Mana lebih demokratik? Parti atau calon (individu) yang bertanding dalam sesebuah pilihanraya?
Pada saya, adalah lebih baik jika pertandingan itu hanya melibatkan wadah dan bukannya antara penganut wadah atau parti.
Umum maklum betapa individu, yakni manusia, mempunyai sekeping hati yang sifatnya amat mudah berbolak-balik. Siang ketetapannya begini, malamnya pula boleh jadi begitu. Hari ini akulah pejuang, esoknya silap-silap menyeberang. Siapa tahu, bukan?
Pun, tulisan ini bukanlah hendak menakutkan sesiapa kerana bukan semua manusia hatinya mudah-mudah saja berubah. Cuma oleh kerana tulisan ini berbaur politik maka tentulah yang akan kita lihat ialah individu-individu politik tak kira apa lambang atau warna partinya.
Muktahir ini kita acap dirimaskan oleh berita-berita tentang ketidaktetapan hati segelintir ahli politik yang mengaku pejuang tetapi akhirnya menyeberang, yang mengaku setia tetapi akhirnya berpaling muka meninggalkan parti dan penyokongnya terpinga-pinga.
Walaupun tindakan itu tidak menyalahi perlembagaan, namun hakikatnya, ia sangat tidak bermoral, jijik dan menghina asas demokrasi yang kita amalkan di sini sekaligus menolak rakyat ke dalam kawah politik yang sedia panas lagi bergelora hampir setiap masa.
Justeru sudah sampai masanya suatu ketetapan dibuat bagi membendung perkembangan yang tidak menyenangkan ini. Tujuannya bukanlah hendak merantai hati sesiapa tetapi bagi memastikan tiada hati yang korup yang akan mencemarkan lagi asas demokrasi kita ini pada masa-masa akan datang.
Untuk itu, saya menyokong penuh lontaran idea Ahli Parlimen Padang Rengas yang mencadangkan supaya pertandingan dibuat antara parti dan bukannya antara calon (individu) seperti kebiasaan.
Cadangan ini bagi saya amat tepat dan kena pada masanya. Jika Akta Anti Lompat Parti dilihat tidak demokratik, maka cadangan Padang Rengas ini wajar disambut sebagai penyelesaian tuntas sekurang-kurangnya pada masa ini bagi mengendurkan ketegangan dan kerisauan politik yang sedang melanda negara pasca PRU-14.
Jika yang bertanding itu parti, sesiapa pun yang mewakilinya akan menanggung beban moral yang berat dan boleh diikat secara langsung untuk memikul tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya. Ini juga akan menjadi peringatan yang jelas kepada wakil tersebut bahawa yang memenangi kerusi ialah parti dan dia hanya wakil yang dilantik oleh parti untuk memimpin di konstituensi tersebut. Jika dia tidak lagi mahu berkhidmat kepada parti, atau berpatah arang berkerat rotan, atau telah korup, dia boleh pergi tetapi kerusi dan jawatannya wajib ditinggalkan.
Setiap parti politik juga perlu bersedia menjayakan aspirasi baharu ini secara menyeluruh termasuk memastikan tiada unsur pemusatan kuasa kepada pemimpin tertinggi dalam parti masing-masing. Jika langkah pengukuhan demokrasi ini boleh dimulakan dari dalam parti-parti politik tanah air, saya tidak lihat cadangan Padang Rengas ini tidak boleh disegerakan.
Mohon menyokong.
Rizuan MH
No comments:
Post a Comment