Friday, December 31, 2010

Debat Pemuda PAS VS Pemuda UMNO Larut.

Ust. Nazri lwn Saudara Annuar.

Seperti yang diuar-uarkan selama ini, akhirnya program debat yang menemukan kepimpinan pemuda PAS dan UMNO kawasan Larut akan berlangsung pada hari Sabtu ini bertempat di Dewan Serbaguna MDS, Taman Permai 2, Selama pada jam 8 malam.

Program ini dijangka mendapat sambutan yang cukup menggalakkan kerana kedua-dua sayap pemuda dari PAS dan UMNO ini boleh dikatakan mempunyai kekuatan yang seimbang di kawasan Larut.

Menurut Malaysiakini, PAS akan diwakili oleh bekas calon yang pernah bertanding dalam PRU 13 bagi kawasan DUN Kubu Gajah menentang YM Dato Raja Ahmad Zainuddin (bekas MP Larut) iaitu Ustaz Mohd Nazri bin Haji Din. Pemuda UMNO Larut pula akan diwakili oleh Ketuanya sendiri iaitu Saudara Mohammad Annuar Ariffin.

Melihatkan kepada wakil-wakil yang akan ditampilkan ini, anak-anak Larut khususnya di DUN Selama pastinya ternanti-nanti perdebatan tersebut kerana kedua-duanya memang dikenali dan disegani ramai baik dalam kalangan anak muda mahupun orang dewasa di sini.

Ustaz Nazri sendiri misalnya sudah cukup dikenali sebagai penceramah dan guru agama yang disegani oleh orang Selama khususnya di kawasan Felda Ijok dan Kubu Gajah sendiri. Saya sendiri pernah beberapa kali mengikuti ceramah yang disampaikan oleh beliau di sekolah dahulu sebelum beliau aktif berpolitik. Malah, keluarganya juga tidak asing bagi saya.

Saudara Annuar juga mempunyai pengaruh dan kekuatan sokongan yang tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa. Beliau amat dikenali melalui kegiatan sukan seperti futsal dan bolasepak yang cukup digilai oleh anak-anak muda di sini. Selain itu, beliau juga dikenali ramai kerana pernah berkhidmat sebagai pegawai Tekun yang gigih membantu meningkatkan ekonomi penduduk Selama khususnya anak-anak muda.

Saya sendiri pernah mengikuti Seminar Pemantapan Ekonomi dan Sahsiah Diri Generasi Muda yang mana beliau merupakan salah seorang panel penceramah yang dijemput khas. Dari situ jugalah saya mengenali beliau sebagai orang muda yang berwawasan tinggi dan penuh kredibiliti. Namun, jauh lebih penting tentunya sumbangan beliau dalam memastikan sokongan generasi baru terhadap UMNO/BN di Larut sentiasa optimum sehingga mampu mempertahankan bahagian Larut daripada jatuh ke tangan pembangkang dalam PRU yang lalu.

Justeru saya amat berharap agar sebuah perdebatan yang berkualiti ditampilkan untuk santapan warga Larut dan Selama khasnya dalam suasana persaudaraan dan perpaduan yang tinggi. Kekalkan keharmonian kawasan kita yang selama ini cukup terpelihara. Pemuda UMNO Perak juga diseru supaya turun ke gelanggang menyokong acara ini sekali gus membuktikan kepada anak-anak muda di sini bahawa suara mereka juga didengar oleh pimpinan atasan.

Kepada warga Selama, ayuh kita berkumpul di Dewan Serbaguna MDS dan tunjukkan kepada rakyat negara ini bahawa politik kita sentiasa mementingkan nilai-nilai perpaduan dan persaudaraan yang tinggi, insya-Allah.






Wednesday, December 29, 2010

Seandainya Indonesia Kalah..


Kurang 30 minit lagi sepak mula akan disempurnakan. Baik Malaysia mahupun Indonesia, kedua-duanya memburu kemenangan dan tidak rela kalah terutamanya Indonesia. Walaupun berkelebihan 3 gol berbalas kosong, tetapi perjuangan Malaysia belum muktamad dan tiada istilah selesa buat skuad negara pada perlawanan sebentar lagi.

Apa-apa pun telahannya, yang pasti, hanya satu saja pasukan akan keluar padang selaku juara dan semua pihak harus menerimanya. Namun, dengan fenomena sehari dua ini di Indonesia, apakah mungkin mereka mampu menerimanya jika pasukan Garuda yang diagung-agungkan itu kecundang? Bersediakan rakyat Indonesia seandainya Malaysia meraih trofi? Kita tidak mampu menduga lebih jauh. Hanya wisel penamat yang akan menentukannya. Doakanlah yang terbaik untuk skuad kebangsaan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...