Followers

Saturday, August 6, 2011

Selamatkan Akidah Ummah



Sedih, marah, geram bercampur-baur selepas melihat satu persatu maruah Islam dan umatnya di negara ini dicabuli dan sewenang-wenangnya dicerobohi walaupun pada dasarnya ia dilindungi oleh peruntukan perlembagaan.

Laporan yang disediakan oleh Berita Harian hari ini umpamanya, jelas menunjukkan realiti yang sedang dihadapi oleh orang Melayu Islam di negara ini yang lemah akidahnya dan mengalami tekanan hidup yang tinggi hingga sanggup menggadaikan akidah demi wang ringgit dan hidup yang lebih baik.

Entah di mana silapnya – ada yang mendakwa peruntukan undang-undang yang lemah dan tidak dikuatkuasakan sepenuhnya, ada juga yang cuba mengaitkannya dengan ‘kebangkitan’ kuasa politik minoriti yang menjadi punca permasalahan ini, dan paling banyak diperkatakan ialah, toleransi yang berlebihan daripada pihak-pihak tertentu – namun yang jelas, apa-apa pun faktor yang membawa kepada kegiatan menyerang Islam secara halus mahupun terang-terangan ini perlu dihentikan segera.

Kita tak perlu lagi menuding jari kepada sesiapa, apatah lagi cuba mengaitkan peranan parti-parti politik tertentu walaupun pada hakikatnya ada sumbangan yang diberikan hingga masalah ini menjadi begini parah, sebaliknya semua pihak perlu tampil ke hadapan menawarkan apa jua jalan penyelesaian atas nama Islam dan kesejahteraan orang Melayu dan negara seluruhnya.

Paling tidak, gerakkan segera skuad penyelamat akidah yang boleh berdepan dengan cabaran ini secara total. Salurkan segala dana dan bantuan yang ada dan yang boleh diperolehi baik dari dalam mahupun luar negara. Dalam hal ini, pihak kerajaan melalui jabatan dan majlis-majlis agama Islam perlu menjadi lebih garang untuk bertindak dan tidak tunduk kepada sebarang tekanan politik.

Atas nama kebebasan beragama yang bersyarat, maka Islam harus dibela secara total kerana ia adalah agama bagi persekutuan, mempunyai penganut terbanyak dan selama ini telah banyak bertoleransi dengan agama-agama lain. Jadi, usahlah orang bukan Islam cuba mempertikaikan sempadan yang telah ditetapkan ini. Islam tidak sama dengan mana-mana ideologi ketuhanan yang lain, bahkan Islamlah jalan yang benar mutlak, tertinggi dan paling mulia di sisi Allah SWT.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...