Thursday, December 10, 2009

Peranan Stesen Televisyen dalam Pembentukan Minda Kelas Pertama 1Malaysia

Televisyen merupakan mesin hiburan paling mudah, murah dan cepat bagi kebanyakan manusia. Di Malaysia, peranan televisyen juga sangat besar di samping menjadi wadah sebaran informasi. Sekian banyak program hiburan tersiar di layar kaca ini, dari siang membawa ke malam membawa ke siang. Begitulah sehari-hari ia berfungsi. Rumah tanpa televisyen bahkan dianggap primitif, terkebelakang.

Secara peribadi, saya tidak mempunyai masalah dengan perkembangan ini. Namun, sejak belakangan ini ada semacam keghairahan daripada stesen-stesen televisyen untuk memainkan drama-drama dan cerita seram mistikal. Ada antaranya bahkan begitu karut, langsung menyimpang daripada norma manusia waras serta tiada kelogikan yang boleh dipegang.

Perkara ini pernah dibincangkan oleh para ulamak dan cerdik pandai negara. Beberapa gesaaan telah dikeluarkan, begitu juga teguran yang berisi garis panduan juga sudah banyak diberikan supaya cerita-cerita seram yang hendak dipaparkan di televisyen termasuk juga di layar perak tidak melampaui batas keagamaan dan kelogikan. Lebih mustahak juga, ia haruslah berwadahkan ketimuran. Namun, adakah ia berhasil?

Bagi yang biasa menonton slot Lagenda di TV3 setiap petang pasti maklum akan hakikat ini. Tidak cukup dengan itu, slot Seram yang bersiaran setiap Khamis malam turut memaparkan kisah tahyul-mahyul. Lebih menyedihkan, slot Sinetron yang kerap memainkan drama dari seberang hampir kesemuanya menyelitkan unsur kurafat yang pada saya, tidak perlu langsung bagi pembentukan minda masyrakat Malaysia alaf baru ini.

Kenapa perkara ini perlu diberikan perhatian, pada saya, adalah sesuatu yang mesti. Jika kerajaan komited dengan usaha membentuk minda kelas pertama dalam kalangan rakyat, maka ia haruslah juga disertakan oleh peranan daripada media-media utama yang ada pada hari ini. Pun tentu, yang menjadi benteng ialah hasrat mengaut untung lebih sehingga kerap meminggirkan aspek intelek. Persoalannya, sampai bilakah paradigma komersial ini hendak menguasai pemain-pemain media tersebut?

Kita tahu bahawa kebanyakan taikun yang menguasai ekuiti dalam syarikat-syarikat terbabit adalah daripada kalangan cerdik pandai. Selain itu, pihak yang diberikan amanah menerajui perjalanan operasi stesen-stesen ini juga terdiri daripada intelektual bumiputra yang cukup dikenali. Malangnya, untuk memilih program yang boleh mengenyangkan minda penonton, atau rakyat marhaien, nampaknya mereka begitu cuai, atau tidakpun, sambil lewa saja.

Sekali lagi, apa perlunya cerita-cerita tahyul sebegitu ditayangkan? Sungguhpun ada penonton yang menonton dan rating yang direkodkan pula tinggi, tetapi bolehkah ia diukur sebagai sesuatu yang mesti ada atau satu keperluan dalam konteks berhibur? Saya yakin, penonton tidak meminta. Ia lebih kepada strategi test market, kemudian berjaya kerana adanya reaksi yang positif lalu akhirnya menjadi formula yang menguntungkan. Saya juga yakin, penonton tidak akan terkesan jika drama-drama berkenaan tidak ditayangkan.

Adalah malang sekali jika nilai komersial diletakkan di puncak. Namun itulah juga sebenarnya yang berlaku menyebabkan hari ini kita dapat melihat sekian ramai anak muda yang begitu terkial-kial untuk bercakap tentang perkara-perkara serius. Di dalam kelas sebagai contoh, ramai sekali pelajar Melayu yang tidak mampu memberikan contoh terhadap sesuatu isu atau perkara yang dibincangkan dengan konkrit, kreatif dan kritis. Ini adalah masalah pokok yang pada saya akan jadi barah. Ini adalah masalah yang berkaitan dengan minda generasi 1Malaysia. Malangnya, yang telalu terkesan ialah anak-anak Melayu.

Benar, tidak semuanya berpunca daripada televisyen. Banyak lagi faktor seperti kekeluargaan, sikap individual dan sebagainya. Tetapi siapa yang berani menidakkan kenyataan bahawa televisyen jugalah punca utamanya? Semuanya keluar daripada mesin tersebut hingga menyebabkan minda masyarakat begitu dibentuk oleh perkara-perkara yang tidak serius. Yang terkesan akhirnya tetap anak-anak kecil dan muda-mudi kita. Sampai bila hal ini mesti terus berlaku?

Kenapa di Malaysia, semuanya mesti diadaptasi atau ditiru daripada luar? Ke mana perginya daya kreatif orang Malaysia hari ini?

Televisyen meski dianggap juga sebagai alat kecil yang mengeratkan silaturrahim sesama manusia khususnya dalam soal kekeluargaan, namun realitinya, berapa ramai ibu-bapa yang serius berkira untuk menentupilih rancangan yang sesuai untuk anak-anak? Saya lihat sendiri betapa ghairahnya sesetengah keluarga, dari bapa hingga ke anak-anak, bahkan dari datuk nenek hingga ke cucu-cucu, menekuni cerita-cerita tahyul-mahyul tersebut. Pada saya ini terlalu menyedihkan. Ia berlaku dalam keluarga Melayu.

Hari ini kita tidak perlu hanya bercakap tentang peranan orang itu atau orang ini. Jangan lekas juga menuduh ulamak-ulamak dan para ilmuan kita semakin tidak peka dengan kebejatan sosial yang melanda masyarakat di Malaysia khususnya orang Melayu. Yang lebih perlu ialah ketegasan penguatkuasaan daripada pihak berwajib untuk membendung akar punca kepada setiap masalah. Tak guna terus ke pucuk, mencatas ranting yang rosak, atau meruntuhkan dahan-dahan yang mereput kalau di akarnya ada baja yang jahat dibiarkan terus meresapi seluruh pohon.

1 comment:

Anonymous said...

mmg ianya mempengaruhi semua lapisan masyarakat.. tapi fikir, u sendiri juga perlukan sesuatu untuk menghiburkan hati u.. jadi, kenapa perlunya kaitkan juga dengan agama? stesen2 tv memang perlu dihentam kerana menyiarkan cerita sebegitu terlalu banyak.. tetapi bukankah itu salah satu penjana ekonomi negara? ke nak suruh astro ambil channel luar negara plak lepas ni? lingkup la tv local.. kita naikkan pulak tv negara luar.. artis2 melayu pun susah nak cari makan.. atas sebab semuanya tak boleh.. ini tak boleh..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...