Tuesday, August 31, 2010

Pakatan pembangkang tiada niat laksana hudud

Bacaan yang elok untuk ahli-ahli PAS di hari merdeka dan di bulan penuh barakah ini. Semoga fikiran dan iman mereka dapat melihat kebenaran ini, insya-Allah.

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Pakatan pembangkang tidak pernah merancang untuk melaksanakan undang-undang Islam termasuk hudud jika ditakdirkan berjaya memerintah negara ini.

Ini kerana parti-parti dalam pakatan itu, termasuk Pas terikat kepada perjanjian bersama yang akan terus mempertahankan dan mengamalkan Perlembagaan sekular sedia ada.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin yang mendedahkan perkara itu menjelaskan, dasar itu dipersetujui dan ditandatangani oleh semua pemimpin pembangkang termasuk Pas.

"Itulah hakikatnya! Itulah faktanya! Bahawa perjuangan Pas untuk menubuhkan negara Islam dan melaksanakan undang-undang Islam tidak termasuk dalam dasar dan persetujuan bersama pakatan pembangkang.

"Itu hanya mimpi Pas, kata pemimpin pembangkang (yang lain)! Mimpi yang Pas tidak akan dapat capai selagi bersama pakatan pembangkang.

"Saya percaya ramai ahli akar umbi Pas tidak tahu yang undang-undang Islam tidak akan dilaksanakan, negara Islam tidak akan ditubuhkan serta Perlembagaan sekular sedia ada akan terus diamalkan jika pembangkang memerintah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam entri bertajuk Mufaraqahlah (berpisahlah) dalam blognya, http://www.zul4kulim.blogspot.com.

Baru-baru ini, Penyelaras Pakatan Pembangkang, Datuk Zaid Ibrahim menyatakan bahawa Pas tidak akan dapat melaksanakan hukum hudud berdasarkan realiti politik hari ini dan perjanjian antara parti pakatan pembangkang yang berpegang teguh pada Perlembagaan negara.

Jelas beliau, untuk melaksanakan hukum hudud, Pas perlu mendapatkan kerusi paling banyak di Parlimen dan ia juga perlu mendapat sokongan daripada ahli Parlimen yang lain.

Kenyataan Zaid itu dikeluarkan ekoran pertelingkahan antara Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Pengerusi DAP, Karpal Singh berhubung pelaksanaan hukum hudud di negara ini sekiranya pakatan pembangkang berjaya memerintah negara ini.

Sementara itu, Zulkifli yakin dan percaya kebanyakan ahli-ahli akar umbi Pas memang ikhlas bersama dengan parti itu kerana percaya pada perjuangannya untuk menubuhkan sebuah negara Islam.

Dalam pada itu, Zulkifli memuji tindakan Nik Abdul Aziz baru-baru ini yang mendesak supaya pakatan pembangkang menubuhkan negara Islam dan melaksanakan undang-undang syariah apabila memerintah negara kelak.

Tetapi malangnya, kenyataan Menteri Besar Kelantan itu ditentang dan disangkal oleh pimpinan pembangkang termasuk daripada kalangan Pas sendiri.

"Klimaksnya apabila satu Kenyataan Bersama dikeluarkan minggu lepas memperkukuhkan Perjanjian Bersama Dasar Pakatan Rakyat menolak penubuhan negara Islam dan pelaksanaan undang-undang jenayah Islam," katanya.

Sehubungan itu, Zulkifli menyeru agar ahli-ahli Pas kembali kepada perjuangan asal iaitu menubuhkan negara Islam dan seterusnya menolak kerjasama dengan parti-parti yang tidak sehaluan seperti DAP dan PKR.

Monday, August 30, 2010

Terima Kasih Tunku!!



Tunku mungkin tidak pernah menduga betapa kemerdekaan yang diusahakan oleh beliau dan rakan-rakan serta seluruh penduduk Tanah Melayu (kecuali juak-juak komunis) dahulu akan melahirkan sebuah negara bernama Malaysia seperti yang boleh dilihat pada hari ini.

Tunku tidak bijak berkata-kata. Setiap patah bicara yang terbit dari mulutnya biasa-biasa sahaja. Malah Tunku pernah diperlekehkan kerana pidatonya tidak berapi-api seperti pemimpin-pemimpin di Indonesia, Filiphina, Pakistan dan sebagainya lagi yang juga bergelut menuntut kemerdekaan negara masing-masing. Tunku pasti kalah, mungkin, jika diajak berpidato melawan Bung Karno yang diagung-agungkan oleh warga Indonesia.

Tunku darah keturunan Raja. Tunku tak kenal erti hidup susah atau makan ubi kayu rebus dan kelapa parut. Tunku tak bersama rakyat jelata menentang komunis yang juga gilakan kuasa mahu memerintah negara. Ketika ditanya dengan apa kemerdekaan itu akan diisi, Tunku memberikan jawapan yang langsung tidak menggambarkan kemegahan bagi sebuah negara baru.

Tunku takut dengan kemerdekaan. Tuntu kata, kita akan isi kemerdekaan dengan dua perkara, membasmi kemiskinan dan membasmi buta huruf. Tunku bina dasar-dasar untuk membantu orang-orang kampung yang miskin-miskin. Tunku bagi buku-buku kepada orang-orang dewasa. Kelas Dewasa yang pernah Tunku jayakan dipersendakan. Tunku tak peduli bila orang tanya, kenapa disekolahkan orang-orang tua yang sedang menanti waktu mati? Kenapa tidak diajarkan saja orang-orang tua dan dewasa ini dengan ilmu kubur?

Nama Tunku, Rahman. Tunku seorang yang penyayang kepada bangsa dan rakyatnya. Tunku tidak ajar pemimpin-pemimpin yang bakal mewarisinya dengan sikap tinggi diri atau terlalu bercita-cita besar. Tunku tak tekankan pandai berpidato atau bijak berkata-kata di hadapan rakyat yang buta huruf tak kenal ABC atau 123. Tunku tak asuh pemimpin selepasnya supaya menjual negara.

Dalam Rahman itu hadir semua pemimpin yang mewarisi kebijaksanaan Tunku bagi mempertahankan kemerdekaan negara yang diusahakannya. Hari ini, ada yang berkata, selepas cukup Rahman itu, legasi Tunku akan berakhir. Tunku pasti sedih kerana ada rakyat yang begitu bodoh mengaitkan namanya dengan takdir Tuhan. Tunku seorang yang cukup realistik. Tunku tidak pijak bendera musuh walaupun Tunku mampu. Tetapi kenapa hari ini, ada rakyat yang kononnya berjiwa merdeka, sanggup melakukan sesuatu yang Tunku tidak pernah mahu lakukannya dahulu?

Kenapa ada pemimpin yang berani mencabar kedaulatan negara sendiri? Kenapa ada pemimpin yang tergamak menjual maruah negara di mata luar? Cerdikkah mereka ini berbanding Tunku? Merdekakah jiwa mereka ini berbanding Tunku? Benarlah, kemerdekaan itu sesuatu yang menakutkan. Buat Tunku, terima kasih. Bersemadilah dengan aman.

Tuesday, August 24, 2010

Macam-macam Anwar : Bapa Borek..

Foto ekslusif dipinjam dari blog Shah Paskal


Laporan polis dah dibuat. Itulah, orang tua-tua kata, cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar. Tapi kalau dah orang tua pun cakap main hentam dan putar alam, macam mana anak nak ikut resam yang baik.

Kisahnya, Nurul Izah kata kapal selam yang baru dibeli oleh Malaysia tak boleh menyelam. Selain itu, DEB yang dah banyak membantu membangunkan ekonomi negara turut dipersendakannya. Kalau dia kata semua tu kat ceramah-ceramah umum PR, mungkin kita dah lali, dah biasa. Tapi kali ni dia bangga bercerita di Indonesia, di waktu bunga-bunga konflik sedang berapi.

Memang kalau semua tu didedahkan di Indonesia, berseronoklah media di sana. Silap-silap boleh dapat front-page. Isu-isu yang menunjukkan kelemahan negara, walaupun tidak benar, sentiasa mendapat perhatian di sana. Mereka terlalu berminat untuk mengganyang kita lagi.

Tapi yang malangnya, kita mempunyai seorang warganegara yang turut tumpang sekaki berseronok memburukkan negara sendiri di luar. Sama macam bapanya juga. Adakah pemimpin begini yang kita mahukan untuk memimpin Malaysia, yang sanggup menjual dan melacurkan keselamatan negara sendiri?


Lidah bercabang.

Wednesday, August 11, 2010

Tutup Buku Isu Mahasiswa Berpolitik

Larang mahasiswa berpolitik kekal

KUALA LUMPUR 10 Ogos – Larangan mahasiswa melibatkan diri dalam kancah politik kepartian adalah kekal, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, larangan itu tidak bermakna mahasiswa dilarang terus daripada membicarakan hal ehwal politik semasa yang berlaku di negara ini.

Sebagai rakyat Malaysia, beliau berkata, golongan mahasiswa berhak mengetahui situasi serta kedudukan terkini politik Malaysia.

“Setakat ini larangan tersebut kekal kerana mereka masih terikat dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Namun begitu akta itu telah dipinda yang mana para mahasiswa kita telah diberi lebih kebebasan untuk bersuara.

“Malah di kampus pun ada disediakan sudut berpidato untuk mereka membicarakan apa-apa jua isu,” katanya selepas melancarkan buku Najib Tun Razak Melakar Transformasi Malaysia di Perbadanan Kraftangan di sini hari ini.


Ulasan saya :


Isu ini sudah pun menjadi polemik dalam kalangan mahasiswa. Kalau tak kerana kebodohan pihak tertentu yang tiba-tiba menjadikan isu ini sebagai modal politik, tentu ia tidak akan berpanjangan hingga memerlukan campur tangan kepimpinan tertinggi negara.

AUKU pindaan terbaru tidak pernah mengekang kebebasan mahasiswa. Mereka dibolehkan untuk bercakap dan bersuara bahkan mengundi. Dalam AUKU, telah diperincikan segala apa yang boleh dilakukan oleh mahasiswa selagi mana mereka bergelar penuntut (3-4 tahun). Perkara yang tak boleh termasuk menyertai parti politik dan mana-mana pertubuhan yang diharamkan atau menimbulkan ancaman kepada orang lain dinyatakan dalam frasa yang cukup pendek dan jelas, tak sampai 1 % daripada isi kandungan akta tersebut.

Malah, mahasiswa juga diberikan ruang mempraktikkan politik sewaktu di dalam kampus melalui persatuan-persatuan atau pertubuhan pelajar yang dibenarkan. Mereka boleh menjadi ahli, mengundi dalam AGM atau EGM (jika perlu), terlibat dengan aktiviti yang diadakan dan sebagainya lagi. Pada masa yang pihak universiti turut menyediakan pilihan raya kampus bagi memilih perwakilan pelajar. Semua mahasiswa ada hak untuk mengundi. Tidakkah itu juga politik? Skopnya mungkin tidak luas atau sama seperti amalan politik di luar, tetapi memadai untuk mereka belajar selok-beloknya terlebih dahulu.

Adakah politik yang mereka faham ialah dengan hanya menyertai parti dan bercakap mewakili parti yang disertai? Kalau begitu, kenapa tak berjumpa secara terus dengan Naib Canselor, minta izin untuk menjadi ahli mana-mana parti yang diingini kerana AUKU membenarkan pengecualian tersebut (kebenaran daripada Naib Canselor). Pernahkah mereka berjumpa dan meminta izin? Kalau tak pernah, maknanya mereka sendiri tak faham Perkara 15 malah mungkin tak pernah baca pun AUKU.


Tuesday, August 10, 2010

Siapa Musuh Singapura? Siapa Pula Musuh Malaysia?

INI MERUPAKAN SISTEM MERIAM SELF PROPELLED "PRIMUS" BUATAN SINGAPURA - Dipetik daripada laporan Shah Paskal, Perarakan Hari Kemerdekaan Singapura.


Terkedu seketika bila membaca update terkini blog Shah Paskal. Liputannya kali ini berkaitan sambutan kemerdekaan negara jiran kita, Singapura daripada Malaysia. Saya tidak berhajat memperkatakan tentang kehebatan pendedahan yang dibuat oleh Shah Paskal itu. Dunia sendiri sudah tahu dan ia bukan lagi rahsia.

Jiran kita yang satu ini bukan sembarangan jiran. Kecil saja negaranya. Tetapi ia mempunyai kekuatan persenjataan dan militari yang sangat maju, sofistikated dan melangkaui kemampuan mana-mana negara lain di rantau ini terutamanya Malaysia.

Singapura jelas sekali terlalu obses dengan upaya pertahanannya. Ia mungkin beralasan bahawa tahap kesiap-siagaan sebegitu rupa penting demi menjamin keselamatan dan kedaulatan negaranya. Persenjataan yang canggih dengan nilai trillionan dolar dianggap berbaloi dengan aset-aset yang dimilikinya ketika ini sesuai dengan status negara maju di Asia. Semua itu mesti dilindungi.

Namun soalnya, dilindungi dari siapa? Apa ancaman yang begitu menggerunkan mereka sehingga berbelanja besar menyediakan armada perang secanggih itu? Kita ketepikan soal kemampuan ekonomi kerana memang ia sebuah negara yang kaya-raya. Tetapi hati kecil saya sangat meragui kesungguhan persiapan Singapura itu walaupuan Shah Paskal sejak awal-awal lagi menyatakan ia adalah bagi melawan kemampuan armada perang Malaysia.

Memang benar, Singapura terlalu prejudis dengan negara kita. Tetapi tentu ada sebab lain yang mendorong negara sekecil itu bersungguh-sungguh mendapatkan segala jenis senjata terkini yang sebahagian besarnya datang dari Amerika Syarikat.

Saya tertarik dengan point ke-4 Shah Paskal yang menyatakan terdapat 3 titik persamaan antara Singapura dan Israel dalam hal ketenteraan iaitu National Service, kekuatan udara dan kekuatan armor. Berdasarkan pendedahan-pendedahan terkini, sememangnya persamaan-persamaan yang dinyatakan itu benar-benar wujud. Lihatlah persiapan armor Singapura seperti yang dipaparkan oleh Shah Paskal di blognya. Tiada yang terkemudian. Malaysia? Enjin jet pun hilang..

Jika Singapura benar-benar menggeruni Malaysia, saya rasa, tentu ada sebab yang lebih penting berbanding keupayaan militari negara kita ini. Singapura sendiri maklum, bahkan Amerika Syarikat juga sedia tahu akan keupayaan tentera kita ketika ini. Walaupun pihak kerajaan telah menambahbaik keupayaan armor dan kekuatan udara kita dengan pembelian aset-aset terkini seperti jet pejuang halimunan Friget Meko 100 dari Jerman di samping kekuatan maritim dengan dua buah kapal selam dari Perancis, namun pada realitinya, ia tidak mampu pun menjentik Singapura, apatah lagi menggertak mereka.

Sebaliknya saya percaya, ia ada hubung kait yang cukup kuat antara cita-cita terpendam bangsa Yahudi yang gagal sewaktu misi missionari mereka lama dahulu. Barangkali kita terlupa betapa Yahudi pernah bercita-cita untuk menakluk Nusantara secara kekal tetapi gagal kerana Kesultanan Melayu yang ada ketika itu berjaya menggerakkan rakyat masing-masing untuk bangkit menentang kuasa penjajah.

Namun misi mereka sebenarnya belum gagal, sebaliknya cuma tergendala. Proksi penjajah di Nusantara masih utuh bahkan semakin gagah iaitu Singapura. Mereka percaya rantau ini adalah tempat atau lokasi kebangkitan Messiah yang ditunggu-tunggu selama ini untuk menjayakan cita-cita agung bangsa Yahudi.

Jika kita telitikan senario yang wujud, secara relatif, terdapat banyak tanda yang semakin jelas ketika ini seperti gugahan terhadap institusi kesultanan, tuntutan demokrasi beracuankan barat yang sejati, konsep ketuanan rakyat dan sebagainya. Semua ini adalah ideologi Illuminati yang sedang dipraktikkan terhadap dunia Islam khususnya di Nusantara, terutamanya di Malaysia.

Kehancuran institusi kesultanan di Indonesia dan beberapa lagi kerajaan Melayu silam adalah simbolik kejayaan awal misi tersebut di Nusantara yang digerakkan salah satunya atas dasar gospel iaitu menyebarkan ajaran Triniti mereka di sini. Kita juga dapat melihat dengan jelas bagaimana tradisi ilmu dan warisan kebudayaan orang Melayu telah dihapuskan dengan begitu dahsyat hanya semata-mata untuk menutup abiliti armada silam menentang soldadu Barat.

Natijahnya bangsa Melayu tinggal kekal di sini dengan satu persepsi yang telah ditanam oleh penjajah sejak sekian lama untuk terus memperakui kekuasaan Barat. Anak-anak Melayu tidak sedikit yang dihantar ke Barat menuntut ilmu di sana dan pulang dengan ideologi moden yang bersifat terbuka. Ini juga sebenarnya sebahagian daripada strategi Illuminati untuk menguasai dunia Islam kerana ajaran mereka disebarkan utamanya melalui institusi-institusi pemikiran terkemuka di Barat dan pada masa yang sama mereka membuka pintu kepada pelajar-pelajar dari Timur yang kelak akan pulang menjadi tokoh di tempat sendiri.

Dalam hal ini, saya melihat Singapura adalah hasil terbaik perancangan Barat untuk terus menguasai Nusantara, rantau yang sebenarnya cukup benilai tinggi dari segi sejarah mahupun kebudayaannya. Singapura akan terus dibantu dari masa ke masa khususnya dalam bidang ketentaraan. Ini penting kerana dengan keupayaan yang sebesar itu, Amerika dan Israel sudah pun mencapai beberapa kejayaan awal.

Pertama, armada Singapura adalah armada Amerika dan Israel sekali gus. Pada bila-bila masa ia boleh dikerahkan untuk membuat serangan awal ataupun melancarkan konfrantasi secara fizikal. Tanpa perlu membuka sebarang pangkalan tentera, Amerika dan Israel sebenarnya sudah pun mempersiapkan armada perang mereka di rantau ini.

Kedua, Singapura adalah simbol kepanikan Nusantara. Semboyan perang seandainya dibunyikan oleh Singapura, ia akan menggentarkan seluruh Nusantara. Rakyat Malaysia dan Indonesia yang terdiri majoritinya orang Islam sudah tentu akan berasa cemas dan panik sekali gus membuka peluang propaganda kepada Amerika dan Israel. Dalam strategi Illuminati, idea mencetuskan kepanikan ini adalah strategi yang cukup ampuh kerana ia akan membekas sebagai persepsi bahawa tidak ada gunanya orang Islam menentang Israel.

Ketiga, industri persenjataan akan berkembang pesat. Dunia umumnya menerima pakai piagam yang telah ditetapkan oleh PBB dalam urusan pembinaan senjata dan kelengkapan ketenteraan yang mana ia akan dikawal oleh hanya negara-negara tertentu sahaja seperti Amerika, Russia, Jerman, Perancis, Korea, China dan sebagainya lagi.

Adalah jelas, apa yang berlaku di peringkat global hari ini termasuk penyebaran wabak dan sebagainya lagi adalah permainan pihak-pihak tertentu yang sedang mengaut keuntungan. Strategi pengawalan pengeluaran senjata sebegini pula hanya akan mewujudkan dasar monopoli di mana negara-negara yang inginkan senjata terpaksa membuat tempahan dengan kos yang cukup tinggi kepada pengeluar. Mereka inilah sebenarnya yang mencetuskan konflik-konflik yang berlaku di seluruh dunia hari ini.

Dalam hal ini, dengan mengambil contoh negara kita sendiri, tanpa banyak pilihan kita terpaksa berurusan dengan pihak-pihak pengeluar senjata supaya tidak ketinggalan atau dipandang lemah. Harga yang mahal terpaksa dibayar untuk mendapat Friget Meko 100 misalnya kerana kita tidak mempunyai kepakaran atau lesen untuk mengeluarkannya sendiri.

Kesimpulannya, pada pandangan saya, Singapura hanyalah boneka yang sedang berseronok dengan keupayaan militari mereka. Memang mereka mempunyai kekuatan tersebut. Musuh mereka juga sememangnya adalah kita kerana kita adalah Islam. Tetapi kita mesti ingat, musuh kita bukanlah Singapura sebaliknya Amerika dan Israel yang selama ini mendokong Freemanson dan Illuminati. Inilah musuh kita yang jelas nyata.

Ayuh semua kita pertahankan hak-hak Kesultanan kerana Sultan-sultan dan Raja-rajalah yang menjadi halangan kepada matlamat mereka menguasai dunia. Maharaja di China sudah lama lenyap. Maharaja di Jepun juga sudah tinggal sekadar sejarah hidup yang ditonton sebagai artifak. Khalifah Islamiyah juga sudah rebah menyembah bumi Andalus dan Instanbul. Bhumiphol di Thailand juga semakin digasak oleh rakyatnya sendiri yang sudah tertipu dengan permainan demokrasi barat. Yang tinggal kekal ketika ini cuma Sultan-sultan dan Raja-raja kita di Malaysia. Mereka adalah silsilah Muhammad SAW yang mesti kita pertahankan.

Friday, August 6, 2010

Parti Politik Dalam Kampus? Idea Gila.

Sehari dua ini suasana kampus agak kalut dengan isu membenarkan mahasiswa terlibat dalam parti politik.

Ia dikatakan bermula apabila Biro Pemuda BN mendedahkan hasil kajian mereka yang menunjukkan golongan pelajar IPT cenderung bersikap non-partisan dan tidak peduli dengan isu-isu politik semasa. Ini dikatakan akan menjejaskan sokongan mereka sewaktu pilihan raya umum.

Semakin menarik bila seorang penganalisis politik kemudiannya mencadangkan supaya Perkara 15 AUKU yang melarang penglibatan mahasiswa dalam parti politik dimansuhkan. Kononnya ia akan membolehkan golongan ini lebih kritikal dan turut serta dalam kancah politik nasional.

Pada masa yang sama, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang juga bekas aktivis mahasiswa tanah air turut menawarkan cadangan yang sama. Beliau berpendapat adalah wajar jika pelajar IPT dibenarkan menganggotai mana-mana parti politik dengan saranan ia akan membolehkan mereka lebih pro-aktif sebagai golongan intelek muda.

Ketua Pemuda BN juga tidak ketinggalan bercakap mengenai isu ini. Sudah sampai masanya, kata beliau.

Walau bagaimanapun, dalam hal ini, Saudara Ahmad Wafi, YDP MPP USM merangkap Pengerusi Jemaah YDP MPP Malaysia dalam kolum khas di Utusan Malaysia muka surat 10 baru-baru ini mengutarakan pandangan beliau yang cukup kontra.

Secara peribadi, bagi saya apa yang diluahkan oleh Ahmad Wafi jauh lebih rasional berbanding cadangan tersebut. Ini suara mahasiswa sendiri yang sedia maklum dengan suasana kampus. Saya setuju bahawa AUKU tidak perlu dipinda lagi untuk membolehkan mahasiswa terlibat dalam parti politik. Perkara 15 juga tidak perlu diusik lagi semata-mata untuk mengatasi masalah tersebut.

Isu ini ditimbulkan oleh ahli-ahli politik. Mereka ini tentunya mempunyai agenda tertentu apabila menyuarakan cadangan tersebut. Mereka bercakap atas kapasiti menarik sokongan pengundi muda. Atas kepentingan tersebut maka mereka melihat ia wajar dilaksanakan.

Tetapi adakah mereka sedar akan risiko yang boleh berlaku jika mahasiswa di kampus-kampus kita mula bergerak sebagai aktivis politik, dan bukan lagi aktivis mahasiswa? Mana satu yang akan didahulukan? Agenda parti atau agenda kemahasiswaan?

Saya langsung tidak nampak perlunya cadangan ini diterima. Implikasinya terlalu besar kerana ia bakal mengubah secara total lanskap politik kampus daripada bersifat kemahasiswaan kepada dimensi baru dengan isu-isu politik yang tak pernah selesai. Adakah perkara ini tidak akan menyebabkan berlakunya perpecahan dalam kalangan mahasiswa?

Sepanjang berada di alam kampus, saya tidak pernah dihalang daripada mengeluarkan pandangan atas apa jua isu. Kebebasan itu sudah tersedia tanpa perlu menjadi ahli parti. Saya yakin dan percaya, kebebasan ini tidak lagi wujud jika saya menjadi ahli mana-mana parti kerana saya akan terikat dengan perlembagaan parti, terikat dengan dasar dan prinsip perjuangan serta matlamat parti yang saya sertai.

Mahasiswa seharusnya dibolehkan bercakap tentang politik, tetapi bukan dengan membenarkan mereka menjadi ahli parti. Kita tidak mahu golongan yang tidak sepatutnya berada di dalam kampus masuk membuat kacau dan melaga-lagakan pelajar atau membuka cawangan masing-masing. Haru biru jadinya.

Kalau hendak asah bakat kepimpinan, galakkan saja mahasiswa aktif dalam persatuan-persatuan yang ada di dalam kampus seperti Persatuan Anak Negeri dan sebagainya. Ahli-ahli politik yang kaya mungkin boleh mainkan tanggungjawab sosial di dalam kampus dengan menyumbang dana kepada mana-mana persatuan yang layak.

Dengan cara ini kita berupaya membentuk set pemimpin yang rasional, toleran dan realistik serta seimbang dengan kualiti-kualiti yang lebih harmoni berbanding terarah atau terorientasi dengan kuasa dan semangat berpuak-puak seperti yang berlaku dalam kalangan masyarakat di luar pagar universiti.

Kami mahasiswa ada agenda yang lebih penting, tetapi itu tidak bermakna kami tidak prihatin dalam soal negara. Izinkan kami menamatkan pengajian dengan tenang kemudian datanglah, pancinglah kami dengan agenda anda. Kami tetap warganegara yang akan mengundi bila tiba waktunya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...