Followers

Wednesday, February 18, 2009

JENAYAH PEMISAHAN DISIPLIN ILMU

Ilmu kesusasteraan, suatu bentuk ilmu yang digunakan juga untuk menggambarkan keagungan tamadun dan keintelektualan sesebuah bangsa, seperti juga bidang-bidang ilmu lainnya, pernah pada suatu ketika mengalami krisis identiti yang agak rumit dan kompleks. Hal ini berlaku kerana wujudnya aliaran-aliran pemikiran yang bercampur-baur yang menyongsong sebelumnya, dengan kebangkitan pelbagai cabang ilmu ketika itu. Krisis identiti ini, jika boleh dianggap sedemikian, adalah suatu bentuk jenayah pemikiran dan ideologi, yang dipanjangkan pula langkahannya melalui pembentukan teori-teori tertentu sehingga menyebabkan berlakunya pemisahan terhadap silaturrahim keilmuan yang telah sedia wujud antara bidang-bidang ataupun disiplin ilmu tersebut. Lantas impaknya hanyut melintasi cabang-cabang ilmu itu sendiri. Antara yang menerima musibah itu termasuklah bidang sastera, sosiologi, etnografi, antropologi dan juga bidang sejarah yang pada akhirnya, membawa kepada pengaburan batas-batas atau perenggan antara displin-displin ilmu berkenaan. Agak sukar sebenarnya untuk menghuraikan situasi ini secara tuntas melalui ruang yang sekecil ini, namun esei ini akan cuba menghujahkannya melalui sorotan terhadap pandangan-pandangan yang pernah dilontarkan oleh beberapa orang tokoh kritikawan tentang fenomena pengaburan tersebut.
Pada dasarnya, struktur esei ini mengandungi beberapa titik perbincangan yang akan dicerakinkan melalui bahagian-bahagian tertentu supaya lebih terarah kepada persoalan utama yang hendak dikupas iaitu fenomena pangaburan batas-batas ilmu dan hal-hal lain yang berkoherensi. Walau bagaimanapun, untuk mencerahkan lagi laluan perbincangan, esei ini akan turut memuatkan sedikit sebanyak kutipan isu yang telah menyebabkan berlakunya peminggiran terhadap bidang sastera daripada arus utama keintelektualan massa khususnya pada sekitar awal dan pertengahan abad 1920-an yang turut dikenali sebagai era moden, iaitu detik-detik awal yang mencetuskan jenayah pemisahan disiplin-disiplin ilmu terutamanya di Eropah. Pada titik yang selanjutnya pula, esei ini akan membincangkan beberapa sisi lain yang dilihat sebagai pemangkin kepada fenomena pengaburan disiplin-displin ilmu setelah berakhirnya era moden. Lebih tepat, hal ini berlaku selepas zaman moden yang dikenali juga sebagai zaman paca-modenisme atau post-modernisme.

MODENISME DAN SUMBANGANNYA TERHADAP PEMISAHAN DISIPLIN-DIDPLIN ILMU: SATU SISI LAIN ERA MODEN.

Bagi menjelaskan secara lebih lanjut tentang fenomena-fenomena yang dibawa oleh zaman modenisme khususnya yang memberikan kesan ataupun impak langsung terhadap perkembangan bidang keilmuan termasuklah kesusasteraan, esei ini akan menyoroti terlebih dahulu laluan sejarah yang pernah dilewati agar perbincangan tidak menjauhi sumber asasnya itu sendiri. Modenisme, berdasarkan dapatan maklumat sejarah, merupakan suatu bentuk gagasan kebudayaan yang digerakkan dan berkembang lebih 30 tahun sejak sebelum tahun 1914 lagi (Malcolm Bradbury, 1976:11). Gerakan ini antara lain meliputi bidang-bidang ataupun displin seperti seni (seni muzik atau hiburan, seni bina dan seni gunaan) dan juga bidang kesusasteraan (sumber: Wikipedia) . Sebenarnya, titik awal kemunculan era modenisme itu sendiri sebahagian besarnya digerakkan oleh semangat pembebasan yang pernah wujud lama sebelumnya lagi iaitu ketika zaman renaissance yang pernah melanda bangsa Eropah (Sophie al-Raahili :2007). Semangat ini jugalah yang telah memberikan semacam suatu inspirasi kepada golongan intelektual era moden yang meletakkan kebebasan akal untuk mentafsir dan menginterpretasikan kenyataan pada tahap yang optimum tanpa terikat dengan batas-batas keagamaan yang sering melingkari upaya pemikiran mereka ketika itu.
Sementara itu, dasar pemikiran modenisme yang lebih up-to-date yang berkembang pada awal dan pertengahan abad 1920-an sebenarnya banyak dibentuk oleh cetusan-cetusan idea oleh Rene Descartes. Beliau telah memberikan keutamaan kepada akal manusia dan sekali gus melonjakkan manusia sebagai superman yang berkeupayaan untuk mengubah alam dan juga kehidupan manusia itu sendiri ( Noriah Taslim, 2007:54). Rene Descartes, seorang ahli falsafah Perancis menganggap rasionalisme yang dijana oleh akal manusia adalah suatu standafikasi paling penting untuk menilai kebenaran, yang selama ini ditolak oleh golongan agama dan juga pihak gereja Katholik ( Sophie al-Raahili, 2007). Hal ini jelas sekali menunjukkan bahawa Rene Descartes telah meletakkan aspek kerasionalan sebagai sumber paling berwibawa yang mampu menjadi penanda aras kepada kebenaran sesuatu perkara, sekali gus melarikan diri daripada hambatan dan kongkongan jumud yang dipegang oleh golongan agama sejak dari zaman Yunani Kuno lagi.
Bagaimanakah hal ini berlaku? Apakah justifikasi lain yang dipegang oleh Rene Descartes untuk menolak kepercayaan bahawa rasionalisme bukanlah suatu bentuk standafikasi kepada kebenaran sesebuah displin ilmu? Adakah beliau telah meletakkan genius atau kecerdikan individu sebagai faktor paling ampuh untuk melihat sesuatu kenyataan ataupun sebaliknya? Persoalan-persoalan ini mungkin sukar untuk dijawab secara langsung kerana melibatkan banyak cabang idea dan kupasan yang lain, namun, suatu hal yang menarik yang mungkin boleh diajukan juga di sini ialah, Rene Descartes turut mengusulkan bahawa, apa-apa jua bentuk ilmu pengetahuan atau idea yang dihasilkan bukan melalui rasionalisasi akliah manusia adalah boleh disangsikan dan dipertikaikan secara mental. Beliau turut menegaskan bahawa hanya ilmu pengetahuan yang bersumberkan secara konkrit dengan rasional akal sahaja yang valid dan benar ( Sophie al-Raahili, 2007). Hal ini secara tidak langsung telah membuktikan bahawa telah berlaku pembinaan tembok-tembok pemisah yang telah mengasingkan bidang-bidang ilmu tertentu khususnya disiplin sains dan sastera yang berkontradiksi dari segi kaedah dan metodologinya dengan arkitek yang bertanggungjawab ialah Rene Descartes sendiri.
Komentar oleh Noriah Taslim tentang pemikiran Rene Descartes juga menarik untuk dibincangkan. Menurut beliau, pemikiran Rene Descartes sebenarnya bertitik tolak daripada gejala sekularisme yang menyongsong sebelumnya yang memberikan kerancakan kepada ikhtiar-ikhtiar manusia untuk memaksimumkan keintelektualannya demi menjelajah rahsia alam ini serta untuk meraikan penemuan-penemuan yang berjaya dilakukan (Noriah Taslim, 2007:55). Apakah yang dimaksudkan oleh Noriah Taslim dengan gejala sekularisme tersebut? Dan apakah pula kaitannya dengan maksud ‘penemuan-penemuan’ yang diutarakan itu? Sekali lagi, definisi yang lebih konkrit diperlukan untuk menjawab persoalan-persoalan ini. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, yang turut dipersetujui maksudnya melalui entri dalam Wikipedia bebas Bahasa Melayu, sekularisme ialah ideologi yang menetapkan bahawa urusan keduniaan seperti politik, pentadbiran dan juga perundangan harus dipisahkan daripada unsur-unsur keagamaan secara mutlak.
Meskipun idea tentang gagasan ini telah lama wujud namun istilah sekularisme hanya diperkenalkan oleh seorang penulis dari United Kingdom pada tahun 1846 iaitu George Holyoake. Dalam satu petikan, beliau secara tegas telah menghujahkan bahawa;
Secularism is a code of duty pertaining to this life, founded on considerations purely human, and intended mainly for those who find theology indefinite or inadequate, unreliable or unbelievable. Its essential principles are three: (1) The improvement of this life by material means. (2) That science is the available Providence of man. (3) That it is good to do good. Whether there be other good or not, the good of the present life is good, and it is good to seek that good.

Berdasarkan lontaran idea oleh beliau di atas itu tadi, dapat dirumuskan bahawa sekularisme sebenarnya lebih bersifat sebagai suatu bentuk peraturan yang berkaitan dengan kehidupan manusiawi dengan landasan utamanya ialah nilai-nilai kemanusiaan itu sendiri. Bagi mengukuhkan lagi propaganda yang cuba diketengahkan, beliau telah menggariskan tiga prinsip utama dalam amalan sekularisme, iaitu

A) Memperbaiki kehidupan dengan cara kebendaan.
B) Bahawa sains itu adalah panduan hidup bagi manusia.
C) Apa-apa sahaja yang baik itu adalah baik untuk dilakukan.

Berdasarkan prinsip-prinsip tersebut, maka jelas sekali bahawa sekularisme yang kemudiannya membajai akar pemikiran modenis termasuklah Rene Descartes telah menekankan secara tegar terhadap perkembangan ilmu yang lebih imperikal dari segi fakta dan sumbernya, yang tentu sekali bertunjangkan kepada akal manusia atau kerasionalan semata-mata. Sekali lagi, tembok semakin dikukuhkan dan Rene Descartes selaku arkitek yang bertanggungjawab menebalkan konkrit terhadap tembok-tembok ini berjaya mencetuskan fenomena pemisahan disiplin-disiplin ilmu ketika era modenisme. Untuk mengenal secara lebih dekat akan niat asal golongan modenis dalam mereka meletakkan kerasionalan sebagi pandu arah bagi setiap perbincangan intelektual, khalayak mungkin boleh mengambil prinsip kedua dalam teori sekularisme seperti yang digariskan oleh George Holyoake sebagai subject matter perbincangan tersebut. Hal ini demikian kerana, intipati dalam prinsip kedua tersebut secara jelas meletakkan sains sebagai garis panduan yang paling utama untuk menentukan proses serta sistem kehidupan manusia sejagat. Malah, bidang sains yang berpaksikan kecerdikan dan kerasionalan akal manusia jugalah yang menjadi faktor kepada setiap invensi atau penemuan seperti yang dihujahkan oleh Noriah Taslim dalam komentar beliau.
Bagaimanakah hal ini boleh berlaku? Mengapakah bidang sastera diperlakukan sedemikan rupa? Adakah benar bidang sastera tidak mempunyai nilai yang tinggi dari segi kualiti untuk mencipta sesuatu invensi seperti bidang sains? Menurut Noriah Taslim, terdapat beberapa kemungkinan yang mendorong peminggiran terhadap bidang sastera berlaku pada zaman moden, dan beliau menghubungkaitkannya, antara lain, dengan takrifan kesusasteraan itu sendiri. Pada abad ke-18, ketika bidang kesusasteraan mengalami ledakan ‘boom’ yang tersendiri, konsep romantisme yang dibawa oleh para penulis ketika itu sangat menyerlah sehingga berupaya mengangkat mereka kepada satu kedudukan yang tinggi dalam kalangan masyarakat. Dalam takrifan romantisme, karya sastera lahir daripada genius individu, sebagai luahan yang melimpah ruah dan spontan seorang manusia – peribadi yang mengatasi tradisi, norma dan hukum (Noriah Taslim, 2007:55). Hal ini bagaimanapun tidak lagi diterima pada zaman moden kerana konseptual tersebut tidak mencerminkan kebenaran yang boleh diukur dengan kerasionalan akal manusia secara komprehensif.
Kemungkinan kedua pula tercapah kepada faktor persepsi manusia pengarang yang tunduk kepada runtunan emosi sebagai proses kreatifnya. Persepsi ini, menurut Noriah Taslim, turut menerima pengukuhannya daripada aliran-aliran psikoanalisis, misalnya aliran Freudian, yang juga dominan dalam era moden tersebut (Noriah Taslim, 2007:55). Berdasarkan fahaman dalam aliran Freudian, proses kreatif manusia pengarang sebenarnya berpunca dari dalam diri individu, sebagai pelepasan emosi ataupun tekanan jiwa yang berlebih-lebihan, yang akhirnya mengimplikasikan sesuatu yang bersifat serpihan, subjektif dan tidak sejagat, sekaligus bercanggah dengan ciri-ciri ilmu pengetahuan yang digagaskan oleh pemikiran rasionalisme dan juga positivisme yang dibawa oleh Rene Descartes (Noriah Taslim, 2007:55). Jika perbincangan berhenti di sini, maka dapat dibuat kesimpulan awal bahawa Rene Descartes sememangnya menolak faktor genius individu dalam sebarang bidang keilmuan berdasarkan pendefinisian yang diutarakan sebentar tadi.
Namun, esei ini seperti yang ditegaskan sebelum ini bukanlah sekadar mahu mencari sisi lain yang dibawa oleh modenis seperti Rene Descartes semata, tetapi akan turut membongkar sisi kesusasteraan itu sendiri. Persoalan yang perlu ditimbulkan tentunya sepusar faktor-faktor lain yang ada dalam bidang kesusasteraan sehingga dipinggirkan sedemikian oleh golongan modenis. Tugas pendifinisian secara literal dan konseptual barangkali sudah pun selesai, dan sekarang esei ini akan melihat pula perkaitan-perkaitan lain yang boleh dijadikan modal hujah yang seterusnya. Pertama, mungkin boleh dilihat juga tentang pandangan yang pernah diutarakan oleh Plato sejak 3000 tahun dahulu. Menurut Plato, sastera (terutama bahasanya), menyelewengkan kebenaran, bersifat meniru, oleh itu hanya mainan yang cuma menyuburkan emosi tanpa tuntutan keintelektualan (Noriah Taslim, 2007:55). Maka oleh sebab itu jugalah penyair sastera sering dipinggirkan sebagai individu yang tidak dapat membantu pengukuhan moral dan perkembangan intelek manusia sejagat khususnya pada waktu-waktu era sekularisme dan modenisme mula bertapak di Eropah.
Faktor kedua pula berkait rapat dengan ciri imaginasi yang menjadi rencah utama dalam pengkaryaan kesusasteraan. Dan hal ini, menurut pandangan Noriah Taslim sendiri, telah menjadi vektor pencemar kebenaran kerana unsur imaginasi yang diterapkan oleh penyair misalnya, telah memandu sastera menjauhi realiti dunia yang sentiasa konkrit dan impirik (Noriah Taslim, 2007:55). Selain itu, imaginasi manusia pengarang juga sering dikaitkan dengan kecerekaan, pengada-adaan yang disengajakan malah juga pembohongan yang diluar upaya kerasionalan akal (Noriah Taslim, 2007:55). Hal ini menjadi semakin rumit apabila bidang sastera melalui hasil-hasil karya dan penulisannya dianggap kosong dan abstrak serta tidak bertaraf ilmu pengetahuan seperti bidang sains yang lebih konkrit sifatnya. Pada titik ini, khalayak mungkin akan tertanya-tanya tentang nasib yang dialami oleh para penggiat sastera dan pemikir-pemikirnya kerana melihatkan ‘permusuhan’ yang dilancarkan oleh semboyan modenisme ini, jelas sekali, tidak mungkin nasib yang lebih baik akan mereka terima ketika itu.
Faktor seterusnya berkait rapat dengan institusi kebahasaan yang menjadi medium kepada metodologi penyampaian dalam disiplin sastera. Hal ini demikian kerana, menurut Noriah Taslim lagi, bahasa sastera yang sering diaplikasikan oleh para penggiatnya, bagi golongan modenis, adalah lebih cenderung menyamarkan makna berbanding menyatakan kebenaran fakta (Noriah Taslim, 2007:55). Bagaimana? Begini, bahasa sastera sejak zaman lampau lagi sering dikaitkan dengan sifat-sifat yang mistikal, aneh, sarat dengan emosi, berbaur dengan unsur metafora serta perlambangan yang tersendiri yang menyebabkannya terkeluar daripada kekuatan sebagai sumber ilmiah, malah sukar untuk menjadi bahasa keilmuan juga (Noriah Taslim, 2007: 56). Rene Descartes barangkali sudah ‘khatam’ akan hakikat ini sebelum beliau memikirkan bentuk tembok yang ingin dibina. Adakah beliau sengaja mengurung kesusasteraan daripada terbang bebas dalam jagat keilmuan? Jika andaian ini dibuat berdasarkan situasi, maka tentu sekali jawapannya sudah ada, tetapi beliau secara prinsipnya bukanlah bermaksud sedemikan. Beliau hanya mengangkat suatu bentuk keilmuan yang lebih konkrit dan imperikal dengan tunjang utamanya tentu sekali bidang sains, matematika dan sebagainya lagi yang disesuaikan dengan tuntutan massanya sendiri.
Terdapat bukti-bukti kukuh yang menunjukkan bahawa sastera dan kesusasteraan bukanlah dikurung dan dirantai sehingga perkembangannya terus terbatas begitu sahaja. Nasib golongan yang menjunjung kesusasteraan juga sebenarnya tidaklah seteruk yang digambarkan. Hal ini demikian kerana, pengaruh pemikiran modenis juga telah memunculkan aliran teori sastera yang mencanangkan agar sastera diberi kewujudan autonomus, dan berdasarkan ciri-cirinya yang rujuk kendiri, maka sastera harus dicabut keluar daripada realiti pejal serta konteks (Noriah Taslim, 2007:56). Di sini, boleh dikatakan bahawa bidang kesusasteraan sebenarnya telah diberikan ruangnya yang khas atau autonomous tanpa perlu berada dalam konteks massa yang lebih konkrit. Para penggiatnya juga masih bebas berkarya dan berupaya melahirkan banyak tulisan dan kritikan serta teori-teori penting. Aliran ini, menurut Noriah Taslim lagi, bertujuan memartabatkan sastera sebagai dunia utuh yang bertanggungjawab kepada hukum-hukum puitika dan estetikanya sendiri tanpa perlu bertanggungjawab kepada sesiapa atau apa sahaja di luar dunianya (Noriah Taslim, 2007:56).
Walau bagaimanapun perkembangan ini masih mempunyai pro dan kontranya yang tersendiri. Idea-idea modenis begini yang muncul di bawah nama teori formalisme, kemudiannya struktural, dan aliran baru seni untuk seni memang membawa implikasi yang menakjubkan kepada karya sastera (Noriah Taslim, 2007:56). Namun itu jika dilihat dari sudut yang positif. Dalam hal ini, Noriah Taslim melanjutkannya dengan hujah yang lebih kritikal. Bagi beliau, perkembangan teori-teori kesusasteraan yang kemudiannya dipraktikkan dan menjadi ikutan sebahagian besar para penulis sastera secara tidak langsung turut menjauhkan bidang ini daripada disiplin-displin ilmu lain (Noriah Taslim, 2007:56). Hal ini demikian kerana, karya-karya sastera yang disandarkan harapan supaya dapat berperanan sebagai bahan yang berwibawa yang boleh dijadikan rujukan tidak dapat memainkan fungsi tersebut, malah tidak mempunyai nilai dokumen atau sekurang-kurangnya sebagai subproduk budaya yang semestinya beruang dan bertempat (Noriah Taslim, 2007:56). Dalam erti kata lain, sastera sebenarnya berjajar dalam ruangnya sendiri dan perkembangannya pula berlaku dalam laluan yang khas dengan kaedah-kaedahnya yang khusus pula. Dan ini jugalah yang menjadi sebahagian daripada tugas para penyair dan penulis sastera ketika itu.

PASCAMODENISME DAN FENOMENA PENGABURAN BATAS-BATAS DIDPLIN ILMU

Tahap seterusnya pula memperlihatkan fasa pengaburan batas-batas ilmu yang berbeza dengan zaman sebelumnya iaitu zaman modenisme. Jika pada zaman modenisme tegar dengan sifat-sifatnya yang tertentu yang telah membawa kepada pemisahan bidang sastera daripada kehidupan yang organik, zaman pascamodenisme pula memperlihatkan sedikit kemesraan terhadap bidang ini dan juga bidang-bidang lain yang bukan bersifat saintifik ataupun empirik total. Pemencilan sastera daripada dunia luar dan dunia ilmu yang lain juga sedikit demi sedikit mula dihapuskan melalui gagasan idea baru dan pandangan yang lebih berautoritatif yang dikemukakan oleh ramai kritikawan sejagat ketika itu. Janet Wolf misalnya, menggunakan hujah mediasi sebagai alasan untuk menyatakan keraguan terhadap keupayaan akal seseorang dalam beliau menyampaikan sesuatu fakta secara objektif dan rasional mutlak. Hal ini demikian kerana, menurut Wolff, setiap penyampaian fakta itu akan melalui pelbagai mediasi, terutamanya mediasi ideologi (Wolff, 1981).
Dalam hal ini, Noriah Taslim menganjak sedikit pandangan ke zaman Yunani untuk melihat kembali konsep sastera seperti yang pernah ditegaskan oleh Aristotle sebelum menghubungkaitkannya dengan aspek mediasi tersebut. Aristotle pernah menyebut betapa sastera sebenarnya bukan meniru alam (mimesis) tetapi melahirkannya semula dengan kaedahnya yang tersendiri. Penglahiran semula sastera ini berlaku secara subjektif, dan oleh sebab itu maka prosesnya tentu sekali akan dipengaruhi oleh pelbagai bentuk mediasi, termasuk mediasi estetik yang memberikan bentuk baru kepada fakta luaran (Noriah Taslim, 2007:59). Oleh hal yang demikian, apakah sebenarnya mediasi? Sejauh manakah pula mediasi berperanan sebagai antara faktor penting dalam fenomena pengaburan batas-batas disiplin ilmu dunia? Mediasi sebenarnya lebih merupakan suatu teknik penyampaian butir-butir ataupun maklumat dan sebagainya dengan menggunakan institusi bahasa sebagai mediumnya dan dimurnikan melalui teknik-teknik yang tertentu dengan maksud serta tujuan yang tertentu pula.
Analoginya mudah. Sebelum menjawab soalan yang kedua itu tadi, lihat bagaimana seorang wartawan dan seorang sosiologis mengerjakan tugasan mereka. Kedua-dua mereka pada dasarnya menyampaikan fakta melalui bentangan isi-isi yang bersifat empirik, namun pada masa yang sama juga mereka mahu meyakinkan khalayak dengan kebenaran kenyataan-kenyataan yang dibawakan. Hal yang sama juga berlaku kepada ramai lagi orang misalnya sejarawan, etnografer dan juga antropologis. Untuk itu, sama seperti seorang seniman mereka memanfaatkan teknologi bahasa yang disebut sebagai retorik (Noriah Taslim, 2007:58). Bahasa sememangnya mempunyai upaya tanpa sangsi untuk meruntuhkan ataupun membina realiti. Dan hal ini jugalah yang digagaskan dan dipegang kukuh oleh para pemikir zaman selepas modenisme iaitu pascamoden. Menurut Noriah Taslim lagi, realiti dengan demikian dapat dibina sebagai satu linguistic atau rhetorical coanstruct (beliau memetik pandangan yang diutarakan oleh Barthes dalam Barry, 1993) ataupun juga sebagai the result of writing (oleh Lerner, 1988). Justeru, kebenaran dan kefaktaan realiti tegas beliau lagi, boleh diragui atau dipertikaikan (Noriah Taslim, 2007:59).
Hal ini sebenarnya sama juga apabila pelopor-pelopor teori sastera pascamoden menganggap bahawa seluruh fakta yang disampaikan melalui bahasa sebenarnya terperangkap dalam tropes atau metafora, sehinggakan semuanya menjadi samar dan penuh dengan keraguan (Noriah Taslim, 2007:59). Sebelum ini, inilah identiti yang sering dipakaikan kepada bidang sastera dan kini diasosiasikan pula dengan disiplin-disiplin ilmu yang lainnya seperti contoh-contoh yang diketengahkan sebelum ini sekaligus menjawab persoalan kedua yang diutarakan di atas tadi. Melihat kepada situasi ini, mungkin wujud pertanyaan adakah sains yang begitu diangkat oleh modenis ketika eranya sebelum ini juga merupakan suatu bentuk ilmu realiti? Jika benar, maka sudah tentu sains dengan sendirinya masih boleh dipertikaikan kerana bidang ini juga menggunakan media bahasa sebagai alat pelampias faktanya. Hal ini jelas sekali agak mengelirukan. Walau bagaimanapun Noriah Taslim berjaya mengendurkan kekeliruan tersebut apablia beliau menganggap bidang sains yang meletakkan tuntutan yang tinggi kepada kepastian, kebenaran, kefaktaan hanyalah merupakan satu daripada bentuk wacana tentang realiti (Noriah Taslim, 2007:59).
Apakah yang boleh dirumuskan pada tahap ini? Jawapan kepada pertanyaan ini sebenarnya turut berupaya meletupkan tembok pemisah yang telah dibina oleh Rene Descartes seperti yang dibincangkan pada bahagian awal esei ini, iaitu, kaedah naratif yang selama ini diaplikasikan dalam bidang kesusasteraan jelas semakin diimplimentasikan juga dalam bidang-bidang lain termasuklah bidang sains sendiri. Malah, seorang sarjana yang menulis tentang ilmunya yang tegar realiti dan penuh data empirik sudah tidak dapat mengandaikan bahawa beliau boleh menyampaikan sesuatu pemerian yang objektif yang tidak mungkin boleh dicabar lagi akan kewibawaan dan autonominya oleh orang ramai (Noriah Taslim, 2007:59). Semua ini sebenarnya telah menunjukkan betapa peranggan atau batas-batas keilmuan antara sastera dengan displin ilmu yang lain seperti sosiologi dan antropologi semakin kabur. Hal ini ditambahkan lagi apabila ciri-ciri imaginasi yang dahulunya dilihat sebagai mencemarkan kebenaran dalam sastera akhirnya dimanfaatkan juga oleh disiplin-disiplin ilmu yang lain (Noriah Taslim, 2007:59).
Di samping itu, bidang ilmu seperti sains yang kaya dengan pelbagai bentuk disiplin dan metodologinya juga sebenarnya tidak dapat mengelak daripada bersifat spekulatif dan imaginatif, terutama apabila membina teori-teori tentang perkara yang terjadi beribu-ribu tahun dahulu (Noriah Taslim, 2007:59). Bidang sejarah juga mengalami situasi yang sama, malah bidang-bidang sains kemanusiaan lainnya juga turut berdepan dengan hal ini. Lihat contoh mudah ini; sejarah, suatu bidang yang sentiasa menuntut keutamaan fakta dan pembuktian juga sebenarnya bersifat spekulatif khususnya apabila wujud situasi yang boleh digambarkan tetapi sukar pula untuk dibuktikan secara saintifik mahupun melalui kajian arkeologinya. Bidang sains politik juga turut memperlihatkan manipulasi bahasa yang sangat optimum. Malah golongan politician cukup terkenal dengan keupayaan retorika mereka ketika berucap mahupun menulis tentang sesuatu hal. Dalam bidang automotif juga berlaku penggunaan bahasa retorik yang kadang-kadang penuh keimaginasian khususnya apabila hendak dipromosikan sesebuah kenderaan yang baru dikeluarkan ataupun menyatakan futuristic matter yang patut ada pada sesebuah kereta misalnya. Menurut Noriah Taslim, perkara ini sebenarnya juga adalah suatu bentuk cara kerja yang dimiliki oleh seorang seniman, sehingga karyanya juga bersifat penuh dengan kemungkinan (Noriah Taslim, 2007:59).
Selain itu, kesedaran baru yang muncul serentak dengan pascamoden ialah tanggapan bahawa realiti luaran adalah bersifat majmuk, rencam, berlapis dan amat kompleks. Disedari bahawa metodologi sains misalnya yang tegar dipegang oleh golongan modenis, sebenarnya tidak dapat menggarap seluruh kompleksiti dan lapisan-lapisan realiti tersebut secara akrab dan terperinci (Noriah Taslim, 2007:59). Kaedah saintifik contohnya tidak mungkin dapat menggarap struktur dalaman kehidupan masyarakat, atau menggarap kehidupan bukan seperti yang dilihat tetapi seperti yang dihayati, iaitu dalam istilahnya disebut the lived experience (Noriah Taslim, 2007:59). Bagaimana mungkin bidang sains boleh berbicara tentang kemiskinan kaum petani dalam kisah Ranjau Sepanjang Jalan, atau kesunyian sang suami dalam novel Suami? Ini persoalan yang wajar ditinggalkan di sini sebelum melangkah kepada hujah seterusnya tentang fenomena pengaburan batas-batas ilmu.
Titik perbincangan seterusnya ini akan melihat secara konseptual terhadap bidang sastera (melalui karyanya) dan bidang sosiologi. Menurut Noriah Taslim, semua karya sastera mendapat kewajarannya berdasarkan hakikat bahawa gambaran dunianya adalah bersifat analogus atau seiras kehidupan sebenar. Semua cereka mempunyai titik rujukan, sama ada rujukan tersebut dipancang kepada sesuatu realiti atau kebenaran, dan dari situlah sastera mendapat maknanya (Noriah Taslim, 2007:58). Sastera adalah peniruan (mimesis), walaupun dalam erti penglahiran semula realiti (credo), tetapi hakikatnya, unsur realisme tetap menjadi tuntutan dan prasyarat utama semua hasil karya sastera yang berbentuk kecerekaan (Noriah Taslim, 2007:58). Hal ini sebenarnya tidak banyak berbeza dengan disiplin sosiologi, malah juga displin ilmu yang lain, yang menjadikan masyarakat sebagai objek kajiannya. Ambil contoh mudah iaitu kemiskinan kaum petani dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan karya Sasterawan Negara Shanon Ahmad tersebut. Kemiskinan dalam novel ini adalah gambaran realiti masyarakatnya, dan di tangan seorang seniman, maka hasil gambaran tersebut menjadi lebih indah dan penuh ciri ornamental dengan penggunaan media bahasa yang sangat berkesan dan mendalam. Namun di tangan seorang sosiologis, tentu sekali konsep mediasinya akan berbeza tetapi pokoknya masih bertunjangkan kepada realiti kemiskinan kaum petani tersebut.
Selain itu, sosiologis dunia juga sebenarnya telah sedar dan memperakui bahawa sastera melalui kerja karya yang dihasilkan sejak ribuan tahun dahulu boleh menjadi dokumen budaya yang lebih bernilai daripada dokumen-dokumen yang lain (Noriah Taslim, 2007:60). Hal ini boleh dibuktikan apabila wujud masalah untuk mengesan ciri-ciri sosial masyarakat lampau melalui dapatan ekskavasi misalnya, justeru karya-karya sastera akan dijadikan bahan rujukan paling berwibawa, contohnya Epik Gilgamesh, Hikayat Pelayaran Munshi Abdullah serta Sulalatus Al-Salatin. Hal ini demikian kerana, dunia sastera sentiasa memberikan penekanan kepada aspek masyarakat sekeliling sebagai modal pengkaryaan utama dan diindahkan melalui kemahiran aplikasi bahasa yang baik. Dalam sesetengah keadaan pula, karya sastera juga memberikan keutamaan kepada struktur perasaan sekali gus tetapi mengawalnya dengan unsur ornamental atau hiasan kata-kata yang cukup berkesan kepada khalayaknya. Oleh hal yang demikian, dokumen sastera bukan sahaja menyediakan maklumat tentang dunia intelektual atau keilmuan serta material masyarakat tetapi juga dunia perasaan atau emosi tentang seluruh kehidupan yang tentu sekali tidak diperoleh daripada dokumen sejarah, arkeologi atau lain-lainnya.

KESIMPULAN

Daripada perbincangan-perbincangan tentang trajedi pemisahan disiplin-displin ilmu yang kemudiannya membawa pula kepada fenomena pengaburan batas-batas atau perenggannya, dan daripada era modenisme yang turut diselitkan dengan pengaruh zaman-zaman yang lebih awal, sehinggalah kepada zaman pascamoden, dapat disimpulkan bahawa fenomena-fenomena tersebut sebenarnya telah membebaskan diasfora yang pelbagai rupa, sama ada baik mahupun buruk terhadap seluruh bidang keilmuan termasuklah bidang sastera dan sosiologi. Implikasinya tidak sedikit. Dan tentu sekali, bidang sastera telah menunjukkan upaya sebenarnya apabila terus gagah mengharung peredaran setiap zaman dengan cabaran-cabaran yang pelbagai hala. Sastera sewajarnya menjadi bidang ilmu yang paling tulen kerana sifatnya yang meliputi pelbagai cabang keilmuan serta berupaya menjadi dokumen pengetahuan yang lengkap, terperinci dan menyeluruh jika dilihat kepada contoh-contoh karya agung yang ada pada hari ini.




No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...