SAYA tertarik membaca laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini bertajuk “Drama Lompat Parti Berulang.”
Menurut laporan ini, sekurang-kurangnya sembilan orang wakil
rakyat pembangkang berbuat demikian selepas kali terakhir drama lompat parti
berlaku telah menyebabkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah terpaksa diadakan
baru-baru ini.
Persoalannya, adakah perkembangan ini baik kepada kita semua?
Sesetengah pendapat yang meraikan budaya ini melihatnya sebagai suatu bentuk dinamika
politik tanah air, mencerminkan kematangan dan berorientasikan kepentingan
rakyat.
Bagi yang menentangnya pula berpendapat tindakan para
pemimpin yang mengubah haluan politik
mereka setelah dipilih oleh rakyat atau lebih tepat, pengundi, sebagai suatu bentuk pencabulan hak asasi yang
nyata, bersifat khianat dan tidak bermaruah.
Bagi saya, kedua-dua pendapat ini benar belaka. Namun, dalam
kita membicarakan tentang kematangan politik, mahu atau tidak kita terpaksa
mengakui bahawa “lompat parti” bukanlah suatu tindakan yang wajar dipuji apatah
lagi digalakkan sehingga dibenarkan menjadi budaya dalam masyarakat kita.
Pun, selagi wujud kelompangan yang ketara dalam sistem
perundangan negara dalam kita mengurus isu ini, selagi itulah drama ini akan
berterusan walaupun majoriti rakyat sepakat menolaknya. Justeru kini tiba
masanya untuk kita mengambil pendekatan yang lebih bersungguh-sungguh bagi
menoktahkan episod-episod pembunuhan demokrasi negara secara demokratik ini.
Pertama, perlu segera diwujudkan sebuah akta yang khusus bagi
menghalang para perwakilan daripada meninggalkan parti selepas dipilih dalam
sesebuah pilihanraya, baik di peringkat persekutuan mahupun negeri seperti yang
dilaksanakan di Pulau Pinang.
Kedua, jika langkah pertama gagal dicapai, kita mungkin perlu
memikirkan suatu bentuk pembaharuan secara total terhadap sistem pilihanraya
negara agar tidak lagi berorientasikan calon individu tetapi parti dengan parti
yang menang diberikan hak eksklusif untuk melantik perwakilan ke Dewan Rakyat
atau DUN (Dewan Undangan Negeri).
Percayalah, lebih banyak pembaharuan boleh dilaksanakan jika
kita sepakat menjayakan salah satu cadangan ini.
Persoalannya, bolehkah kita berharap kepada Ahli-ahli Yang
Berhormat yang bertanggungjawab menggubal undang-undang negara untuk melaksanakan
reformasi sistem ini?
No comments:
Post a Comment