Sunday, November 7, 2010

Seorang makhluk ditakdirkan hidup

Sekadar hiasan.

Ini antara tulisan Awang yang paling bermakna rasanya. Semoga rakan-rakan di luar sana yang tidak suka dengan tulisan beliau atau tidak membaca Utusan dapat sama-sama merenungi hujah bernas beliau dalam catatan ini, insya-Allah.

Untung Sabut Timbul

KETIKA sedang bersembang dengan kawan-kawan pelbagai kaum, ertinya ada Melayu, Cina dan India; tiba-tiba timbul pertanyaan kepada penulis: Adakah kamu Malay first, Malaysian first atau Muslim first?

Maknanya adakah penulis ini menganggap diri sebagai seorang Melayu dulu, rakyat Malaysia dulu atau sebagai seorang Islam dulu, baru yang lain. Tidakkah soalan ini nakal?

Kalau penulis kata Melayu dulu, tentu rakan Cina dan India berasa hati, seolah-olah penulis menganggap menjadi rakyat Malaysia adalah soal kedua dan bukannya utama. Kalaulah penulis kata penulis menganggap diri sebagai warganegara Malaysia dulu, barulah Melayu, maka tentu kawan Melayu itu akan tersinggung juga, seolah-olah penulis ini tidak mengutamakan bangsa sendiri.

Tetapi tanggapan mengenai Muslim first lagi menyusahkan. Sebagai seorang Islam tentulah orang Islam akan mengutamakan agamanya daripada yang lain. Apa yang lebih penting daripada agama dan Tuhan? Tidak ada lain yang lebih penting daripada agama. Soal bangsa dan negara jatuh ke bawah berbanding agama.

Tetapi apabila disebut Muslim first, orang Melayu boleh menerimanya dengan menganggap bahawa seorang Melayu mestilah Islam, jadi Melayu dan Islam itu seiringan. Tetapi bagi orang bukan Islam apabila mendengar Muslim first tentu mereka berasa tersinggung dan terpinggir.

Tidakkah boleh seseorang itu sebut sebagai Malaysian first, yang bererti seorang itu boleh jadi Melayu, Cina dan India, serta beragama Islam atau bukan Islam tetapi kesemuanya terkandung ke dalam Malaysian first. Oleh itu orang Melayu dan Islam tidak harus berasa tersinggung apabila ada orang menyatakan dirinya Malaysian first dan tidak Malay first kerana dalam Malaysian ada Melayu.

Kalau hendak pergi lebih jauh, apabila ditanya sama ada penulis ini Malays first, Malaysian first atau Muslim first maka jawapan yang wajar diberikan ialah “Saya ini manusia dulu, human first” baru yang lain-lain.

Maksudnya sebagai manusia, dengan perasaan kemanusiaan, anggaplah semua manusia itu setaraf dan sama. Tidak kiralah mereka itu rakyat Malaysia atau tidak. Sama ada mereka itu Cina atau India. Sama ada mereka itu beragama Islam atau tidak. Kita semua adalah manusia yang mempunyai perasaan kemanusiaan.

Kita tidak memilih untuk menjadi Melayu, Cina dan India. Kebanyakan daripada kita juga tidak memilih untuk menjadi rakyat Malaysia atau tidak.

Sedar-sedar kita dilahirkan sebagai Melayu di bumi Malaysia dan jadilah warganegara Malaysia. Kalau tidak berhijrah ke negara-negara lain atas sebab-sebab tertentu, maka kita terus menjadi warganegara Malaysia sampai ke akhir hayat.

Pengaruh

Malah agama begitu juga. Walaupun boleh memilih anutan agama kita, tetapi umumnya besar kemungkinan seseorang itu akan menuruti agama ibu bapa mereka. Tentulah pengaruh ibu bapa amat kuat bagi seseorang untuk memeluk sesuatu agama. Maka kebanyakan anak orang Islam akan menjadi orang Islam. Kebanyakan anak bukan Islam akan menjadi bukan Islam. Ada kalanya berlakulah pertukaran agama. Ada yang menjadi mualaf dan ada yang murtad. Tetapi umumnya masing-masing berpegang pada agama ibu bapa masing-masing.

Itu kita ditakdirkan sebagai seorang manusia. Jika Allah SWT takdirkan sesuatu nyawa menjadi haiwan, maka apa yang boleh dilakukan? Tentulah sesuatu makhluk tidak boleh berubah menjadi makhluk lain. Manusia akan menjadi manusia sepanjang hayatnya. Begitu juga dengan haiwan lain. Itu adalah takdir.

Sebagai makhluk, kita hanya mengikut fitrah seperti yang sudah ditakdirkan.

Maka ditakdirkan kita dilahirkan di bumi Malaysia, maka jadilah rakyat Malaysia. Tidak timbul Malaysian first. Tidak perlu kita benci negara-negara lain. Walau macam mana kita suka kan sesebuah negara lain, tetapi kita sudah ditakdirkan lahir dan menetap serta mencari rezeki di Malaysia, maka kita rakyat Malaysia.

Begitu juga apabila sudah ditakdirkan menjadi Melayu, Cina atau India, tidak perlu membenci kaum-kaum lain. Maka tidak timbul soal Malay first atau Chinese first dan Indian first.

Dalam Islam sudah jelas ajarannya mengenai perbezaan bangsa, ia hanya untuk kenal mengenal di antara satu sama lain. Tidak lebih daripada itu. Semua manusia itu setaraf. Perbezaan hanyalah pada iman dan takwa, yang ukurannya hanyalah pada sisi Allah SWT.

Menurut sains pula, manusia semuanya berasal daripada satu bangsa di Afrika. Kemudian semuanya berhijrah keluar, jadilah pelbagai bangsa, kaum dan suku kaum serta berlainan kulit.

Tamadun muncul dan tumbang dan akhirnya manusia sepakat untuk mewujudkan negara-negara yang diuruskan dengan masing-masing menjadi anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Tujuan negara hanyalah untuk mengurus penduduk di dalamnya supaya aman, makmur dan bertamadun. Semua negara adalah setaraf kerana manusia adalah setaraf. Tidak ada negara yang lebih baik daripada lain.

Manusia bebas berhijrah menurut kesukaannya jika diterima oleh penduduk negara di mana dia hendak menetap.

Rebutan untuk sumber kekayaan adalah lumrah. Justeru sistem-sistem dalam negara dan peringkat antarabangsa digubal supaya pengagihan dibuat secara aman dan adil. Walaupun tidaklah sempurna tetapi umumnya berjalan lancar dalam zaman moden ini.

Kalau adik-beradik sekalipun boleh bergaduh kerana berebut harta pusaka, maka apa hendak dihairankan apabila golongan yang berbeza berebut untuk mendapatkan kekayaan di sesebuah negara.

Cuma rebutan itu wajar dilandaskan mengikut undang-undang dan peraturan bagi mengelak berbunuhan sesama sendiri seperti pada zaman silam.

Sejarah manusia begitu panjang hingga membolehkan keamanan dan kemakmuran yang diwujudkan di seluruh dunia pada hari ini. Kemiskinan, kesusahan dan kebuluran masih berlaku tetapi ia disedari dan usaha sentiasa dijalankan oleh pelbagai pihak yang mempunyai perikemanusiaan. Kita hanya makhluk.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...