Tuesday, November 4, 2008

Gersik Gurindam Marzuki Ali

Tanggal 5hb Ogos yang lalu telah menjadi saksi kehebatan seorang lelaki bernama Marzuki Ali. Nama yang begitu gah ini sekali lagi tampil mendeklamasikan bait-bait indah puisi yang digarapnya sendiri. Bertempat di Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah Universiti Sains Malaysia, beliau berdiri penuh pesona dan aura dalam sebuah majlis yang diberi nama “Sejenang Di Wakaf Poetika” dan lantang menghamburkan bicara madahnya lewat beberapa buah puisi yang pernah diterbitkan sebelum ini.
Saya merupakan antara penggemar yang berkesempatan menancapi keunggulan deklamator ini dan tentunya, puisi bertajuk “Gurindam- Belajar Dari Sejarah” menjadi santapan halwa yang paling istimewa buat saya pada pagi itu. Tentunya, sebagai pendatang baru, saya belum pernah mengikuti secara dekat program seumpama ini, apatah lagi hadir untuk mendengar sebuah gurindam disampaikan oleh seorang penggiat sastera yang begitu tersohor, secara langsung betul-betul di hadapan mata. Umpama bonus!
Gurindam seperti yang saya fahami merupakan sebuah bentuk puisi yang bercerita tentang sesuatu hal dan duduk istimewanya dapat dilihat melalui kaedah penyampaian yang digunakan. Dewasa ini barangkali tidak ramai yang arif ataupun bijaksana dalam mereka menyampaikan gurindam mengikut lunas yang asal seperti yang disampaikan oleh Saudara Marzuki Ali. Dan ternyata beliau hadir mengukuhkan fahaman saya itu, sekaligus membuktikan betapa bentuk puisi tradisional masih mampu membawa mood dan suasana baru kepada khalayak pada hari ini.
Saudara Marzuki Ali seperti yang diketahui oleh jagat kesusasteraan baik di tanah air mahupun di Indonesia, malah mungkin juga di Singapura dan Brunei ( mungkin kerana saya belum benar-benar mengenali beliau), ialah seorang deklamator yang punya suara-suara yang nyaring lagi keras sewaktu mendeklamasikan sesebuah puisi. Hal ini jelas ketika beliau mengalunkan gurindam tersebut. Dalam alunan yang gersik, suaranya jelas lantang sekaligus ‘menimbulkan’ bait-bait yang digunakan sehingga mudah ditancap oleh khalayak. Jelasnya tidak sukar untuk menghayati gurindam tersebut kerana kualiti tone suara yang beliau pilih begitu jelas didengar dan tebal dengan penekanan-penekanan pada daerah tertentu bait madahnya.
Lebih daripada itu, keunikan alunan suara oleh Saudara Marzuki Ali juga berjaya mengheret saya untuk turut menyelami dan menyoroti kisah di sebalik gurindam tersebut. Sepintas lalu, Gurindam- Belajar Dari Sejarah cuba mengajak khalayak supaya mengambil pedoman dan iktibar daripada sejarah jatuh bangun Kerajaan Melayu Melaka suatu masa dahulu. Hal ini disampaikan melalui kiasan dan ibarat serta muatan contoh tertentu tentang peristiwa-peristiwa yang pernah menghiasi zaman tersebut sejak dari saat kelahirannya hinggalah era kejatuhan empayar Melayu itu.
Kesimpulannya, Saudara Marzuki Ali telah berjaya membuktikan bahawa bentuk puisi tradisional khususnya gurindam masih mampu menghadirkan elemen baru yang penuh kelainan dan mood yang tersendiri jika disampaikan dengan kaedah yang betul. Buat kita, belajarlah daripada mereka yang tahu selagi ada ruang dan waktu.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...