Sunday, January 4, 2009

PILIHANRAYA KAMPUS (PRK): MAHASISWA PERLU BEREVOLUSI


Tuntutan alam pengajian tinggi hari ini semakin pelbagai dan kompleks. Mahasiswa sebagai tulang belakang sistem keilmuan ini haruslah melakukan lebih banyak anjakan yang positif bagi mencapai tuntutan-tuntutan tersebut. Dalam hal ini, suatu perkara paling asas yang perlu didepani oleh setiap mahasiswa ialah mereka, secara kolektif, dan tanpa mengambil kira asas ideologi masing-masing, perlu berada dalam ruang lingkup kepimpinan pelajar yang senada dengan hala tuju dan dasar universiti. Hal ini mungkin kedengaran agak tidak seimbang apatah jika isu-isu semasa yang disuarakan sejak belakangan ini diambil kira. Misalnya, tuntutan kebajikan yang semakin kompleks, suara mahasiswa daripada pelbagai ras, dan lain-lain isu yang ada antaranya panas dan meresahkan. Namun, sebagai mahasiswa, ada hal lain yang lebih utama sebenarnya yang perlu disedari oleh golongan ini.


Tinggalkan sebentar tanggungjawab asasi sebagai penuntut ( kerana jika hal ini menjadi pokok bicara, sudah tentu titik kesimpulannya sudah awal-awal lagi ditemui), sebaliknya mari tumpukan sejenak perhatian kepada pilihan raya kampus (PRK) yang bakal menjelang tidak lama lagi (desas-desus berbunyi barangkali pada pertengahan Januari, wallahu’alam). Hal ini demikian kerana, pilihanraya kampus pada kali ini adalah suatu proses demokrasi yang perlu berjalan dengan lebih matang dan selamat. Sementelah ini adalah pilihanraya pertama di USM sebagai sebuah universiti APEX, maka anjakan budaya berpolitik dengan kesedaran asasi umum perlu diletakkan di hadapan mengatasi segala situasi. Kompleksiti tuntutan yang bertunjangkan isu kaum semata perlulah dikesampingkan sebaliknya kesedaran tentang suara mahasiswa yang bersatu dalam kedaerahan sebuah institusi pengajian tinggi awam adalah lebih penting untuk digegarkan dalam kempen-kempen yang bakal digerakkan nanti.

Itu jika pada tahap awal. Bagaimana pula apabila proses pembuangan undi dijalankan? Di sini, pada tahap segenting ini, mahasiswa perlu menggunakan segala kematangan dan pengalaman semasa untuk memilih calon yang benar-benar berkelayakan. Bagaimana? Mudah. Lihat kembali pada kempen-kempen yang telah digegarkan sepanjang tempoh tersebut berlangsung. Lihatlah pada calon yang bertanding dengan pandangan yang lebih matang. Emosi? Suatu hal yang perlu dibuang jauh-jauh. Dan, suatu hal yang perlu diletakkan di hadapan sekali ialah, calon yang berkenaan yang termuat dalam senarai itu mestilah terjawab secara otomatis pada persoalan ‘apakah bisa ia berkhidmat?’, bukannya kerana ‘siapa ia?’ atau ‘kenapa ia?’. Kematangan. Hanya itu sahaja yang diperlukan pada tahap ini, kerana, sekali lagi, bukan emosi. Mudah bukan? Jadi tiada sebab kenapa tidak turun membuang undi.

Sebentar, menarik juga jika disentuh tentang sikap mahasiswa hari ini yang kurang memberatkan tanggungjawab mereka turun mengundi. Entah di mana silapnya, jelas semakin banyak mahasiswa yang kurang endah akan hal ini. Entah kenapa juga mereka seolah mengolah masa mereka untuk hal-hal lain yang difikir barangkali lebih enak (misalnya, tidur, dan misalnya lagi, melayari internet ataupun main game ataupun keluar bersiar-siar). Ini sikap yang perlu berevolusi sebenarnya, ke arah yang lebih baik tentu sekali. Barangkali, ini barangkali sahaja, mahasiswa hari ini kurang ingin atau berselera untuk berpolitik. Jika benar, malang amat dan jika sebaliknya, perlu digerak momentum mega yang boleh mengalih perhatian mereka secara total. Perlu diberitakan segera bahawa pilihanraya kampus pada sidang ini dan sidang-sidang mendatang adalah suatu acara besar yang tersangat besar ertinya kepada seluruh universiti. Inilah wadah awal yang bakal mencorak persekitaran APEX dalam sebuah taman (baca: USM). Wadah ini jugalah yang bakal menghunjam segala sangka buruk pihak-pihak yang berhasad negatif terhadap universiti ini. Tiada siapa yang tidak cemburu dengan kurniaan besar dari Allah ini buat kita di USM. Perlu diingat juga pilihanraya kampus pada kali ini bakal menjemput lebih banyak mata luar dan perhatian pihak-pihak tertentu terhadap USM.

Sekadar mengutip laporan daripada sebuah akhbar, ada khabar yang mengatakan ada banyak benar pihak yang berminat dengan aroma politik kampus di USM. Hal ini ada benarnya juga lebih-lebih lagi selepas teranugerahnya status APEX. Ada mata yang begitu teruja untuk melihat perkembangan politik mahasiswa USM. Media massa dari sebarang arus tentu sekali yang akan paling terkinja-kinja untuk melaporkan setiap gerak getus geri tari sepanjang proses pilihanraya ini berlangsung kelak. Jadi pesan kepada mahasiswa, berhati-hatilah. Evolusi sikap, sekali lagi, adalah sangat dituntut. Sangat-sangat.

Akhir sekali, mari bicara tentang kebarangkalian yang akan berlaku selepas tamatnya pengiraan undi. Jika pada saat ini MPP sedang diperintah oleh ‘caretakers’, maka untuk hari-hari selepasnya pemerintahan akan diambil alih oleh mereka yang selayaknya dipilih (secara demokrasi, tentu!). Tugas tidak sedikit menanti. Hanya kesediaan berkorban mampu menanganinya kelak. Siapa? Hanya Allah yang tahu. Dan kita hanya perlu menantikan semua itu benar-benar berlaku kelak.

Buat mahasiswa, bersatulah! Dan berevolusilah!

4 comments:

Anonymous said...

org aspirasi ke??
bleh blah laa..

hampeh.

Anonymous said...

aku baru jumpe page ko ni. terang-terang ko ni balaci aspirasi kan. kenal laa..

tahun ni giliran pro-M lak ok.

hampeh.

rizuan mh said...

pe yg hampehnye..oo org melayu camtu upenye..x backup sesame melayu..org2 mcm korg dua la mybbkan tanah air tergadai..bgsa len pijak..lu pk la sndiri..cube fikir secara matang..jgn fikir ikut darah muda je

Anonymous said...

kah...kah...kah... mat jiwang rupenyer.....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...