Wednesday, September 9, 2009

ISU POCO-POCO

Poco-poco merupakan sejenis tarian yang melibatkan pergerakan kaki dan tangan serta sebahagian besar anggota badan yang lain dalam rentak tari yang khas berpandukan iramanya yang tersendiri. Itu mungkin definisi mudah, atau gambaran kasar terhadap jenis tarian yang popular ini.

Namun begitu, sejak-sejak akhir-akhir ini, motif tarian ini dicipta dan hubung kaitnya dengan pihak-pihak tertentu mula dipersoalkan khususnya dalam kalangan orang Islam di negara ini. Secara sedar atau pun tidak, tarian ini telah pun mempunyai legasinya yang cukup luas meliputi pelbagai jenis organisasi dan institusi baik awam mahupun swasta di Malaysia.

Kononya, tarian ini dicipta oleh pihak gereja di Filiphina sebagai salah satu ritual keagamaan Kristianiti. Ia ditarikan sebagai satu bentuk persembahan keagamaan yang mempunyai nilai-nilai kerohanian tertentu.

Pada masa yang sama, ada juga pendapat yang secara tegas menafikan hal tersebut. Berdasarkan penelitian sejarah, menurut sesetengah pihak, tarian ini berasal daripada Bali, Indonesia. Ia ditarikan sejak sekian lama, malah menjadi kegemaran atau kesukaan raja-raja ketika itu dan dipersembahkan secara ekslusif di istana.

Pendapat ini mungkin ada benarnya. Jika benar tarian poco-poco memang berasal daripada ritual keagamaan Kristian seperti yang didakwa, kenapa ia bermula di Filiphina?

Persoalan ini ada asasnya kerana Kristian bukanlah agama asal bagi penduduk di negara tersebut, malah kedatangannya juga lebih lewat daripada Islam yang telah lama bertapak di sana.

Justeru jika begitu, sudah pastilah tarian ini datangnya dari jauh, dari Eropah tentunya. Hal ini demikian kerana, dari sanalah Kristian datang ke Filiphina. Ia berkait rapat dengan misi penjelajahan bangsa Eropah ketika itu sendiri yang antara lain untuk menyebarkan ajaran baru Kristian di rantau ini termasuk di Filiphina.

Dan jika benar begitu, maka tentunya tarian poco-poco yang dikatakan merupakan salah satu ritual keagamaan dalam ajaran Kristian akan lebih popular di Eropah, yakni di negara asal ajaran tersebut datang. Tapi setahu saya, tidak pula begitu. Bahkan orang Eropah yang datang melancong ke Indonesia misalnya ketika ini begitu tertarik dengan seni tarian ini.

Isu ini sengaja saya bangkitkan kerana ketika ini tersebar khidmat pasanan ringkas dalam kalangan pelajar khususnya pelajar baru di USM berkenaan dengan tarian tersebut. Tidak dinafikan, memang pelajar baru ada diajarkan tarian ini semasa mereka terlibat dengan program PIMPIN Siswa baru-baru ini.

Antara lain, pesanan itu (secara tidak langsung) cuba menyalahkan pihak pengurusan kerana tidak peka dengan kesahihan bentuk tarian tersebut yang katanya membentuk sebuah salib apabila ditarikan.

Bagi mendapatkan penjelasan tentang hal ini, saya telah menghubungi salah seorang sahabat yang terlibat secara langsung menguruskan program tersebut. Pertama sekali, saya tanyakan adakah beliau sedar tentang bentuk salib yang dikatakan wujud dalam seni tarian poco-poco seperti yang dimaksudkan. Beliau mengakui sedar akan perkara tersebut.

Walau bagaimanapun, menurut beliau, pengubahsuaian telah pun dilakukan ke atas steps atau langkah tarian tersebut sebelum ia digunakan sebagai salah satu bentuk riadah sepanjang program tersebut diadakan. Menurut beliau, nisbah steps atau langkah yang digunakan untuk tarian tersebut ialah 2,2,2,2 dan bukannya 2,2,2,3 seperti yang didakwa.

Kemudian saya hubungi pula seorang junior yang telah pun mengikuti fasa awal program PIMPIN sebelum ini. Soalan yang sama saya ajukan dan beliau memberikan maklum balas yang hampir sama seperti sahabat saya tadi. Beliau menambah, isu ini tidak perlu diperbesarkan kerana ia dilakukan tanpa sebarang bentuk pengaruh ritual keagamaan bahkan, bentuk tariannya juga sudah diubahsuai.

Bagi mendapatkan maklumat yang lebih jelas, saya hubungu pula seorang lagi sahabat yang berasal dari Negeri Sabah. Beliau merupakan bekas penganut Kristian yang memeluk Islam beberapa tahun yang lepas. Daripada beliau saya mendapat gambaran yang lebih jelas.

Menurut beliau, tarian poco-poco memang popular di Borneo tetapi bukan kerana faktor keagamaan sebalikanya kerana faktor geografi dan demografi penduduknya sendiri. Beliau juga menyangkal dakwaan yang mengatakan tarian ini berasal dari Filiphina seperti yang didakwa sesetengah pihak. Tambahnya, perkara ini sukar dibuktikan dan kita tidak boleh bergantung kepada maklumat berangkai seperti yang tersebar melalui internet.

Dan semalam, semasa dalam perjalanan pulang dari PWTC, saya bersama-sama dengan kepimpinan MPP USM sempat berbincang tentang isu ini. Pun, kami tidak mahu segera menghukum sebaliknya mengambil jalan yang lebih berhati-hati selagi duduk benar perkara ini belum disahkan.

Walaupun cerita ini sudah lama tersebar namun belum ada pihak yang tampil mengemukakan pandangan yang sahih dan boleh dijadikan panduan oleh umum.

Salah seorang daripada kami telah menghubungi Mufti Wilayah Persekutuan bagi mendapatkan pandangan beliau. Maklum balas yang diterima, beliau tegas berpendapat bahawa tarian ini tidak boleh diamalkan sama ada dengan niat ataupun tanpa niat keagamaan.

Sementara itu, Ustaz Syahrin, Ketua Biro Pendidikan Pemuda UMNO Malaysia ketika dihubungi menjelaskan, tarian ini haruslah dilihat dari sudut jasmaniah dan bukannya rohaniah. Perbezaan pendapat ini pada saya adalah sesuatu yang biasa dan membolehkan pintu perbincangan dibuka dengan lebih luas sebelum keputusan yang jelas boleh diambil.

Lanjutan itu, saya telah mengunjungi beberapa laman web dan blog umum bagi mencari maklumat tambahan berkenaan isu ini. Antara yang menarik, di laman ILUVISLAM.COM, isu ini rupa-rupanya telah diperdebatkan dengan hangat sekali. Namun, yang menghairankan kenapakah belum ada suara daripada golongan cerdik agama dalam hal ini?

Akhir sekali, saya telah berkunjung ke satu lagi laman sesawang yang banyak mengendalikan soal jawab agama Islam iaitu al-fikrah.net. Dalam ruang forumnya, salah satu soalan yang ditanyakan ialah berkenaan dengan hukum menarikan tarian poco-poco tanpa niat keagamaan.

Jawapan kepada soalan ini agaka menarik iaitu, apa-apa jenis tarian hukumnya adalah harus selagi tidak melibatkan unsur keagamaan dan menyimpang daripada batas-batas syarak.

Hal ini secara tidak langsung memberikan gambaran bahawa tarian poco-poco pada asasnya adalah harus ditarikan. Namun, pada pendapat saya. Ia haruslah tidak dijadikan amalan atau pun rutin secara kerap. Tidak salah untuk belajar. Selain itu, saya juga berpendapat, jika benar tarian ini sudah diubahsuai, maka isu ini tidak perlu lagi timbul.

Berkenaan dengan ketiadaan hukum yang jelas atau garis panduan langsung pula, saya berpendapat, ia tidak perlulah diperdebatkan kerana isu ini tidaklah begitu menekan. Sebaliknya, orang ramai dan pelajar khususnya, haruslah bijak menangai isu ini. Mungkin kita boleh menggunakan hujah daripada Majlis Fatwa Kebangsaan dalam isu senaman Yoga tidak lama dahulu kerana situasinya hampir sama.

Apa-apa pun, pintu perbincangan masih lagi terbuka luas.

6 comments:

Anonymous said...

informatis.ringkas..harap saudara tdk menulis mengikut pandangan sendiri yg direka-reka.teruskan usaha.

Anonymous said...

informatis.ringkas..harap saudara tdk menulis mengikut pandangan sendiri yg direka-reka.teruskan usaha.

Anonymous said...

informatis.ringkas..harap saudara tdk menulis mengikut pandangan sendiri yg direka-reka.teruskan usaha.

Anonymous said...

saya juga tertarik dgn blog ini kerana mudah.nak tinggalkan komen senang sgt

pening said...

kalau poco-poco itu berbentuk salib dan mengamalkannya pula tanpa niat diharuskan, apakah pula perbezaannya jika kita melakukan simbol salib sebagai tanda syukur seperti yang biasa dilakukan oleh penganut kristian juga tanpa niat?

Anonymous said...

niat menjadi pembeza kepada adat dan ibadat. dalam soal tarian poco2 ni..pada pandangan aku, sekiranya kita tidak jelas dengan asal usulnya,baik jangan ikut.kita ada banyak lagi tarian tradisional yg boleh dipraktikkan.malah kita boleh membuat tarian mengikut acuan sendiri,tak perlu ikut populariti luar. kalau benar tarian itu telah diubah suai mengikut kesesuaian kita, rasanya tak salah untuk dipraktikkan..kepada pening, kita kena ingat satu perkara,adalah haram mengikut budaya atau gaya hidup kafir.budaya yg dimaksudkan ketika itu ialah melangkaui definasi kini. ketika itu, liberalisasi tidak sehebat kini. jadi budaya mereka mempunyai kaitan dengan amalan agama. jadi kita kena ingat,adalah haram meniru amalan mereka walaupun tanpa niat.dan sekiranya tarian poco2 itu mempunya kaitan dengan ritual agama, ianya juga jatuh hukum haram untuk diamalkan walaupun tanpa niat.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...