Thursday, February 25, 2010

Seronoknya Menghentam...alahai......


Bersama MPP Menjaga Kebajikan, wajar dijadikan motto kita hari ini, mungkin juga untuk tempoh selama mana kita berada di USM.

Kenapa saya berkata begini? Mudah, kerana sungguh kasihan saya lihat bagaimana MPP terus-terusan dihentam oleh mahasiswa USM. Peluru dimuntahkan, sampaikan ada yang tersungkur sambil ditangan masih memegang jemala amanah, pun masih ditembak bertalu-talu.

Pelbagai herdikan dihambur, tak kira di depan di belakang mahupun di mana saja. Maya atau real, di alam Facebook lagi-lagi, MPP dihentam di segenap sudut. Di blog pun juga, apa saja medan yang ada. Mudahnya kita menghentam orang lain. Tak cukup itu barangkali, mulut malah makin lantang. Mesyuarat MPD umpamanya dijadikan ruang paling seronok untuk mengkritik, habis-habisan, terang-terangan, lantang.

Tapi bagi saya, ini orang-orang dayus, berjiwa iri, hasad banyak, mentaliti kepembangkangan yang cukup totok.

Saya kasihan melihat MPP dilanyak begini. Kenapa masih tidak faham tentang duduk benar atau realiti sebenar seorang yang bergelar MPP? Mereka bukan Yang Berhormat di Parlimen. Mereka cuma pelajar, sama seperti kita. Mereka bahkan belajar untuk menjadi MPP yang berjaya dan berbakti kepada mahasiswa. Berilah peluang.

Saya cukup marah, mungkin juga emosianal, apabila MPD sering gunakan pertemuan dengan MPP untuk mencari salah dan lemah MPP. Seronok barangkali mereka membuli wakil-wakil MPP yang datang bertemu muka. Dapatlah peluang untuk melepaskan segala marah. Tuan-tuan, satu jari yang menunding, empat lagi tepat ke diri sendiri. Tengoklah diri sendiri dahulu sebelum nak mengkritik.

Saya juga pernah berada dalam MPD, tiga tahun. Alhamdulillah, di tempat saya, suasananya matang. Setiap pertemuan harmoni sekali. Banyak isu kedesaan tidak ditimbulkan. Sebaliknya, kami menekuni hala-tuju MPP yang hendak disampaikan. Jika perlu, akan kami tanyakan. Jika ada point, kami tidak segan silu menekan, tetapi bukannya untuk menjatuhkan air muka mana-mana pihak. Kami tahu, bidang tugas MPP dan MPD tak sama. Jadi kenapa nak bergantung harap kepada MPP jika MPD mempunyai masalah? Selesaikanlah dalam organisasi sendiri.

Kita memberi undi kepada MPP dalam pilihan raya, bermakna kita juga memberikan peluang kepada mereka untuk belajar menjadi pemimpin, tapi bukan untuk kita sahaja, bukan untuk MPD atau desa kita sahaja, sebaliknya untuk semua warga kampus.

Justeru tak wajar kalau kita berkehendakkan layanan yang lebih daripada MPP tertentu dengan alasan, oh dia dari desa kita, maka dia perlu turuti kehendak kita. Tak bermakna juga kalau kita sudah kenal MPP tertentu, maka kita boleh gunakannya untuk kepentingan sendiri. MPP berkhidmat untuk semua warga kampus, itu jelas.

Ada juga desa yang sebelum ini menolak atau enggan berkerjasama membantu kempen Pemilihan MPP, tapi usai MPP dibentuk, desa-desa ini juga yang paling tak segan paling tak silu menagih janji MPP. Apahal ini?

Isu-isu yang masih berskopkan kebajikan, kita faham, ada yang belum diatasi sepenuhnya. Maka di situ, kita selalu beranggapan, MPPlah yang harus dipersalahkan kerana kononnya gagal menunaikan manifesto mereka sendiri. Seronoknya menghentam.

Tapi cuba tuan-tuan fikirkan, perlukah setiap tahun, MPP hanya menjuarai isu bas, isu lampu isyarat, isu jalur lebar, isu-isu lain lagilah, yang remeh-temeh? Tidakkah boleh kita sendiri yang memperjuangkan isu-isu begini? Kita ada saluran, kenapa tak gunakan?

Kalaupun MPP, saya rasa, tidak semestinya semuanya akan selesai dengan segera. Tak mesti MPP jumpa Pengarah JK hari ini misalnya, esok semua benda setel. Prosedur tetap prosedur. Tanyalah, berapa kali Saudara Shafiq mantan YDP lepas kena hentam atau kena herdik sebab banyak sangat berjumpa orang atasan. Pasti tuan-tuan akan tahu susah-payahnya. Menghentam memang seronok, kan??

Pada saya, MPP perlu lakukan lebih dari itu semua. MPP perlu lebih kreatif mencipta suasana, tanpa sekali-kali mengabaikan suara pelajar tentu. Misalnya, YDP MPP sidang ini terang-terang mengiltizamkan barisan MPPnya untuk memfokuskan agenda yang lebih besar termasuk agenda perpaduan mahasiswa, penyertaan dalam pelbagai aktiviti yang seimbang (tidaklah asyik muka yang sama atau kaum yang sama saja setiap aktiviti), hubungan atau jaringan industri yang lebih masyuk (agar nanti tidaklah mahasiswa yang bergraduasi dari U APEX ini merempat) dan sebagainya lagi.

Pada saya pula, MPP perlu lebih ke depan memimpin mahasiswa di Malaysia, bahkan juga global. Banyak yang kita lakukan sidang-sidang sebelum ini. Jadi di bawah komander baru Ahmad Wafi, gandakan lagi ya. We Lead, Kita Memimpin.

Akhir kata, buat semua, sama ada korang baca atau tak, saya menyeru, marilah kita sama-sama memahami situasi yang harus dilalui oleh seorang MPP. Tidak seindah yang kita sangkakan.








Tuesday, February 23, 2010

Wang Ihsan : Wang Rakyat

Perdebatan isu wang ihsan untuk Kelantan masih hangat, dan sebentar tadi saya sempat mengikuti bual bicara antara Syed Munawar dan YB Senator Awang Adek Hussein dalam rancangan Di Luar Lingkungan.

Kenapa ia hangat?

Pertama, kerana rakyat umumnya orang Kelantan sendiri berasakan wujud ketidakadilan dalam pemberian tersebut. Nik Aziz sendiri pernah satu ketika mendakwa, rakyat Kelantan tidak memerlukan wang ‘ihsan’, sebaliknya, wang royalti, yang dikatakan lebih legal.

Kedua, kerana wang ihsan dianggap adalah gula-gula UMNO kepada rakyat Kelantan. Dengan gula-gula tersebut, UMNO mampu menawan hati para pengundi dalam misinya merampas kembali negeri tersebut dari penguasaan kerajaan negeri sekarang. Akibatnya, wang ihsan dianggap sebagai wang kotor, penuh muslihat dan tidak wajar diterima oleh orang-orang Kelantan.

Soalnya, benarkah?

Pada saya, jelas isu ini terlalu dipolitikkan hingga ke peringkat nasional dengan masing-masing mahu menjadi jaguh, atau setidak-tidaknya, kelihatan di mata orang Kelantan yang mereka memperjuangkan hak rakyat. Apa istimewanya orang Kelantan berbanding rakyat negeri lain? Khabarnya peruntukan mengurus Kelantan pun jauh lebih tinggi dari negeri-negeri lain yang dikuasi oleh Barisan Nasional.

Isu ini benar-benar dipolitikkan sehingga RM20 juta yang akan diberikan kelak menjadi begitu bernilai, bahkan jauh lebih bernilai daripada bilionan ringgit yang diperuntukkan untuk Kelantan secara keseluruhannya dalam RMK-9.

Tapi ramai yang tidak tahu barangkali bahawa wang itu bukanlah kurniaan pihak Kerajaan Persekutuan, sebaliknya jumlah RM20 juta atau 5% daripada hasil keluaran petroleum yang didakwa milik Kelantan itu adalah peruntukan berdasarkan proporsyen yang telah ditetapkan oleh Petronas Carigali kepada mana-mana negeri yang layak.

Petronas sebagai pihak yang betanggungjawab mengeluarkan hasil laut tersebut jelas mempunyai kuasa yang cukup besar untuk menentukan kadar bayaran sama ada ihsan ataupun royalti. Dalam isu Kelantan ini, hasil keluarannya sebenarnya adalah kecil kerana ia baru sahaja diteroka. Medan minyak tersebut masih belum mampu menjana keluaran yang optimum seperti di Terengganu, Sabah ataupun Sarawak.

Pada masa yang sama, ramai yang belum faham atau buta bahawa medan minyak tersebut bukanlah berada dalam jarak lingkungan yang melayakkan ihsan bertukar menjadi royalti. Jaraknya lebih 120 batu nautika ke tengah laut. Berdasarkan perundangan yang digunapakai, jelas Kelantan tiada hak langsung untuk menuntut royalti.

Di sini saya kira pihak kerajaan negeri sebenarnya sangat jelas dan memahami duduk perkara ini, namun sengaja mahu mempolitikkannya dengan harapan rakyat akan percaya bahawa orang Kelantan sedang dianiaya oleh Kerajaan Pusat. Tindakan mereka yang mahu menyeret isu ini ke mahkamah juga jelas berbaur politik semata kerana sehingga kini, walaupun dicabar oleh pelbagai pihak, namun masih belum ada tindakan yang diambil.

YM Tunku Razaleigh juga pernah mengeluarkan kenyataan suatu ketika dahulu bahawa rakyat Terengganu tidak berhak sama sekali menuntut wang royalti petroleum apabila negeri tersebut dikuasai oleh pembangkang pada tahun 1998. Hal ini jelas menunjukkan bahawa Ku Li sendiri faham akan perundangan yang digunapakai, kesnya sama saja di Kelantan pada hari ini.

Dalam hal ini, apa yang berlaku sebenarnya hanyalah kesilapan dalam mentafsir sistem yang digunapakai kerana belum ada penyelarasan yang jelas ketika itu berhubung agihan yang perlu diamalkan. Sama ada wang ehsan ataupun royalti, ia sebenarnya tidak mempunyai kesan yang literal terhadap legimitasi, sebaliknya, mungkin hanya menimbulkan kekeliruan pemahaman yang ditambah pula dengan unsur politik.

Sama ada ihsan ataupun royalti, ia tetap milik rakyat.

Nik Aziz juga pernah satu ketika mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak kisah sama ada ihsan ataupun royalti asalkan ia diberikan terus kepada kerajaan negeri.

Persoalannya, sejauh manakah keikhlasan kerajaan negeri memperjuangkan isu ini? Dua puluh tahun memerintah, adakah kerajaan negeri masih ‘miskin’ sehingga begitu ‘laparkan’ RM20 juta tersebut? Bukankah kerajaan negeri mempunyai keupayaan yang cukup tinggi untuk mendapatkan RM20 juta termasuk dengan mencari pelaburan-pelaburan baru yang boleh menaikkan ekonomi Kelantan sekali gus?

RM20 juta tersebut tentu besar ertinya walaupun kecil nilainya kepada rakyat Kelantan berbanding yang diterima oleh rakyat Terengganu, Sabah dan Sarawak. Justeru apabila ia begitu dituntut oleh Kerajaan Negeri sendiri, maka kelihatan seperti ada sesuatu yang tak kena di sini. Apalah salahnya jika kerajaan negeri bersabar dan redha ia disalurkan melalui agensi-agensi kerajaan terus kepada rakyat kerana yang selayaknya mendapat manfaat ialah rakyat jelata, bukannya kerajaan negeri.

Kerajaan negeri gunakanlah sepenuhnya wang peruntukan dalam RMK-9 jika benar mahu melaksanakan pembangunan untuk rakyat Kelantan. Pasti, jika terus diteroka, RM20 juta itu akan terus membiak dari masa ke masa yang akhirnya, akan memberikan sebesar-besar manfaat kepada rakyat Kelantan keseluruhannya. Apa yang penting ialah, kerajaan negeri dan Nik Aziz sendiri serta pemimpin-pemimpin pembangkang yang lain bersabar dan segera menghentikan permainan politik dalam isu ini.

Ihsan atau royalti, ia tetap milik rakyat. UMNO atau PAS, kedua-duanya tetap rakyat yang berhak. Hanya kematangan yang membezakan puak-puak ini. Sepatutnya, isu ini diselesaikan di peringkat kepimpinan sahaja tanpa perlu mengheret seluruh rakyat Malaysia sehingga menjadi isu nasional. Buang masa saja.

Sunday, February 21, 2010

Merenung Nasib Melayu Pulau Pinang

Saya bukanlah anak jati Pulau Pinang, apa lagi untuk berhajat tinggal dan berzuriat di negeri ini. Namun sebagai anak Melayu, saya lihat perlunya kelangsungan bangsa ini di negeri ini, sekurang-kurangnya untuk fasa 50 tahun seterusnya.

Pengalaman tinggal bermaustatin dan belajar di negeri ini telah sedikit sebanyak membuka mata saya untuk sedar dan menginsafi hakikat yang sedang menyelubungi nasib serta masa depan orang Melayu di Pulau Pinang.

Orang Melayu memang tidak banyak di negeri ini, sedang yang ada, ramai pula susut nilai jati dirinya. Untuk mengaku Melayu apatah. Untuk digelar Melayu apatah. Lambat laun, Melayu yang ada di negeri ini barangkali hanyalah pelancong tempatan sahaja.

Sesuatu perlu dilakukan, kerana sesuatu yang dahsyat sedang berlaku ketika ini terhadap orang Melayu Pulau Pinang.

Isu tanah misalnya, memerlukan tindakan yang cukup gegas. Penting bagi saya untuk diselamatkan seekar dua tanah orang Melayu di negeri ini. Untuk menumpang mencari sesuap nasi di tanah berwartakan hak kerajaan negeri pun sudah susah hari ini, apa lagi mahu diharapkan ehsan mereka untuk membantu, yang semuanya penuh dengan syarat tersembunyi.

Ketika berkunjung ke Arkib Negara Cawangan Pulau Pinang baru-baru ini di KOMTAR, saya melihat sendiri satu contoh yang diberikan oleh seorang pengkaji dari UKM, yang membuat tinjauan cukup dekat dengan masalah tanah di negeri ini, khususnya di Balik Pulau.

Kajiannya menunjukkan wujud dasar tak rasmi pengambil-alihan bidang-bidang tanah yang jumlahnya bukan sedikit hektar, atau bagi saya baik sahaja digelar rampasan tanah secara sah, yakni melalui transaksi nilai tertentu, sehingga mengimplikasikan sesuatu yang dahsyat terhadap keberlangsungan hidup orang Melayu di negeri ini.

Dan tidak lama dahulu, ketika berpeluang bersemuka dengan seorang ADUN BN, saya mendapat penjelasan yang cukup melegakan, tentang sebab tanah-tanah di Balik Pulau ketika ini tidak dimajukan serancak di kawasan lain di negeri ini.

Balik Pulau mendapat namanya kerana faktor geografinya yang terlindung dari kawasan pendaratan kolonial Barat diketuai Francis Light dahulu, yang melalui tipu helahnya terhadap Baginda Sultan Kedah, akhirnya mengaut untung besar dengan menguasai Pulau Pinang sekali gus.

Ketika itu, tanah di Balik Pulau kurang disedari kerana tidak ada siapa pun yang tahu wujudnya lapangan yang subur di sebalik bukit-bukit yang tinggi di kawasan ini. Dikatakan, orang yang Melayulah yang mula-mula membuka kawasan ini setelah lari daripada kekejaman penjajah. Sejak itu, kawasan Balik Pulau terus rancak membangun walaupun secara perlahan-lahan.

Pasca PRU12, Balik Pulau sebahagian besarnya telah dikuasai oleh Pakatan Rakyat, dengan wakil MPnya daripada PKR. Ia menjadi transisi penting kepada masa depan orang Melayu di kawasan ini, sama ada mereka memang mahukan perubahan dengan memilih teraju Pakatan Rakyat untuk dipegang dengan melepaskan kepimpinan BN yang selama ini menjaga kawasan tersebut dengan baik, ataupun sekadar mencuba sesuatu yang baru. Dalam tempoh ini, pastinya banyak yang akan berlaku di Balik Pulau.

Apa-apa pun, Balik Pulau hanyalah satu contoh kecil tentang perjuangan bangsa Melayu mengekalkan jurai mereka di Pulau Pinang.

Saya yakin, sesuatu pasti akan berlaku terhadap orang Melayu di negeri ini dalam tempoh 50 tahun akan datang.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...