Jika diikutkan, saya merupakan antara sebilangan besar penyokong kerajaan yang keras mengecam Najib Razak atas prestasi hambar dalam PRU13 yang lalu.
Saya bahkan menyokong gesaan supaya Najib berundur. Saya turut menyokong gerakan menaikkan TS Muhyiddin Yasin sebagai Perdana Menteri yang baharu.
Saya tak kenal Muhyiddin sebagaimana saya tidak kenal Najib, melainkan hanya tahu mereka berdua ialah pemimpin tertinggi UMNO dan Barisan Nasional.
Saya menyokong UMNO dan Barisan Nasional, jadi saya menyokong kepimpinan mereka sehinggalah Barisan Nasional menunjukkan tanda-tanda kelemahannya yang boleh membawa kepada kekalahan besar dalam PRU14 kelak.
Ya, BN boleh kalah jika Najib terus berkuasa. Itu penegasan saya setiap kali berbincang dengan rakan-rakan tentang perkara ini. Saya tidak menghasut mereka tetapi pada akhirnya, kebanyakan rakan-rakan terpengaruh dengan alasan saya untuk menolak kepimpinan Najib.
Namun, masa berlalu seperti biasa. Najib kekal di sana. Setahun merangkak, akhirnya saya mula melihat Najib sebenarnya seorang pemimpin yang boleh memimpin dan bukan hanya tahu berpolitik sahaja seperti lawannya, Anwar Ibrahim.
Setahun ini Najib bekerja bersungguh-sungguh.
Ramadhan tahun lepas, saya diberikan peluang menyertai Makmal Politik Barisan Nasional yang khusus bertujuan mengkaji kelemahan dalam PRU13 dan merangka cadangan penambahbaikan bagi menghadapi PRU14 kelak. Ia perancangan yang cukup rapi, sekurang-kurangnya itulah penilaian saya dan saya melihat kesungguhan kem Najib untuk mengekalkan pemerintahan Barisan Nasional lagi dan lagi. Saya melihat banyak cadangan sudah, sedang dan akan dilaksanakan.
Hari ini, Najib menghadapi cabaran yang lebih getir yang tiada siapa-siapa pernah menduga sedemikian rupa. Najib menghadapinya selaku Perdana Menteri dan tanpa gentar, menongkah satu per satu dengan tenang.
Saya tidak fikir ujian demi ujian yang turut meninggalkan kesan kepada kita semua sebagai warganegara dan rakyat amnya, adalah suatu balasan akibat kesalahan atau kesilapan yang dilakukan oleh Najib. Siapalah saya untuk menuduh sedemikian - meminjam pesan saran Mufti Menk.
Sebaliknya saya melihat semua cabaran tersebut sebagai rahmat dari Allah kepada kita semua, bahawa; kita memiliki pemimpin yang dipandang oleh Allah SWT dan Allah SWT mengasihinya lalu mengujinya atas kemampuannya.
Hari ini, kita menghadapi krisis dan misteri panjang MH370, dan diuji lagi dengan bencana kemanusiaan yang menimpa MH17 ketika kita siang malam cuba membantu pelbagai negara yang berada dalam kesusahan. Untuk seketika, kita sempat berbangga dengan kejayaan mencetuskan perdamaian di Mindanao. Kemudian, kita berusaha membawa perdamaian di Selatan Thailand dan Burma di samping terus menyokong rakyat Palestina, Syria, Somalia dan lain-lain lagi. Ketika kita berusaha membawa kebaikan, Allah uji pula kita dengan ujian yang maha besar dan berat. Sesungguhnya, Allah SWT sedang memandang kita.
Hari ini, Najib menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-61. Saya fikir, inilah masanya untuk kita mengucapkan "Terima Kasih, PM!" selepas pelbagai cabaran yang dilaluinya. Saya fikir, itulah sahaja hadiah paling bermakna buat Najib. Sesungguhnya, perasaan dihargai adalah perasaan yang paling membangkitkan semangat seseorang untuk terus berbakti. Najib juga manusia. Jadi mari kita hargainya.