Friday, November 25, 2011

AUKU Cuma Alat, Yang Penting BHEP dan Kerajaan Mesti Ditentang!

Kata seorang kenalan (penyokong kuat pembangkang dan juga bekas aktivis mahasiswa haluan kiri), AUKU cuma alat. Apa yang lebih penting bagi beliau dan rakan-rakan ialah usaha menentang kerajaan, dan ia harus menjadi proses yang berterusan walaupun tanpa AUKU itu sendiri.

Itu kata-kata seorang bekas mahasiswa. Pastilah ketika beliau masih bergelar mahasiswa dahulu, AUKU dilihat sebagai tembok yang perlu diruntuhkan walau dengan apa cara sekali pun. Ketika itu, beliau dan rakan-rakan barangkali tidak pernah menduga bahawa suatu hari ini tembok itu akan rebah juga. Lantaran itulah mereka mati-matian berjuang, lalu diwaris-wariskan pula kepada generasi bawahan.

Hari ini, apabila PM umumkan AUKU akan dipinda pada Seksyen 15 yang kononnya menghalang kebebasan bersuara mahasiswa, nada beliau semerta berubah. AUKU cuma alat. Pinda atau mansuh, perjuangan mereka tetap sama. Sudah tentu sama sekali tidak akan berpaling mereka kepada kerajaan kerana mereka itu totok sekali jiwa pembangkangnya. Ini yang Najib gagal cerna dengan baik.

Bagi kenalan ini, perjuangan menentang kerajaan adalah suci dan mesti digerakkan setiap masa. Justeru bagi menampakkan ia rasional, maka AUKU digunakan sebagai wadah atau bola sedang sasarannya ialah pihak kerajaan itu sendiri. Pelbagai alasan dicipta untuk mewajarkannya. Seluruh AUKU dijubahkan dengan jubah iblis, jahat dan lahanat yang hanya mengongkong mahasiswa daripada berkata yang benar-benar, bahawa kerajaan itu salah dan mesti ditentang!

Perisa ditambah, kononnya Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) universiti itulah proksi kejahatan di dalam kampus yang menjalankan kerja jahat iblis lahanat belaan kerajaan pimpinan para Perdana Menteri termasuk Najib kini.

Maka, melalaklah beliau dan rakan-rakannya dahulu menentang BHEP. Zamannya berlalu, tetapi baton dan obor diserahkan kepada adik-adik. Beliau dan rakan-rakan kemudian memasuki fasa perjuangan baru yang lebih real bersama parti-partinya, kemudian mereka diajarkan budaya baru. Perlahan-lahan, tahulah mereka bahawa perjuangan di dalam kampus dahulu cuma platform mencipta sahsiah politik dan AUKU itu modalnya. Kini, dalam politik yang lebih real, mereka diangkat atas kredit yang dilakukan dahulu tanpa sedikit pun berusaha memberitahu hal sebenar kepada adik-adik di dalam kampus. Terkial-kiallah sang adik-adik ini menentang BHEP dan kerajaan. Ia proses, sekali lagi, proses, yang berterusan.

Hari ini, kata kenalan itu, mereka akan cari modal baharu untuk adik-adik di dalam kampus. AUKU sudah berpihak kepada mereka. Lalu mesti ada alat lain yang lebih konkrit. Kalau dulu BHEP ditentang kerana jadi proksi AUKU, kini, kata kenalan itu, BHEP mesti ditentang kerana ia adalah penguasa undang-undang dalam kampus. Tanpa AUKU pun, BHEP tetap berkuasa! Tak ada untungnya AUKU dipinda atau dihapuskan kalau BHEP kekal berkuasa. Nah, makin bersemangatlah adik-adik kita nanti, kata beliau.

Wahai adik-adik, ketahuilah kalian, BHEP itu tidak ingin pun kuasa. BHEP itu tidak mahu pun berseteru dengan mahasiswanya sendiri. Sebaliknya, merekalah yang bersusah payah mengatur urus sistem kehidupan kita di dalam kampus. Merekalah yang menentukan tempat kita di sini dahulu, memproses setiap permohonan dan menguruskan segala keperluan kita sebaik-baik memasuki alam kampus. Lalu kini kita ingin menentang mereka? Apakah ini tindakan orang yang bersyukur? Kalau benarlah BHEP itu alat untuk penguasa, maka tertolaklah sekian banyak permohonan daripada calon mahasiswa dahulu melalui mekanisme pemilihan yang bersifat kepolitikan, dan itu bukan mustahil dilaksanakan kerana mereka penguasa!

Sebenarnya, kita sendiri yang melihat BHEP itu musuh mahasiswa sedangkan ia cuma satu unit atau bahagian yang berkerja untuk kita, memudahkan urusan kita sehari-harian di dalam kampus. Mereka tidak jadi kuli atau hamba AUKU mahupun kerajaan. AUKU ada atau pun tidak, kerja mereka tetap sama. Kerajaan bertukar atau pun tidak, kerja mereka tetap sama. Janganlah kita terpengaruh mentah-mentah dengan adu domba segelintir teman atau rakan atau pihak luar yang kononnya ditindas dan dizalimi oleh BHEP itu. Bertanyalah, kenapa mereka ditindas dan dizalimi jika ia benar-benar berlaku.

Benar, AUKU ada atau pun tidak, kehidupan kita sebagai mahasiswa tetap berjalan seperti biasa. Tidak ada salahnya mahasiswa mahu berpendirian dalam hal politik. Tetapi biarlah atas kebijaksaan sendiri, bukan guna kebijakan orang lain lalu dijadikan pendirian peribadi. Oportunis atau pesimis, itu pandangan masing-masing. Tetapi jangan sesekali menidakkan atau menjatuhkan peranan dan susah payah orang lain semata-mata mahu menegakkan pandangan sendiri. Anda belum tentu betul, dan mereka belum tentu salah.

-kak esah-

Dipetik daripada Fb Aspirasi USM.

Thursday, November 24, 2011

AUKU : Najib dan Muhyiddin Tak Senada?

Maka, ramailah yang akan mengambil kredit atas pengumuman DS Najib sebentar tadi untuk meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Setelah dipinda pada tahun 2009, kini ia akan sekali lagi dikosmetikkan supaya mahasiswa kelihatan lebih kreatif dan kritis. Atas maksud itu, maka mahasiswa harus dibenarkan menjadi ahli parti politik. Mereka harus bebas dan setaraf dengan ahli-ahli politik, sedikit lebih tinggi daripada orang kebanyakan kerana lantaran mereka itu intelektual. Itulah harapan Najib dan sekalian ahli politik yang lain.

Mahasiswa dan politik. Ia bukan baru dibicarakan. Kerana politiklah, mahasiswa dibelenggukan oleh AUKU. Kemudian, mahasiswa seolah-olah terbisu. Mereka dikurung dalam pagar kampus dan diberikan segala layanan dan kebajikan yang sempurna, kalau tidak pun yang terbaik. Ditugaskan kepada mereka dengan pelbagai arahan yang bersifat ilmiah supaya golongan ini tidak berjinak-jinak lagi dengan politik dan permaslahatan masyarakat luar. Untuk suatu tempoh yang panjang, mahasiswa jadi enak dengan dunia kampus dan berasa diri selalu lebih tinggi daripada orang kebanyakan.

Tetapi seperti singa atau harimau yang berkawan-kawanan di dalam sangkar besar, lama kelamaan mereka tertanya-tanya juga apakah yang ada di sebalik pagar sangkar itu? Lalu berusahalah mereka mencari jawapan. Mereka berkelompok, berkomplot. Satu pihak mahu terus diam di dalam sangkar menikmati segala nikmat yang disediakan. Satu pihak lagi, mahu cabar sangkar itu atas nama hak dan kebebasan. Akhirnya, berseterulah kedua-duanya.

Itulah yang berlaku dalam jagat mahasiswa. Sejak sekian lama AUKU dipertahankan atas manfaat yang diberikan, akhirnya ia alah juga pada desakan demi desakan sekelompok mahasiswa yang mahu akta ini dimansuhkan, atau setidaknya dipinda. Semuanya atas nama hak dan kebebasan mahasiswa. Persoalannya, adakah kelompok mahasiswa yang menuntut pemansuhan AUKU ini mewakili suara majoriti? Belum ada pungutan suara untuk menentukan jawapan bagi persoalan ini.

Lalu, baru-baru ini, apabila isu AUKU sekali lagi bingit, Timbalan Perdana Menteri dengan sikap terbuka menyerahkannya pada mahasiswa sendiri untuk menentukan hala tuju AUKU. Sama ada ia perlu dipinda, dimansuh atau dikekalkan, mahasiswa sendiri yang akan tentukan. Sekali dengar, ada rasional yang besar daripada sikap terbuka TPM itu. AUKU menyangkut dunia mahasiswa, maka biarlah mahasiswa sendiri menentukannya.

Namun, segalanya seperti buih yang diterbangkan angin apabila Perdana Menteri hari ini mengumumkan keputusan untuk membuat pindaan bagi Seksyen 15 tanpa mengambil kira pandangan seluruh mahasiswa. Dewan Perundingan Pelajar (DPP) USM yang mirip Parlimen Malaysia baru-baru ini sudah pun mengumumkan hasil undian ahli dewannya di mana majoriti menolak AUKU dipinda atau dimansuhkan. Begitu juga beberapa IPTA lain melalui MPP masing-masing turut menyuarakan pandangan yang sama. Tetapi Najib seolah-olah membelakangkan aspirasi majoriti tersebut. Ia juga seolah-olah mengesampingkan saranan timbalan beliau sendiri sebelum ini.

Adakah Najib berkira-kira mahasiswa akan menyokong keputusan tersebut? Sebahagian mungkin ya, sebahagian yang lain tentu tidak. Tetapi beliau silap besar jika syok sendiri dengan menganggap keputusan itu akan merobah corak sokongan mahasiswa terhadap kerajaan BN sekarang. Ia bersifat popular, tetapi kosong. Mahasiswa yang menuntut Seksyen 15 ini dipinda atau dimansuhkan sama sekali tidak akan berhijrah menyertai kem Najib, apatah lagi menunjukkan simpati di atas keterbukaan beliau. Bahkan, mereka akan mengambil kredit yang besar daripada keputusan ini dengan mendakwa perjuangan mereka di pihak yang benar! Maka kian kuatlah mereka menentang Najib selepas ini.

Di dalam kampus, sudah ada budaya politik kepartian yang hebat di mana mahasiswa yang ghairah dengan ‘kuasa’ ini terbahagi kepada dua kumpulan besar iaitu Pro-Mahasiswa dan Pro-Aspirasi. Kedua-duanya, kalau boleh diumpamakan, seperti pembangkang dan kerajaan. Realitinya, memang itulah yang berlaku di mana Pro-Mahasiswa sering didokong oleh pembangkang. Hal ini bukan rahsia lagi. Setiap kali menjelang pilihan raya kampus, portal-portal pro-pembangkang secara terang-terangan mempromosikan kumpulan ini, malah segelintir pemimpin mereka turut menyatakan sokongan secara langsung kepada kumpulan Pro-M ini. Situasi ini tidak berlaku bagi Pro-A yang selalunya terkial-kial sendirian berjuang.

Adakah Najib dan para pemimpin dari kem beliau memahami situasi ini dengan sebenar-benarnya? Adakah Khairy Jamaludin berdamping dengan mahasiswa seperti Ketua Pemuda PAS yang diketahui mesra dengan pemimpin-pemimpin mahasiswa Pro-M?

Najib sepatutnya menerima pandangan semua mahasiswa sebelum bertindak. Yang akan menangung implikasinya nanti ialah mahasiswa, bukan ahli politik. Memang benar kebebasan dan hak asasi mahasiswa penting, tetapi apa yang lebih penting ialah mengawal perjalanan mereka ke arah masa depan yang lebih baik. Tidak semua berminat dengan politik. Tidak semuanya mahu jadi ahli politik. Tetapi mereka yang tidak berminat ini tidak dapat lari daripada menerima palitan yang sama kelak apabila budaya politik kepartian menular ke dalam kampus. Perpecahan, juga pasti akan bertambah besar.

Adakah Najib juga lupa, sebahagian besar pemimpin beliau ketika ini lahir daripada acuan AUKU sendiri? Adakah mereka dungu dan tidak pandai berpolitik? Realiti politik seharusnya dibiarkan menjadi ilmu luar kuliah untuk mahasiswa supaya mereka tahu membezakan apa yang perlu dan tidak perlu, apa yang penting dan tidak penting dan apa yang benar dan tidak benar, secara intelektual, bebas dan eksklusif tanpa campur tangan parti politik! Pada akhirnya, meraka akan kenal budaya politik sebenar dan paling layak diikuti sebagai wadah perjuangan. Selagi mana ia parti, selagi itulah ia ada kekurangan.

Thursday, November 17, 2011

KJ Pun Perlu Disekolahkan Jugak Tentang AUKU?

Apa masalahnya dengan AUKU? Ramai yang berkeras mahu ia dimansuhkan. Adakah mereka faham akta ini sepenuhnya atau sekadar terikut-ikut dengan rentak orang lain?

AUKU bukan tentang satu perkara atau seksyen sahaja. Ia sebuah perundangan, tak sama macam ISA. Tetapi masyarakat hari ini umumnya melihat AUKU hanya pada Seksyen 15 yang menyentuh hak dan kebebasan bersuara mahasiswa terutamanya dalam hal politik.

Kalau dimansuhkan, bagaimana dengan kepentingan-kepentingan lain yang sudah diperakukan sendiri oleh Parlimen dalam akta ini? Kalau Haji Hadi kata Hudud cuma 0.00001% daripada kandungan Al-Quran, maka Seksyen 15 ini, kalau tak kurang, lebih 5 % sahaja daripada keseluruhan AUKU itu sendiri. Maka wajarkah ia dimansuhkan hanya untuk memenuhi tuntutan politik terbabit?

Kalau pun ia bertentangan dengan hak asasi warga, ia sebenarnya satu pertentangan yang positif. Dari sudut yang sukar dilihat dengan baik oleh masyarakat terutamanya ahli-ahli politik di luar pagar kampus, ia sebenarnya telah menjaga dan melindungi seluruh mahasiswa daripada kepentingan golongan tersebut.

AUKU bertanggungjawab menjaga keharmonian warga kampus daripada permainan politik pihak luar itu sendiri. Itu premisnya, mudah dan jelas. Benar, mahasiswa adalah warganegara dan seharusnya dibenarkan memiliki hak sebagai warganegara dalam hal politik. Tetapi bolehkah kita menjamin suasana ekslusif dan budaya intelektual di dalam kampus akan kekal dipelihara apabila budaya politik kepartian dibenarkan turut serta?

Apa akan jadi kalau setiap kumpulan mahasiswa yang berbeza ideologi politik berkeras dengan gerakan masing-masing? Situasinya, kalau tak sama seperti di luar sekali pun, paling mirip tetap akan berlaku konflik sesama kumpulan mahasiswa ini. Maka kita akan menyaksikan pelbagai suasana baharu yang selama ini tidak pernah berlaku di dalam kampus seperti ceramah politik menggantikan kuliah-kuliah umum, poster-poster parti menggantikan poster-poster persatuan, dan lebih parah, bila setiap minggu ada pemimpin politik masuk ke kampus mempromosikan agenda parti sekali gus menarik sokongan baru.

Sekarang pun sudah berlaku tetapi masih dalam suasana yang terkawal. Masih ada rasa hormat pada undang-undang meskipun terdapat golongan mahasiswa yang fanatik dengan parti politik tertentu. Inilah pentingnya AUKU, untuk mengawal keadaan juga. Kita tidak mahu kesan yang dibawa nanti memalitkan bau busuk yang sama terhadap seluruh mahasiswa sedangkan yang fanatik itu sebahagian kecil sahaja.

Kebebasan bersuara itu satu hal, dan kesan-kesannya pula adalah hal yang lain, dan inilah yang sepatutnya difikirkan lebih dalam berbanding menuntut diberikan hak untuk bersuara. Mahasiswa perlu guna hak berfikir itu sebaik mungkin, bukannya memperjuangkan pemikiran pihak lain khususnya orang politik di luar pagar kampus. Mereka hanya nampak keuntungan untuk perjuangan parti, tetapi kesan yang akan ditanggung nanti terletak sepenuhnya di atas bahu mahasiswa.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...