Followers

Thursday, February 26, 2009

HaiRaN daN MaRah

Agak malang dan merisaukan. Dengan sedikit iman di dada, aku sangat risau melihat perkembangan terbaru yang berlaku di Pulau Pinang. Sebuah majlis telah ditubuhkan bertujuan menjadi perantara setiap agama, lebih memfokus kepada perundingan yang akan berlaku antara setiap agama utama yang ada di PP. Mudahkan senarai ialah Islam, Kristian, Hindu dan Buddha. Namanya, Majlis Perundingan Agama. Apa bendanya aku pun belum tahu jelas sebab rasa rajuk yang amat sangat membantutkan minat untuk mengkaji tentang penubuhannya. Soalannya mudah, apa perlunya? Aku tanya sebab aku Islam yang mukminin. Sebab aku Islam yang bukan sekadar Muslim.

Apa perlunya sebuah majlis diwujudkan, yang seperti ini, kalau tujuan asasinya adalah untuk mencampuri urusan ad-din Allah yang sangat suci. Allah, Dia menegaskan yang Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya. Maknanya, tidak ada dan tidak akan ada sama sekali satu cara hidup (baca: agama, kerana setiap agama ialah cara hidup, tetapi Islam ialah syumul, yakni cara hidup yang menyeluruh yang ditetapkan oleh Allah swt ke atas pengikutnya yang mukminin, maka tertolaklah jika Islam itu dianggap sebagai agama, tetapi Ad-Din Allah) yang boleh mengatasi Islam, malah menyamai Islam pun tidak. Tetap. Tidak. Kamu jika Islam yang mukminin, yang bukan sekadar muslim harus menerima hal ini terang-terang.

Maka itu, aku dengan sedikit iman dan ilmu, tapi yakin, dengan tegasnya menolak jika Majlis Perundingan Agama yang ditubuhkan ini cuba meletakkan Islam dalam kekuasaan perundingannya. Mana boleh hal hukum hakam Allah diperjudikan di meja rundingan. Ini kerja orang buta agama. Siapa? Pak-pak dan Tuan-tuan Guru barangkali. Pertama, kerana Islam itu sendiri bukan agama tapi Ad-Din Allah. Agama ialah kata masukan yang dipinjam daripada bahasa Sunskrit. Tapi Islam lebih tinggi, tinggi yang teramat. Islam bukan menumpang PAS. Islam bukan menumpang PMI, ABIM, SIS atau sebagainya. Mereka ini yang menumpang Islam, menunggangi Islam, memandu Islam, membawa masuk Islam yang suci dalam kerja politiking mereka.

Mereka ini yang telah menjahanamkan Islam. Mereka ini manusia yang dalam diri mereka ada nafsu dan akal. Mereka inilah yang mempolemikkan Islam untuk kepentingan tertentu sehinggakan orang bukan Islam sendiri sudah berani-berani mencampuri hal urusan Islam atas nama kemanusiaan dan demokrasi bangsa. Kamu, jika Islam yang mukminin, yang bukan sekadar muslim, harus menolak kompromi ini. Apa-apa pun motif yang kononnya untuk kehidupan sejagat yang lebih harmoni harus ditolak kerana dalam Islam sudah terkandung segala yang murni dan selamat. Tak perlu dirunding-bicarakan lagi. Apa perlu?

Siapa yang menggerakkan semua ini? Shabudin Yahaya (Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, MAINPP), menyatakan di Sungai Dua, Nibong Tebal pada 24 Februari 2009 mengenai penubuhan Majlis Perundingan Silaturahim Antara Agama oleh kerajaan negeri Pulau Pinang. Biarpun mahu disaman oleh Guan Eng, namun Shahbudin sekali lagi mengulangi bahawa beliau mempunyai bukti yang kukuh tentang Majlis Perundingan Silaturahim Antara Agama tersebut . “Jika majlis itu tidak ada (tidak wujud) mengapa ada pemimpin agama lain yang memberi respons kepada Majlis Agama sedangkan bagi membincangkan tentang agama Islam, kita telah ada majlis-majlis agama,” kata Shabudin Yahaya. Menurutnya, Haji Hadi Awang (Presiden PAS) ada membuat kenyataan bersetuju dengan penubuhan majlis tersebut di Pulau Pinang selepas pilihan raya umum yang ke-12 (Azrinizam,http://anginperubahan.blogspot.com/).

Aku sebetulnya hairan teramat kerana isu ini dibalah-balahkan oleh orang-orang yang berkapasiti tinggi dalam hal agama dan pentadbiran masyarakat. Mereka berautoriti. Tetapi merekalah yang merestui kecelakaan besar ini. Peter Scheir, wakil KAF di Malaysia mengakui KAF terlibat secara langsung dalam penajaan IFC di Malaysia. Siapa orang ini? Syaitan ,ini bukan orang, ialah wakil KAF yang berada di Malaysia kononya untuk membimbing dan menaja InterFaith Commission (IFC) yang suatu ketika begitu disokong oleh BAR Council atau Majlis Peguam.

Semuanya atas nama hak asasi manusia yang didoktrinkan oleh Yahudi dan Amerika. Malah sehingga kini, BAR masih kuat dengan iltizam mereka demi IFC. KAF ialah singkatan kepada sebuah organisasi antarabangsa yang betebaran di seluruh dunia, lebih tepat dunia Islam, yang berusaha mendoktrinisasikan fahaman bahawa setiap manusia ialah setaraf dan sedarjat, atau mudahnya, kesamarataan termasuklah dalam hal-hal kepercayaan dan anutan masing-masing. KAF atau Kondrad Adeneur Foundation berpangkalan di Jerman dan telah dibuktikan menaja beberapa NGO di Malaysia khususnya di PP yang berjuang dalam isu-isu kesamarataan seperti Sister In Islam (SIS), Pusat Komunikasi Masyarakat (KOMAS) dan Penang Global Ethic (PGE). Semua ini adalah jarum bangsa dan agama yang akan mencucuk kehidupan kita semua. Mereka kotor. Pasti.

Peter Scheir malah turut mengakui membantu kewangan Institut Kajian Dasar (IKD) dalam satu wawancara dengan Akhbar The Sun pada 30 November 2006. IKD ini adalah tunjang utama sebuah parti rakyat yang kononnya membawa harapan dan pembaharuan dengan mitos keadilan (keadilan?..hanya untuk seorang barangkali). Mereka ini harus didakwa. Pertama, kerana mereka mendakyahkan sesuatu yang menyalahi perundangan di bawah peruntukan Perkara 3, Perlembagaan Malaysia. Kedua, mereka ini jugalah antara yang menggerakkan Forum Memeluk Islam suatu ketika dahulu.

Polemik yang hendak dibawa dalam forum ini impaknya amat besar. Mereka mahu berbincang secara forum tentang hak-hak asasi manusia tetapi hakikatnya mereka mahu ’memeluk’ Islam secara langsung, supaya dengan pelukan-pelukan yang tidak mesra itu lama-lama akan melemaskan seluruh daya Islam dan umatnya. Melenting seorang wakil rakyat yang juga peguam walaupun beliau telah menongkah prinsip bosnya. Bosnya merestui forum ini yang terang-terang melanggar Perkara 10, Fasal 4, Perlembagaan yang melarang mana-mana pihak daripada mengungkit dan mempersoal Perkara 3 iaitu yang berkaitan dengan Agama Islam.

Aku hairan dan teramat marah dalam hal ini. Nabi sendiri mewajibkan kita semua sebagai umatnya yang mukminin supaya punya rasa marah dalam hal Islam jika kesuciannya dipermainkan. Marah ini perlu untuk mempertahankan maruah Ad-Din Allah yang tinggi dan suci.

2 comments:

Anonymous said...

ati-ati kawan.masuk isa nanti

rizuan mh said...

kena berani menyatakan kebenaran saudara/i anon.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...