“Golongan Yahudi dan Nasrani itu tidak akan berdiam diri hinggalah kamu mengikuti agama mereka”- (Al-Baqarah: 120)
Berulang-kali diasak, akhirnya seorang teman mengakui betapa dia terlalu berharap untuk melihat parti kesayangannya, PAS, memimpin sebuah daulah Islamiah di negara ini. Sedangkan, kata teman itu, harapan itu ternyata semakin pudar dan jauh untuk digapai.
Seperti teman itu, di luar sana masih ramai yang menyimpan harapan serupa. Lebih dari itu, setiap yang bergelar muslim mukmin pasti berharap sebuah daulah Islamiah akhirnya berdiri teguh di Malaysia dan di rantau Nusantara yang mempunyai komposisi penduduk Islam terbesar di dunia.
Daulah Islamiah adalah cita-cita dan harapan kita semua. Lantaran itu ia menjadi tanggungjawab setiap diri umat Islam untuk menegakkan cita-cita dan harapan tersebut melalui apa-apa sahaja kekuatan yang termampu.
Namun, dalam konteks muktahir, adakah benar parti kesayangan teman saya itu layak untuk mengemudi jemaah ke arah mendirikan sebuah kerajaan Islam sejati di negara ini?
Inilah yang saya cuba cari dan selidiki termasuk daripada teman saya itu, yang sejak awal akil balighnya hanya kenal PAS dan menjiwai sepenuhnya ruh parti itu dan dibawa hingga ke bumi Mesir. Sekembalinya, malah semangatnya semakin berkobar-kobar. Justeru menjadi sayugia di hati saya kalau-kalau dia boleh mencerahkan kekusutan saya ini. Adakah PAS jawapannya?
Teman saya itu hanya diam apabila saya bertanya tentang mekanisme atau kaedah yang boleh dilakukan oleh PAS dalam usaha menegakkan daulah Islamiah.
Putrajaya adalah simbol kuasa di negara ini. Sesiapa yang berjaya menguasai kota itu, maka dia punya segala kekuatan untuk melaksanakan cita-cita politiknya. Dan kerana daulah Islamiah adalah cita-cita politik PAS dan seluruh ahlinya, maka Putrajaya harus direbut terlebih dahulu. Menguasai Putrajaya, maknanya mendapat bantuan daripada Allah SWT dan PAS semakin hampir, katanya.
Dua persoalan saya lanjutkan. Adakah selama lebih 50 tahun ini Allah tidak membantu perjuangan murni PAS? Dan bolehkah sebuah daulah Islamiah didirikan melalui kaedah barat, iaitu sistem peti undi dalam konsep demokrasi berparlimen? Bolehkah ia dilakukan melalui Pakatan yang disertai PAS sekarang?
Teman saya itu ternyata tidak selesa dengan soalan pertama. Dan dia semakin rimas dengan soalan kedua. Kata teman saya itu, kita tidak boleh mengharapkan kerajaan yang ada sekarang (maksudnya tentulah UMNO) yang sudah 50 tahun berkuasa tetapi tetap tidak melaksanakan Islam. Jadi pilihan yang lebih baik ialah PAS!
Tetapi adakah dia lupa, siapa PAS hari ini?
Apa-apa pun hujah politiknya, saya teguh dengan pendirian bahawa jalan ke Putrajaya tidak boleh dilalui menggunakan tunjuk arah demokrasi yang disediakan oleh orang barat sekiranya kita mahu tegakkan sebuah daulah Islamiah di Malaysia. Kita harus mengambil arah lain yang bertentangan sama sekali. Mustahil? Tidak, sekiranya kita bersatu!
Jawapannya hanyalah melalui persatuan dan penyatuan yang tulen, kukuh dan teguh dalam kalangan umat Islam di negara ini. Tolak tepi kepentingan parti, hatta PAS sekalipun, kerana ia juga sebuah parti politik seperti juga UMNO.
Namun, jika dilihat pada reaksi para pemimpin tertinggi PAS hari ini, harapan asas iaitu penyatuan umat Islam (baca:Melayu) itu pun sudah gagal dicapai. Islam menganjurkan perpaduan, tetapi PAS menolaknya. Jadi bagaimana Islam akan menjadi kuat dan perkasa jika umatnya sendiri tidak mahu bersatu.
Kata teman saya itu, bersatu atas akidah, bukan untuk kuasa. Nah! Tahu pula dia. Seruan UMNO untuk bersatu itu bukan seruan akidah lagikah? Jika PAS bersatu dengan UMNO atas dasar akidah, PAS juga yang untung kerana ia akan mendapat hormat yang tinggi daripada ahli-ahli UMNO yang ternyata lebih ramai berbanding parti itu sendiri.
Dengan menjadi sekutu dalam Pakatan, hala tuju PAS sebenarnya semakin kacau bilau. Jika selama ini orang Melayu mengenali PAS sebagai sebuah parti yang teguh dengan agenda Islamiahnya, tetapi hari ini PAS tak lebih sebagai sebuah parti yess boss dalam Pakatan. Malah, saban hari pelbagai masalah dalaman terdedah. Kalau dulu PAS solid di luar dan di dalam, indah seperti khabar dan dihormati kawan dan lawan, tetapi hari ini ahli-ahlinya sendiri sudah mula tidak mempercayai kemampuan parti itu meneruskan agendanya.
Saya percaya, teman saya itu juga pasti menyedari hakikat ini. Cuma egonya sahaja yang masih membelenggu dirinya daripada keluar dan berpijak di bumi yang nyata.
Kepada teman saya itu dan ahli-ahli PAS yang masih berharap sebuah daulah Islamiah ditegakkan termasuk saya sendiri, percayalah, jalan untuk hudud bukan melalui sistem peti undi tetapi hanya melalui jihad fisabilillah. Usah buang masa dan keringat kita untuk sesuatu yang tidak pasti. Marilah bersatu bersama UMNO demi syiar Islam. Kita pegang amanah Allah SWT ini kuat-kuat untuk imarahkan alam dan negara kita sambil melebarluaskan lagi syiar Islam. Syariat pasti akan tertegak dengan izin Allah pada akhirnya.