Vell Paari mungkin sedang berseronok dengan konco-konconya atau sedang minum kopi panas yang memabukkan bersama bapanya ketika ini, tetapi lelaki ini telah menyebabkan sekian banyak orang menjadi tidak selesa dan kesal dengan sikap beliau sehari dua ini.
Vell Paari mengusik keharmonian dalam rumah tangga yang ‘ditumpangnya’ khususnya selepas PRU-12 tanpa sedikit pun mahu menyedari bahawa mereka anak-beranak sepatutnya lebih gigih dan komited membaiki segala kebocoran yang berlaku sehingga rumah yang dikongsi selama ini menjadi tidak selesa lagi.
Vell Paari juga seolah-olah sengaja menutup telinga daripada mendengar adik-beradik yang lain bercakap tentang sikapnya yang menjengkelkan itu. Selepas 50 tahun, bapanya masih menganggap partinya adalah juara kepada kaumnya dengan sebahagian besar daripada masa tersebut berada di bawah kepimpinannya.
Kerana itulah, Vell Paari dan bapanya selalu percaya bahawa nasib kaum mereka akan lebih terbela jika dinasti Sammy terus berkuasa di negara ini. Berundurnya Sammy dari arena politik tanah air seperti yang diminta oleh pelbagai pihak hanya akan menyebabkan perjuangan kaum India di Malaysia dalam BN terganggu, dan Sammy sahaja yang mampu mengelakkan perkara tersebut daripada berlaku.
Bercakap tentang BN, kita tidak dapat lari daripada menelusuri sejarah pembentukan gabungan parti tertua ini. BN terbentuk hasil permuafakatan baik antara kaum yang mahu berkerjasama menuntut kemerdekaan negara. Selepas mencapai merdeka, komponen-komponen ini terus kekal bersama sebagai gabungan rakyat dengan pemimpin setiap kaum menjadi pemimpin negara dalam portfolio yang diagihkan bersama.
Selain kuasa, agihan ekonomi juga berlaku dengan penuh semangat perkongsian. Melalui dasar yang ditetapkan, dalam tempoh 5o tahun, rakyat pelbagai kaum di negara ini menikmati hidup yang sejahtera dan semakin bertambah baik dari semasa ke semasa. Seiring itu juga, BN terus menerima adik-adik baru dengan UMNO, MCA dan MIC tetap kekal bersama sebagai ‘abang besar’.
Namun selepas 50 tahun, PRU terakhir baru-baru ini benar-benar menguji BN. Beberapa parti komponen mula dilihat sudah disfungsi dan tidak lagi relevan termasuk UMNO, MCA dan MIC sendiri. Undi protes telah menyebabkan BN hampir-hampir hilang kuasa. Protes tersebut datang daripada semua kaum tak kira Melayu, Cina mahupun India.
Situasi ini tidak akan berlaku jika setiap pemimpin yang ada terus berpegang kepada prinsip perjuangan asal BN. Mereka sebaliknya terlalu yakin dan selesa dengan pencapaian semasa tanpa mahu mendengar suara akar umbi yang sudah mual dan jelak dengan sikap pemimpin ‘lama’ yang seolah-olah cuba memanipulasi sejarah tersebut.
Bagaimanapun, berbanding MIC, dua lagi parti komponen iaitu UMNO dan MCA segera bangkit dan melaksanakan pelan transformasi masing-masing agar kembali relevan dengan politik semasa. 50 tahun diterima sebagai satu tempoh masa yang agak lama untuk sesebuah perikatan politik seperti BN bergerak dengan dasar yang sama tanpa melakukan sebarang anjakan ke arah sesuatu yang lebih positif.
Malangnya, usaha ini tidak disertai oleh MIC. Ke mana hilangnya semangat setiakawan mereka selama ini? MIC seolah-olah membiarkan sahaja UMNO dan MCA serta komponen yang lain berusaha memulihkan imej BN sedangkan pada masa yang sama, MIC jugalah yang paling banyak memalitkan arangnya.
Selain membuat pelbagai tuntutan yang tidak munasabah, terbaru, mereka menuduh pula UMNO menjadi punca kepada segala masalah yang berlaku. Kalaulah hari ini Nik Aziz ialah Presiden UMNO, pasti dia akan cakap MIC sudah mengarut. Karpal Singh pula mungkin akan meminta Sammy dan anaknya itu bertaubat.
Tetapi apa yang berlaku ialah, kedua-dua anak-beranak ini sebenarnya sengaja memberikan ruang yang seluas-luasnya kepada pihak pembangkang dan oportunis sempit untuk menghentam BN. Anak-beranak ini tak ubah macam samseng dalam filem Tamil yang berkuasa dan ego sehingga langsung tidak mahu mendengar nasihat serta teguran pihak lain.
Mungkin juga apa yang berlaku ialah sandiwara yang sengaja dirancang oleh Sammy untuk mengalihkan tumpuan rakyat Malaysia daripada menyokong semburan ‘gas’ terhadapnya. Political assasin itu memang berlaku tetapi ia sebenarnya dirancang sendiri oleh Sammy dengan menggunakan anaknya sebagai mangsa. Vell Paari ‘dibunuh’ oleh bapanya atas nama politik, tetapi sebagai orang India dan penganut Hindu, Vella Paari telah melakukan sesuatu yang mulia untuk menyelamatkan bapanya itu.
Yang menjadi mangsa pada akhirnya ialah UMNO juga kerana terlalu bertoleransi.