Followers

Friday, August 6, 2010

Parti Politik Dalam Kampus? Idea Gila.

Sehari dua ini suasana kampus agak kalut dengan isu membenarkan mahasiswa terlibat dalam parti politik.

Ia dikatakan bermula apabila Biro Pemuda BN mendedahkan hasil kajian mereka yang menunjukkan golongan pelajar IPT cenderung bersikap non-partisan dan tidak peduli dengan isu-isu politik semasa. Ini dikatakan akan menjejaskan sokongan mereka sewaktu pilihan raya umum.

Semakin menarik bila seorang penganalisis politik kemudiannya mencadangkan supaya Perkara 15 AUKU yang melarang penglibatan mahasiswa dalam parti politik dimansuhkan. Kononnya ia akan membolehkan golongan ini lebih kritikal dan turut serta dalam kancah politik nasional.

Pada masa yang sama, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang juga bekas aktivis mahasiswa tanah air turut menawarkan cadangan yang sama. Beliau berpendapat adalah wajar jika pelajar IPT dibenarkan menganggotai mana-mana parti politik dengan saranan ia akan membolehkan mereka lebih pro-aktif sebagai golongan intelek muda.

Ketua Pemuda BN juga tidak ketinggalan bercakap mengenai isu ini. Sudah sampai masanya, kata beliau.

Walau bagaimanapun, dalam hal ini, Saudara Ahmad Wafi, YDP MPP USM merangkap Pengerusi Jemaah YDP MPP Malaysia dalam kolum khas di Utusan Malaysia muka surat 10 baru-baru ini mengutarakan pandangan beliau yang cukup kontra.

Secara peribadi, bagi saya apa yang diluahkan oleh Ahmad Wafi jauh lebih rasional berbanding cadangan tersebut. Ini suara mahasiswa sendiri yang sedia maklum dengan suasana kampus. Saya setuju bahawa AUKU tidak perlu dipinda lagi untuk membolehkan mahasiswa terlibat dalam parti politik. Perkara 15 juga tidak perlu diusik lagi semata-mata untuk mengatasi masalah tersebut.

Isu ini ditimbulkan oleh ahli-ahli politik. Mereka ini tentunya mempunyai agenda tertentu apabila menyuarakan cadangan tersebut. Mereka bercakap atas kapasiti menarik sokongan pengundi muda. Atas kepentingan tersebut maka mereka melihat ia wajar dilaksanakan.

Tetapi adakah mereka sedar akan risiko yang boleh berlaku jika mahasiswa di kampus-kampus kita mula bergerak sebagai aktivis politik, dan bukan lagi aktivis mahasiswa? Mana satu yang akan didahulukan? Agenda parti atau agenda kemahasiswaan?

Saya langsung tidak nampak perlunya cadangan ini diterima. Implikasinya terlalu besar kerana ia bakal mengubah secara total lanskap politik kampus daripada bersifat kemahasiswaan kepada dimensi baru dengan isu-isu politik yang tak pernah selesai. Adakah perkara ini tidak akan menyebabkan berlakunya perpecahan dalam kalangan mahasiswa?

Sepanjang berada di alam kampus, saya tidak pernah dihalang daripada mengeluarkan pandangan atas apa jua isu. Kebebasan itu sudah tersedia tanpa perlu menjadi ahli parti. Saya yakin dan percaya, kebebasan ini tidak lagi wujud jika saya menjadi ahli mana-mana parti kerana saya akan terikat dengan perlembagaan parti, terikat dengan dasar dan prinsip perjuangan serta matlamat parti yang saya sertai.

Mahasiswa seharusnya dibolehkan bercakap tentang politik, tetapi bukan dengan membenarkan mereka menjadi ahli parti. Kita tidak mahu golongan yang tidak sepatutnya berada di dalam kampus masuk membuat kacau dan melaga-lagakan pelajar atau membuka cawangan masing-masing. Haru biru jadinya.

Kalau hendak asah bakat kepimpinan, galakkan saja mahasiswa aktif dalam persatuan-persatuan yang ada di dalam kampus seperti Persatuan Anak Negeri dan sebagainya. Ahli-ahli politik yang kaya mungkin boleh mainkan tanggungjawab sosial di dalam kampus dengan menyumbang dana kepada mana-mana persatuan yang layak.

Dengan cara ini kita berupaya membentuk set pemimpin yang rasional, toleran dan realistik serta seimbang dengan kualiti-kualiti yang lebih harmoni berbanding terarah atau terorientasi dengan kuasa dan semangat berpuak-puak seperti yang berlaku dalam kalangan masyarakat di luar pagar universiti.

Kami mahasiswa ada agenda yang lebih penting, tetapi itu tidak bermakna kami tidak prihatin dalam soal negara. Izinkan kami menamatkan pengajian dengan tenang kemudian datanglah, pancinglah kami dengan agenda anda. Kami tetap warganegara yang akan mengundi bila tiba waktunya.

2 comments:

Gerakan Timur said...

Salam Perjuangan,

Terima kasih kerana bersama-sama saya. Saya telah follow dan link blog saudara.

Ayuh, kita selamatkan Malaysia dari fuckatan haram!!!

-formerly known as KALAM TIMUR-

ザ-sylver-shooter said...

sibuk sngt berpolitik sudahnya akademik ke mana, politik ntah ke mana..

sistem perlu menekan aspek pencapaian bidang yang derng ceburi ..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...