Friday, June 19, 2009

Kecelaruan Pemahaman atau Kenyanyukan Mutlak? - PAS pun berjudi!!

Seorang tua, kecuali Baginda Rasulullah yang maksum, apabila sampai masanya akan mengalami peringkat upaya fikir yang lemah. Walau tinggi mana ilmunya dan sebijak mana ia, namun kalau sudah begitu tuntutan biologi dan fitrah azalinya, maka kita pasti tidak boleh terus-terusan mengharapkan sesuatu yang tinggi daripada orang seperti ini. Sekadar mukaddimah..

Semalam, saya sempat berbual dengan seorang tajdid muda dan bertanyakan tentang perihal Nik Aziz seperti yang berlaku sekarang termasuk juga ‘perpecahan’ yang beliau (Nik Aziz) dakwa berlaku dalam organisasi PAS. Sebagai seorang ahli PAS, saya kira pandangan beliau (tajdid muda) akan bias dan setidak-tidaknya, pasti akan menyokong Tuan Guru. Apatah lagi, adiknya merupakan calon PAS semasa pilihan raya baru-baru ini merebut satu kerusi DUN dalam Parlimen LM&S. Tidak hairanlah kalau darah PAS yang mengalir dalam diri beliau akan mendidih apablia Tuan Guru diserang.

Panjang juga beliau bahaskan. Tak terasa lama berada dirumahnya dan berbual tentang gelagat politik negara. Tapi yang lebih mengejutkan saya apabila beliau tidak mengatakan yang Nik Aziz sebagai betul, dan tidak juga bagi pihak yang satu lagi. Dalam isu Ustaz Nasha juga beliau bersikap berkecuali. Baginya, permasalahan ini berlaku dan berpunca daripada persoalan jiwa individu-individu yang terbabit. Agak dalam hujahnya dan saya tidak berhajat menulis kesemuanya di sini.

Namun, seperkara yang menarik perhatian saya apabila beliau menyifatkan PAS sendiri sebenarnya bukanlah mengikut jalan sunah yang mutlak. Maka itu tidak layak jika PAS hendak membantai mana-mana pihak sebagai sesat, mengarut dan sebagainya lagi sedangkan PAS sendiri berada dalam lapangan politik yang sama.

Lapangan ini tidak sekata sama sekali dengan tuntutan Islam yang hakiki. Malah, apabila terdapat segelintir pemimpin PAS yang keras mengkritik dan mendakwa negara ini tidak mengamalkan sistem demokrasi yang sebenar, beliau menyifatkan pemimpin tersebut sendiri sudah tidak faham nilai Islam yang tulen.

Demokrasi menurut beliau ialah sistem yang dicipta oleh musuh Islam untuk menghakis dan menghapuskan sistem pemerintahan cara Islam, seperti sistem kekhalifahan yang bertunjangkan kepada amalan syura dan bukannya pilihan raya. Justeru apabila PAS memilih untuk menyertai politik negara maka dengan sendirinya PAS sudah mengamalkan sistem musuh tersebut kerana sememangnya itulah yang diamalkan oleh negara ini juga. Bahkan, berdasarkan sistem ini, PAS juga turut berjudi sebenarnya.

Dalam hal ini, saya terfikir apakah yang akan berlaku jika negara mengamalkan sistem pemerintahan cara Islam? Apakah PAS bersedia ? Dan bagaimana pula dengan amalan politik kepartian seperti sekarang ini dan juga penerimaan kaum bukan Islam? Memikirkan ini semua menemukan saya pada satu konklusi mudah iaitu PAS memang tidak akan melaksanakan pemerintahan cara Islam yang mutlak, pertama, kerana ketidakmampuan dan kedua kerana sikap mereka sendiri, meskipun jika mereka sudah berkuasa.

Perihal Nik Aziz pula, beliau berpendapat Tuan Guru ini atau lebih senang saya labelkan sebagai orang tua, sebagai bercelaru. Mungkin orang tua ini belum difahamkan betul-betul tentang idea ‘perpaduan’ seperti yang digagaskan oleh Presidennya. Pada saya, hal ini mungkin juga ada benarnya. Saya sempat mengkuti laporan berita di Buletin Utama yang memetik Nik Aziz sebagai berkata “..buat sampah..” terhadap tingkah laku Ustaz Nasha dan sempat juga membaca petikan kenyataan oleh MB Kedah berhubung isu yang sama.

Sama ada orang tua ini sengaja mahu mencipta kekecohan atau ada sebab lain saya tidak peduli kerana saya berpegang kepada prinsip “perahu”. Nik Aziz perlu membayar harga yang tinggi atas semua kata-katanya. Perpecahan yang beliau sifatkan sedang berlaku dalam PAS dan Pakatan juga sebenarnya berpunca daripada beliau sendiri. Banyak kenyataan yang beliau keluarkan akhir-akhir ini telah meresahkan dan menimbulkan perdebatan dalam kalangan ahli PAS.

Siapa nak jawab sekarang? Lesen masuk syurga mungkin tidak akan dikeluarkan lagi buat sementara waktu sehingga isu ini selesai mengikut kehendak Nik Aziz. Wallahua’alam.

1 comment:

Anonymous said...

SALAM PERJUANGAN BRO
PAS SEMAKIN HARI SEMAKIN MEMINGGIRKAN ISLAM ITU SENDIRI. AKIDAH DH SEMAKIN TERPESONG. X HAIRAN LA NANTI PAS AKAN DI TENTANG PENYOKONG2 MEREKA SENDIRI

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...