di kebanyakan universiti lain iaitu dengan menyerang peribadi calon lawan (pro aspirasi universiti) juga sudah berlaku. Insiden semalam adalah bukti jelas betapa budaya politik yang tidak pernah digunakan di USM telah menular di kampus kita ini. Saya sama sekali tidak nampak apakah kewajaran atau keberkesanan strategi ini digunakan.

Pada saya, ini taktikal yang dirancang supaya wujud persepsi bahawa pro aspirasi memang jahat, kejam dan tidak berperikemanusiaan. Satu soalan saya, kenapa pro aspirasi mahu sabotaj calon sendiri pula? Saya berjaga sepanjang malam dan tidak putus-putus melakukan rondaan, bahkan beberapa kali masuk ke kawasan pihak Pro-Mahasiswa bagi meninjau sendiri kempen yang dilakukan. Tidak dinafikan, mereka berkerja sepanjang malam sama seperti jentera pro aspirasi. Jadi bagaimana mungkin pihak yang bertindak mengoyakkan kain rentang tersebut boleh berkeliaran di sekitar kampus?

Saya tidak mempunyai jawapannya dan saya berharap siasatan disegerakan. Pelajar perlu tahu siapakah sebenarnya yang menjadi dalang di sebalik kejadian semalam. Kami mahukan kempen yang aman, yang tenteram dan yang harmoni. Kami mahukan suasana yang matang serta intelek kerana itulah aspirasi kami selama ini, sama seperti aspirasi universiti.

Ingat, kita tetap warga kampus yang sama. Apa salah pro aspirasi yang selama ini menunjangi MPP saban tahun, berkerja untuk kita semua tanpa mengira ideologi, dan tidak pernah melakukan tindakan terkutuk begini? Hari ini, pro aspirasi telah digambarkan sebagai pihak yang sebaliknya. Saya menyeru rakan semua supaya menilai hal ini sebaik mungkin, nilailah berdasarkan rekod kepimpinan MPP Aspirasi selama ini. Buatlah pilihan yang terbaik.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...