Pada masa ini kita perlu berlapang dada menerima dan mengakui keabsahan kerajaan campuran yang diketuai oleh Anwar Ibrahim.
Jika kerajaan “pintu belakang” dan “tebuk atap” boleh
didirikan, kenapa kerajaan perpaduan yang direstui oleh Yang DiPertuan Agong
ini hendak dipersoalkan pula?
Ini mungkin bukan sebuah kerajaan yang ideal
atau menepati kehendak setiap daripada kita keseluruhannya. Tetapi ini adalah
sebuah kerajaan yang berupaya menutup sedikit sebanyak kekurangan yang timbul
setelah kegagalan kita, secara kolektif, membentuk sebuah kerajaan yang
memiliki sekurang-kurangnya majoriti mudah pasca PRU15.
Kita juga perlu berhenti bercakap mengenai
peristiwa-peristiwa lalu terutamanya sebelum jam-jam terakhir menjelang hari
pengundian yang bersejarah itu. Ia tidak akan sama sekali selesai tak kira
berapa banyak hujah kita cungkilkan dan bentangkan. Oleh kerana ia tidak akan
selesai maka ia juga tidak membantu, tidak diperlukan dan tidak lagi penting
untuk diteruskan.
Ya, benar UMNO pernah berikrar menolak DAP dan
Anwar. Semua tahu itu. Tetapi bukankah juga UMNO sepakat menolak PPBM? Bukankah
PAS dan sekutunya kini, PPBM, juga pernah mendodoi Anwar, enak sebantal
berselimut dengan DAP sambil bermimpi menumbangkan UMNO dan BN?
Ini adalah antara contoh naratif yang tak akan
selesai jika dibahaskan. Walaupun kesegarannya masih terasa tetapi ia
sebenarnya naratif lama. Jadi kenapa buang masa dan tenaga bercakap mengenainya
lagi? Buat masa ini simpan saja kemas-kemas. Mungkin apabila tiba masanya nanti
boleh digunakan semula tetapi buat masa ini, simpan dahulu.
Masa depan negara dan rakyat keseluruhannya jauh lebih penting dan bernilai berbanding nilai dan maruah mana-mana parti.