Musim kita berbincang tentang akta kontroversi ISA datang lagi. Seperti dilaporkan, esok (Ahad, 21hb Nov 2010) bertempat di Komtar Walk, Pulau Pinang, akan dianjurkan program memperingati ‘kekejaman’ akta tersebut oleh SUARAM dan DAP di samping mendesak supaya ia dimansuhkan segera.
Kebiasaannya, program sedemikian diadakan di luar pagar Kem Tahanan Sementara di Kemunting, Taiping tetapi venuenya berubah kali ini. Hal ini mungkin kerana faktor sokongan kuat daripada kerajaan DAP di Pulau Pinang sendiri yang begitu bersungguh-sungguh menentang akta yang pernah berjasa besar menghalang penyebaran pengaruh komunisme di negara ini suatu ketika dahulu. Sukar dipastikan apakah ada sebab lain kenapa DAP begitu anti dengan akta ini selain faktor dendam lampau, melainkan kita boleh membuat hepotesis alternatif iaitu bagi meraih laba politik dengan cara terus-terusan menekan kerajaan pusat sehingga tunduk dan akur dengan kehendak mereka.
ISA bukanlah akta yang perlu ditakuti oleh rakyat Malaysia sebenarnya. Tiada istilah menyekat kebebasan atau hak asasi meskipun metodologi penahanannya dilihat tidak adil. Pihak yang menentang akta ini hanya berpaksikan hujah bahawa setiap penahanan yang dilakukan tidak mempunyai bukti yang kukuh untuk menuduh dan mengesyaki seseorang itu terlibat dengan jenayah yang berpotensi mengganggu-gugat kepentingan rakyat negara ini.
Mereka juga marah kerana akta ini dikatakan membelakangi kuasa kehakiman dengan menyerahkan kuasa yang ‘istimewa’ kepada Menteri Dalam Negeri, tetapi adakah mereka sedar bahawa sehingga kini, sudah berapa ramai yang ditahan sewenang-wenangnya tanpa sebarang asas? Melainkan mereka yang benar-benar jelas asasnya saja ditahan seperti yang berlaku baru-baru ini yang melibatkan kes penyeludupan manusia di negara ini.
Sama ada kita sedar ataupun tidak, Islam juga ada menggariskan kuasa-kuasa tertentu kepada pemerintah untuk dipraktikkan jika bersabit dengan hal-hal kepentingan umum atau keselamatan negara, ketenteraman orang ramai, ekonomi, pengangkutan, perniagaan dan sebagainya. Kuasa yang disebut sebagai hisbah tersebut dimiliki oleh pihak kerajaan walaupun pada masa yang sama, masih ada badan kehakiman yang menjalankan asas-asas keadilan.
Dalam Islam, badan eksekutif atau Asultatu al-Tanfiziah dan badan perundangan atau Asultatu al-Kadhoiyyah mempunyai bidang kuasa yang saling berbeza antara satu sama lain. Dalam hal atau urusan menjaga keselamatan negara, kuasa hisbah itu boleh digunakan walaupun jika diukur dari sudut perundangan sekular, seolah-olah menidakkan proses kehakiman. Ibnu al-Qayyim pernah mengatakan bahawa hukum-hukum yang dilaksanakan di bawah hisbah ialah hukum syarak yang jika tanpanya, kepentingan umat atau rakyat mungkin tidak mampu dipelihara dengan sempurna (Ibnu al-Qayyim, al-Thuruqul Hukmiyyah).
Justeru daripada keterangan beliau ini, mengikut kuasa hisbah, maka jelaslah ia menunjukkan bahawa kuasa pemerintah antaranya boleh mengenakan tahanan terhadap seseorang tanpa berlakunya perbicaraan atas sebab musabab untuk menjaga kepentingan umum dan keselamatan negara sama seperti yang dipraktikkan melalui ISA. Tambahan pula, ISA di negara ini amat jelas sekali digunakan secara berhemah, iaitu berdasarkan keperluan dan bukannya disalahguna untuk kepentingan politik pemerintah seperti yang dimomokkan oleh pihak pembangkang di negara ini. Malah, tidak sedikit bekas tahanan yang mengakui keberkesanan akta ini terhadap pesalah seperti mereka.
Pun tentu, jika kita menggunakan hujah-hujah begini, pasti akan dipatahkan pula dengan cara mengaitkan kedudukan Ulil Amri atau pemerintah itu berdasarkan tuntutan Islam. Memang tidak dinafikan, sistem pemerintahan di negara ini beracuankan British. Selepas mencapai kemerdekaan, sistem demokrasi berparlimen raja berperlembagaan di sini dibahagikan kepada tiga komponen iaitu badan perundangan, kehakiman dan eksekutif. Tetapi kita jangan lupa, kemajmukan penduduk di negara ini sentiasa memainkan peranan penting yang turut mempengaruhi kesemua komponen tersebut.
Justeru adalah tidak adil untuk mengatakan pihak eksekutif atau pemerintah hari ini iaitu kerajaan Barisan Nasional yang ditunjangi UMNO menolak hukum Islam sepenuhnya. UMNO walaupun menguasai Barisan Nasional sejak dari awal penubuhannya tetapi ia bukanlah parti yang mendominasi perikatan tersebut, sebaliknya mengamalkan toleransi dan perkongsian kuasa serta saling menghormati keperluan setiap kaum. Selain itu, UMNO juga bukan parti dominan di dalam komponen perundangan atau legistlatif (Parlimen) yang bertindak sebagai badan penggubal undang-undang negara. Justeru adalah bebal bagi mereka yang berpendirian UMNO menolak mentah hukum Islam selama ini tanpa memahami terlebih dahulu situasi sebenar!
Berbalik kepada isu ISA, kita juga perlu melihat dari sudut yang lebih luas, khususnya dalam situasi dunia global hari ini. Ancaman keselamatan daripada pihak-pihak yang bencikan keamanan sentiasa wujud di mana-mana. Justeru adalah tidak masuk akal untuk kita fikirkan proses perundangan biasa mampu menangani impak segera daripada sebarang ancaman yang timbul, melainkan kita perlu bergantung sepenuhnya kepada tindakan awal yang berasaskan hasil risikan daripada pihak-pihak yang pakar mengenainya. Di sinilah ISA diperlukan. Juga, jangan sesekali fikir Malaysia ini bebas daripada sebarang ancaman keselamatan!