Kemenangan Pro-Mahasiswa, sebuah gerakan mahasiswa berhaluan kiri dan pro-pembangkang di negara ini di beberapa buah IPTA utama dianggap sebagai petanda kejayaan projek melupuskan kerajaan Barisan Nasional (BN), kata Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fuziah Salleh.
Dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh portal Harakahdaily bertarikh 22hb Februari 2011, Fuziah jelas tidak berselindung di sebalik nama Pakatan Rakyat untuk mengiktiraf kemenangan tersebut sebagai kejayaan perancangan menyahkan kerajaan pusat ketika ini.
Tetapi yang peliknya, bukan tentang kenyataan Fuziah itu. Kita memang tahu Pro-M di mana-mana kampus sekali pun berwadahkan aspirasi perjuangan pembangkang termasuk di USM. Yang peliknya ialah kenyataan penafian daripada Gabungan Mahasiswa Islam (GAMIS) yang ketika ini bertindak sebagai induk kepada gerakan mahasiswa haluan kiri di Malaysia.
Kenapa nak menafikan perkara yang sudah terang nyata? YDP PMI USM sendiri sudah mengistiharkan aspirasi politiknya secara terbuka, malah tidak segan silu lagi berucap di pentas PAS dalam satu demonstrasi menyokong rakyat Mesir baru-baru ini. Beliau juga pernah bersama-sama GMI (Gerakan Mansuhkan ISA) berdemonstrasi di Jelutong pada tahun lepas. GMI memang dikenali sebagai sebuah NGO yang pro-pembangkang dan sebahagian besar aktivisnya pula ialah mahasiswa terutamanya daripada GAMIS.
Istilah “check and balance” juga tidak berlaku dalam erti kata sebenar. Kalau dilihat, Pro-M di USM hanya muncul ketika pilihan raya kampus bermula. Mereka tidak menunjukkan peranan sebenar melainkan lebih banyak melaungkan kritikan yang rendah mutunya, sesekali mengusik dan menjentik kemudian hilang menyepi. Ghairahnya gerakan mereka hanya pada musim-musim pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sahaja.
Sejak tiga tahun yang lepas, Pro-M gagal menghantar wakil yang secukupnya untuk bertanding dalam pemilihan yang dilakukan. Kalau beginilah, bagaimana hendak menjadi suara pengimbang? Mereka hanya tahu menjentik MPP dari luar dan dari jauh sahaja. Lihatlah bagaimana salah seorang wakil mereka dalam Dewan Perundingan Pelajar (MPP) yang lebih banyak diam berbanding berhujah dengan ahli-ahli dewan yang lain. Bila ditanya, kata beliau, banyak hikmahnya bila berdiam diri.
Jadi inikah yang dikatakan "check and balance"? Kepada Pro-M di seluruh negara, saya ingatkan, jangan terlalu ghairah. Kemenangan ini adalah ujian untuk membuktikan segala manifesto yang anda laungkan selama ini. Jangan tahu hanya berjanji sahaja. Jika tersilap langkah, anda akan dikenang sebagai pembohong kepada mahasiswa sejagat.