Friday, July 31, 2009

Sambutan Hilal Ramadhan 1430 Peringkat USM

Ceramah Perdana

Tajuk : Pengembaraan Iman di Bulan Rahmat

oleh: Y.Bhg. Dato' Haji Kamarudin Haji Zakaria

Tarikh: 4hb Ogos 2009 (Selasa)
Masa : 10.00 pagi
Tempat : Balai Pesiban Agung, Pusat Pengajian Seni, USM

SEMUA WARGA DIJEMPUT HADIR.

Anjuran Jawatankuasa Aktiviti Ramadhan 1430,
Pusat Islam,
Uuniversiti Sains Malaysia.

Takziah Kepada ADUN Permatang Pasir, N11



Takziah diucapakan kepada Allahyarham YB Dato' Mohd Hamdan Abdul Rahman, ADUN Permatang Pasir N11, Pulau Pinang yang pulang ke rahmatullah pagi tadi.

Beliau meninggal dunia akibat sakit jantung di Institut Jantung Negara (IJN) di sini hari ini.

Beliau menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira pukul 7.15 pagi setelah dimasukkan ke IJN Isnin lalu.

Semoga rohnya dicucuri rahmat. Al-Fatehah.

Wednesday, July 29, 2009

SENARAI PERTUBUHAN TIDAK BERDAFTAR DI KAMPUS

Saya tergerak hati untuk berkongsi dengan pengunjung semua, khususnya rakan-rakan di USM, tentang beberapa pertubuhan tidak berdaftar yang kelibatnya wujud di kampus-kampus di seluruh tanah air. Semoga maklumat-maklumat ini dapat membantu kita semua agar lebih peka dengan kewujudan kumpulan-kumpulan ini dan mengambil maklum akan implikasi yang bakal timbul sekiranya kita terjebak dengan mainan politik songsang mereka. Insya-Allah, saya akan muatkan dalam artikel seterusnya tentang perkara ini.

1) SOLIDARITI MAHASISWA MALAYSIA (SMM)
2) MALAYSIAN YOUTH AND STUDENT DEMOCRATIC MOVEMENT (DEMA)
3) GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SE-MALAYSIA (GAMIS)
4) UNIVERSITI BANGSAR UTAMA (SBU)
5) BARISAN BERTINDAK MAHASISWA NEGARA (BBMN)
6) FRONT ANAK MUDA UNTUK DEMOKRASI (FRAKSI)
7) GERAKAN MAHASISWA LANTANG NEGARA (GMLN)
8) JAWATANKUASA KEBAJIKAN MAHASISWA/I (JKMI)
9) GABUNGAN ANAK MUDA DAN PELAJAR (GAMP)
10) OPEN DIALOGUE CENTRE


Terdapat banyak lagi pertubuhan atau gerakan yang bertunjangkan mahasiswa yang bergerak aktif di kebanyakan kampus-kampus IPTA. Ada antaranya yang berjaya dikesan, dan masih banyak yang masih terus aktif menjerat mahasiswa/i dengan pelbagai program yang disulam dengan agenda-agenda tertentu yang tentunya berbahaya dan penuh risiko.

Misalnya, baru-baru ini, satu perkumpulan mahasiswa/i telah membuka kaunter secara haram di USM yang kononnya cuba membantu pelajar-pelajar baru khususnya dalam isu-isu kebajikan. Namun, di sebalik semua itu, mereka cuba membawa masuk ideologi songsang yang menentang konsep 1Malaysia dengan nama 1 Black Malaysia, iaitu satu keterbalikan secara langsung terhadap gagasan 1Malaysia.

Sungguh malang kerana kumpulan pelajar ini seolahnya tidak searus dengan tuntutan perpaduan yang cuba difahamkan terhadap kita semua. Lebih malang, mereka tanpa segan silu memakai t-shirt berlogokan 1 Black Malaysia. Apakah ini yang mereka cuba terapkan dalam minda para pelajar, yakni pemahaman yang menolak kesejahteraan, keharmonian dan perpaduan rakyat Malaysia?

Jelas sekali bahawa agenda ini sebenarnya merupakan satu usaha terancang pihak luar yang didalangi oleh parti-parti politik tertentu. Hal ini demikian kerana idea menterbalikkan konsep 1Malaysia memang dicetuskan oleh parti-parti tersebut. Perkara inilah yang telah meracuni minda kumpulan pelajar terbabit yang kemudian cuba menyebarkannya pula dalam kalangan pelajar di USM.

Para pelajar, khususnya pelajar-pelajar tahun satu juga dinasihatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan gerakan-gerakan ini jika mereka didatangi secara personal ataupun berkumpulan oleh mana-mana pihak yang diragui. Mereka dinasihatkan supaya matang dan berani bersoal-jawab secara terbuka dan tidak terus menerima tanpa menyelidiki terlebih dahulu perkhabaran yang disampaikan.

Selain itu, para pelajar juga perlu sedar tentang peranan PPSL (dahulunya dikenali dengan nama PPMS) yang sentiasa bersedia membantu masalah mereka. Setiap PPSL telah dilatih secara profesional untuk menangani sebarang masalah berbangkit yang dialami oleh para pelajar baru. Malah, anggota PPSL juga sebenarnya adalah lebih dekat dengan mereka sejak dari minggu suai kenal lagi. Perlu juga ditekankan di sini bahawa setiap PPSL dilatih bukan untuk minggu suai kenal saja tetapi berkhidmat untuk sepanjang masa.

Tuesday, July 28, 2009

ASPIRASI- Saya Apirasi, Anda Aspirasi, Kita Aspirasi!!



Sudah sampai masanya, rasanya, untuk kita bina kelompokan yang khas, yang bakal hebat. Kelompokan ini mesti ada padanya satu kekuatan yang tunjangnya kesatuan. Kelompokan ini kita harus bina dengan inspirasi kesatuan. Kelompokan yang satu ini, kita mesti tanamkan benihnya dalam-dalam biar tunjang akarnya meresap sejauh mungkin, mencari jejak-jejak butir yang terbaik untuk dicengkam sebelum tumbuh sebagai rumpun rimbun kesatuan itu akhirnya.

Sudah tiba waktunya, kita payungkan perjuangan ini, teman-teman, dengan rimbunan daun-daun segar semangat yang bukan mudah lagi berluntur gugur. Kita harus gegas bina tamannya, teman-teman, supaya kita sentiasa hidup lekas dan terus pantas bebas meninggalkan bekas-bekas terbaik, mengesani derap langkah yang tertinggal dengan setinggi pencapaian. Kita perlu tangkas, teman-teman, merebut angin, menyedut udara, meraih sinar, menggapai manik-manik hujan yang sedang menimpa. Kita mesti tahu, teman-teman, betapa kita mesti jadi pendahulu selalu.

Hari ini, teman-teman, saya seru sekalian kita, marilah bersatu!

Sunday, July 26, 2009

Takziah. Terima Kasih Yasmin



Sebelum saya menulis lebih lanjut, mari kita sama-sama bacakan al-Fatehah dan sedekahkan ganjarannya, insya-Allah, buat Yasmin Ahmad. Al-Fatehah.

Saya menerima khabar pemergian arwah agak lewat. Sebetulnya, saya berada di rumah sejak hari Jumaat lepas dan sempat mengikuti perkembangannya seperti yang terlapor di ruang koran dan buletin di televisyen. Tak putus-putus saya berharap semoga beliau segera lekas baik – sehinggalah saya tahu hal sebenar petang tadi sebaik tiba di kampus. Sedikit kesal kerana saya tidak pantas peka dengan pemergiannya setelah mengikuti rapat kesusahan yang beliau alami.

Saya tidak begitu mengenali wanita kreatif ini melainkan melalui karya-karyanya sahaja. Lewat karyanya juga saya menyelami bentuk pemikiran dan sisi-sisi lain yang sering menjadi aspirasinya selama ini. Sayang sungguh sayang kerana beliau pergi terlalu awal. Sudah tercatat barangkali begitu. Seperti itu jugalah maka kita semua perlu menerimanya.

Beliau tidak pergi dengan tangan kosong. Barangkali tidak banyak karyanya yang beliau tinggalkan sebagai pusaka yang harus diselongkar. Pertama, kita harus bertanya kenapa beliau memilih untuk berkarya dengan karya-karya yang sedemikan rupa, dan kedua, tentunya, apa isunya. Sehingga filem beliau yang terakhir sebelum beliau pergi selamanya, iaitu Tale N Time, saya sendiri agak kurang mendalami isu-isu yang beliau ketengahkan. Namun, dengan filem ini, saya melihat dengan jujur sekali betapa orang ini cekal dan dahagi sekali dengan idea-ideanya selama ini.

Akhir kata, marilah kita sama-sama terus berdoa semoga ruh beliau sentiasa dicucuri rahmat-Nya sambil terus juga berdoa semoga akan lahir lebih ramai kelibat kepengarahan yang mampu menandingi, atau setidaknya menyamai ketokohan beliau, insya-Allah

Friday, July 24, 2009

syoknye@usm

Minggu ni barangkali suasananya agak tidak lengang, bahkan akan bising dan meriah. Sekurang-kurangnya, ada tiga acara besar bakal dan sedang berlangsung di Kampus Sejahtera USM. Sekadar nak berkongsi saja akan rasa keterujaan ini bersama-sama dengan sahabat-sahabat sekalian.

Pertama, sedang dan akan terus berlangsung ketika ini tentunya pameran ICT dan Heboh Buku yang dikendalikan oleh gadis-gadis dari desasiswa Saujana (satu-satunya penempatan pelajar yang hanya dihuni oleh kaum bukan lelaki di USM). Sungguh kagum saya lihat kesungguhan team mereka kendali projek sebesar ini. Lebih kagum kerana penganjurannya semakin matang, bukti pelajar kita tidak pernah lesu. Tempatnya, di Dewan Utama Pelajar.

Keduanya, bakal berlangsung, mungkin serentak ialah Seminar Kebangsaan Kekuasaan dalam Sastera Melayu Nusantara. Seminar kali ini lebih utama dari segi keutamaannya kerana bakal membincangkan tentang kekuasaan Melayu dalam sejarah kesusasteraan di Nusantara. Isinya, dan isu-isu yang hendak dibawa kelak diharapkan boleh mengubah atau sekurang-kurangnya menganjak sedikit paradigma kalut yang pernah ditinggalkan oleh kolonialis dulu dalam lanskap sastera kita, insya-Allah.

Sementara itu, pada masa yang sama, 25hb Julai, satu program tayangan perdana dua buah filem tempatan yang baru bakal berlangsung. Filem-filem tersebut – Setem dan Papadom- tentunya akan menggamit tak kurang orang juga kerana nilai penariknya sendiri. Khabarnya, ada selebriti dan artis yang bakal turut serta. Maka bertindih-tindihlah tumpuan lensa pada hari tersebut. Satu di Dewan Kuliah A yang menempatkan sekalian ramai orang cerdik dan di Dewan Tunku Syed Putra pula sekian banyak orang glamour.

Saya melihat usaha ini sebagai satu bentuk pengenalan yang bagus kepada para pelajar kerana setidaknya, yang terlibat dalam penganjuran itu, akan terdedah dengan banyak kerenah yang boleh mematangkan mereka. Resipi tayangan perdana bukanlah baru di sini. Sudah banyak filem yang berjaya di sini, dan paling pasti ialah filem Sifu dan Tongga di mana lebih seribu orang datang menonton. Kemudian disusuli pula dengan Tale n Time, Histeria, Jangan Tegur dan sebagainya lagi.

Jujurnya, saya menolak jika didakyahkan oleh siapa-siapa kononya pengajuran acara-acara sebegini lebih banyak melekakan pelajar. Dalam situasi semasa, adalah lebih senang menyalahkan daripada berusaha membetulkan keadaan, atau menyelamatkan. Kita tidak mampu menghalang dalam soal fitrah manusia yang ada masanya mahukan hiburan dan kesuka-sukaan. Selagi mereka menjaga batas adat, tak berlakulah sangat masalah yang dibimbangkan dan dipersoalkan itu. Dalam dewan yang sebesar itu tapi penuh dengan manusia, pasti segan silu lebih dahulu timbul dalam diri masing-masing jika kita andaikan mereka hendak buat yang bukan-bukan sekali pun.

Tinggalkan hal itu. Pokoknya di sini, saya mahu rimbunkan dengan satu rasa keterujaan sebagai warga Kampus Sejahtera ini. Sungguh, di sini, segala-galanya ada. Sudah tersedia dan banyak lagi yang bakal disediakan, insya-Allah. Kepada mereka yang sudah berada di sini tetapi belum terasa keterujaannya, carilah. Kalau masih ada yang masih nak perlekehkan, suka hatilah..sentiasa saja ramai yang mensyukuri semua ini.

Dan yang terakhir mengikut apa yang saya tahu ialah acara Futsal 1Malaysia Kosmo. Yang ni saya yakin benar ada ramai yang mensyukurinya..lokasinya, gelanggang stadium tenis kot.. yang dekat saja dengan stadium olahraga tu.

Thursday, July 23, 2009

SEMINAR KEBANGSAAN KEKUASAAN DALAM SASTERA MELAYU NUSANTARA

Satu seminar yang akan membicarakan kekuasaan dalam Kesusasteraan Melayu Nusantara akan diadakan pada 25hb & 26hb Julai ini bertempat di Dewan Kuliah A, USM.

Berikut merupakan atur cara sepanjang seminar tersebut:

25hb Julai 2009 (Sabtu)

08.00 – 08.45am : Pendaftaran

08.45 – 09.45am : Ucap Tama
Prof. Datuk Dr. Zainal Kling
Kedaulatan dan Kekuasaan Melayu dalam Teks Sastera.

09.45 – 10.15am : Minum pagi

10.15 – 11.45am : Sesi 1
Datuk Dr. Hajah Ramlah Adam
Kekuasaan dan Ketuanan Melayu dalam Misa Melayu: Satu Kajian Teks tentang Bidang Kuasa Pentadbiran dan Pemerintahan Sultan Perak pada Kurun ke-18.

SN Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh
Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu

Dato’ Dr. Hassan Sham
Ketuanan dan Kekuasaan dalam Teks Undang-undang Melayu Lama dengan Tumpuan kepada Institusi Raja.

Pengerusi: Prof. Madya Siti Hajar Che Man


11.45 – 01.15pm : Sesi 2

Puan Halimah Hassan
Ketuanan dan Kekuasaan Melayu dalam Hikayat Johor

Puan Rogayah A. Hamid
Strategi Kekuasaan Melayu dalam Teks Sastera Sejarah

Prof. Madya Dr. Noriah Taslim
Raja Ali Haji dan Strategi Alih Kuasa dalam Tuhfat al-Nafis

Prof. Dr. Ding Choo Meng
Kekuasaan Melayu dalam Teks Sastera Melayu

Pengerusi: Dr. Mohamad Luthfi Abdul Rahman

01.15 – 02.30pm : Makan Tengah Hari/ Solat

02.30 – 05.00pm : Sesi 3

Dato’ Dr. Siti Hawa Salleh
Hikayat Merong Mahawangsa dan Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah: Paparan Ketuanan dan Kekuasaan Melayu

Prof. Dato’ Mohd Yusof Hashim
Hikayat Siak atau Sejarah Raja-raja Melayu: Wacana Persejarahan Melayu

Dr. Mohamad Luthfi Abdul Rahman
Imej-imej Warak: Kukuh dan Runtuhnya Kuasa dalam Hikayat Patani

Prof. Dr. Noriah Mohamed
Pendakian Tangga ke Puncak Mahligai: Perbandingan Melayu Jawa

Pengerusi: Prof. Madya Arndt Graf

05.00 pm : Minum Petang

07.30 – 10.30pm : Majlis Perasmian

Pengacara : Encik Zubir Idris


26hb Julai 2009 (Ahad)

09.00 – 10.30am : Sesi 4

Prof. Dr. Abdullah Zakaria
Hikayat Seri Kelantan dan Naskhah-naskhah Terengganu

Encik Mohd Yusof Abdullah
Ketuanan dan Kekuasaan Melayu dalam Teks Sastera Sejarah Manuskrip Melayu

Encik Zubir Idris
“Kuasa” dan hubungan Timbal Balik dalam Syair Perang Mengkasar

Prof. Madya Dr. Zahir Ahmad
Syair Sultan Maulana

Pengerusi: Puan Rogayah A. Hamid
11.00 – 01.00pm : Sesi 5

Dr. Jelani Harun
“Rakyat Umpama Laut dan Karang”
Raja dan Rakyat dalam Misa Melayu

Prof. Madya Dr. Norhayati Abd. Rahman
Adat dan Istiadat dalam Teks Sastera Sejarah Sebagai Pengukuhan kepada Ketuanan dan Kekuasaan Melayu

Puan Wahyunah Abd Gani dan
Encik Muhamad Ikram Fadhly Hussein
Mitos Kebesaran Kesultanan Melayu

Dr. Arbaiyah Mohd Noor
Memburu Kekuasaan: Peperangan dalam Hikayat Pahang dan Syair Pahang

Pengerusi: Dato’ Dr. Siti Hawa Salleh

01.00 – 02.30pm : Makan Tengah Hari dan Solat

02.30 – 04.30pm : Forum

Konsep Kuasa dalam Teks Sastera Sejarah

Ahli Panel

Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Khoo Kay Kim
Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan
Prof. Madya Abdul Rahman Ismail
Dr. Sivamurugan Pandian

Pengerusi: Prof. Dato’ Dr. Md. Salleh Yaapar

04.30 – 05.00pm : Ucapan Penutupan
Ketua Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka
YBhg. Dato’ Haji Termuzi Haji Abdul Aziz

5.00 – 5.30pm : Minum Petang dan Bersurai

Pengacara Majlis: Encik Hazami Jahari



Khalayak dipelawa menyertai seminar ini.

Wednesday, July 22, 2009

Sensasi Kematian Budak Cina seperti Cerita Mafia



Lama jugak rasanya aku tak cakap soal politik. Bukan hilang kata, dan bukan jugak terlalu sibuk tak kecukupan masa. Aku masih berblogging. Masih tetap meninjau blog sahabat terutamanya dari kalangan BPN, dan tentunya pilihan terhadapan aku ialah blog Parpukari dan Angin Perubahan. Blogger Angin Perubahan merupakan yang mula-mula buat aku kenal dengan alam tak berdinding dalam dunia blog ini. Terima kasih kepada saudara.

Pun, isu-isu yang terus bertiup belakangan ini, tetap menyerabutkan hatiku yang baru nak tenang. Isu-isu politik yang tak sudah-sudah, yang kadang-kadang bodoh sangat tapi berjaya dibahaskan jugak oleh sekian ramai blogger, tetap hidup dalam kancah politik Malaysia. Inilah uniknya arus politik perdana ketika ini. Ketika hampir setiap isu belum jumpa penghujung, datang pula isu baru sekaligus menjauhkan lagi hujungnya. Yang pelik, semuanya berkait.

Tadi, sempat saja aku lawat blog Parpukari dan Garamanis. Lewat tulisan mereka, aku hidu semacam bau menarik tentang buah fikir yang mereka nak bawakan. Dan masih, isunya ialah kematian budak cina itu. Aku tak teringin nak panjangkan perkelahian antara puak ini – kerana tentunya aku di puak yang sebelah sini akan berlawan arus dengan puak yang sebelah sana – tetapi buah-buah fikir yang dibawakan oleh kedua-dua blogger ini sungguh menarik sehingga menumbuhkan ranting-ranting pertanyaan baru dalam benak fikirku pula.

Pertama, memang budak cina itu sudah mati dan dah pun selamat disemadikan. Kata sebanyak orang yang ada rasa kesian, budak cina ini mati terlalu awal dan lebih menyedihkan, dia bapak yang sedang dalam pembikinan. Dia mati muda begitu ketika ada wanita dan bayi yang memerlukannya hidup-hidup. Tapi lebih kesian, dia mati sebelum sempat menyatakan kebenaran. Dia mati ketika kebenaran sedang mengetuk pintu hidupnya. Dia mati begitu sahaja.

Katakan, jika budak cina itu bukan yang sepertinya, adakah dia akan mati begitu? Tentu tidak. Dia berhak untuk hidup lagi. Jadi kenapa dia mesti mati? Kenapa mesti dia ditamatkan sebegitu sekali? Apa isi yang dia punya sehingga perlu dihabiskan dengan sebegitu segera? Katakan, kalaulah dia diberi peluang sebut tiga hingga sepuluh perkataan sewaktu dia sedang jatuh dari tingkat 14 bangunan tersebut, apakah agaknya yang akan dia beritahukan, pertamanya, kepada teman wanitanya, keduanya, kepada ibu bapanya, dan ketiganya, kepada majikannya?

Kronologi yang mengheret budak cina itu ke bangunan SPRM juga sudah diulas oleh seorang rakan blogger. Saya sungguh tertarik dengan kemukaan kronologi tersebut sehingga saya seolahnya, berasakan seperti sedang membaca sebuah skrip filem besar. Saya seperti sedang menyaksikan sebahagian sahaja daripada plot awal kepada sebuah karya hebat tentang gengsterisme dalam politik negara yang mungkin sudah capai tahap mafia. Bunyi macam tak masuk akal tapi kalau di mata orang luar, inilah yang tergambarkan kepada mereka. Kini, hanya tunggu plot peleraian, atau mungkin juga ada banyak lagi konflik besar yang akan berlaku sebelum cerita ditamatkan dengan jayanya.

Jadi, kalau begitulah, maka siapakah aktor heronya? Dan siapa pula antagonisnya? Kalau ada geng, maka siapa pula mastermindnya? Siapa yang memberi arahan dan siapa pula yang menerima upah melaksanakan segala kerja tersebut?

Sunday, July 19, 2009

LaSkAr pELaNgi



Saya teringin nak tulis tentang filem yang usai saya tonton semalam, Laskar Pelangi. Menonton sebuah filem yang begitu sarat dengan idea dan pemikiran, yang berat dengan nilai kemanusiaan dan pengorbanan, yang hebat dengan kesahajaan dan keluhuran ‘pekerjanya’, yang bersirat-sirat antara kisah naratornya dan manusia-manusia dan alam semula jadi di sekitarnya, yang semuanya jujur, halus dan indah - kredit tertinggi buat Andrea Hirata dan Riri Riza - pasti akan beri siapa-siapa sahaja kesediaan untuk bercakap tentang filem ini.

Saya melihat ada banyak sisi yang seharusnya dekat dengan kita yang diselitkan dalam filem ini. Dekatnya karya ini, atau filem ini, kerana latarnya yang jika diukur dari sudut sejarah, tak jauh pun bezanya dengan suasana tanah air kita lewat zaman kolonial dulu. Latar masa dan tempat, dan manusianya, yang walaupun dimainkan dengan baik oleh kanak-kanak, tetapi merekalah sebenarnya suara-suara yang berisi harapan kita semua suatu ketika dahulu, yang mahu bebas dan menggapai dunia seindah suka.

Dekatnya karya ini dengan kita juga kerana keberanian yang cuba dipaksakan kepada kita untuk bermimpi dan berusaha pula menghidupkan mimpi-mimpi itu. Watak si pintar Lintang dan si jiwang Ikal dan dialog-diolog antara mereka ketika Haji Harfan meninggal dunia yang sudahnya membawa kepada akibat penutupan sekolah agama Muhammadiah, tempat mereka dan rakan-rakan – yang semuanya anak miskin – belajar, pasti akan membuatkan kita kembali yakin dengan mimpi kita sendiri. Karya ini mengajar kita supaya berani bermimpi dan sentiasa berusaha mengisi mimpi tersebut walau siang walau malam.

Kalau nak diikutkan, banyak sekali yang perlu ditulis jika nak ulas tentang filem ini. Sebuah karya yang sehebat ini pasti tempang jika diambil hanya beberapa aspek sahaja untuk dicakapkan, justeru saya tidak mahu menjadi tangan yang menempangkannya. Biarkan filem ini terus dimainkan untuk memuaskan ego kita sendiri.

Tapi yang saya mahu cakapkan di sini ialah penerimaan daripada segelintir palajar di USM apabila filem ini ditayangkan semalam. Pertama, tak penuh pun dewan besar DTSP dengan kehadiran pelajar-pelajar. Ke mana mereka? Tak minat atau tak suka, atau skeptikal dengan judulnya? Dah tengok? Mungkin tapi tak kan semua dah tangok kot.. Tiket mahal? RM5.oo pun mahal sangatkah? Tak ada masa? Kan malam cuti, malam minggu...ke pasar malam boleh pulak kan.. Ada hal di luar? Atau penat? Cuma menonton je kan..boleh hilangkan penat dan tekanan pulak lagi.

Tak kan la kalau Harry Potter yang mahal tu boleh luangkan masa, beratur panjang depan kaunter, bersesak-sesak dalam panggung tapi untuk filem ini yang murah sekali, tak boleh kot. Tak kan laa handfon baru boleh tukar, topap rm10 boleh topap berkali-kali seminggu, bil telefon boleh lunas tiap bulan, tapi tiket yang cuma rm5 ni tak mampu. Tak kan la novel-novel picisan cintan cintun boleh beli bertimbun-timbun tapi tiket filem ni yang berkali-kali lebih rendah harganya, tak cukup duit pulak kot nak beli..tak tahulah, memalukan negara sahaja...

Laskar Pelangi

mimpi adalah kunci
untuk kita menaklukkan dunia
telah hilang
tanpa lelah sampai engkau
meraihnya
laskar pelangi
takkan terikat waktu
bebaskan mimpimu di angkasa
raih bintang di jiwa
menarilah dan terus tertawa
walau dunia tak seindah surga
bersukurlah pada yang kuasa
cinta kita di dunia
cinta kepada hidup
memberikan senyuman abadi
walau ini kadang tak adil
tapi cinta lengkapi kita
laskar pelangi
takkan terikat waktu
jangan berhenti mewarnai
jutaan mimpi di bumi
menarilah dan terus tertawa
walau dunia takseindah surga
bersukurlah pada yang kuasa
cinta kita di dunia

Friday, July 17, 2009

Hura Hara di Bumi

Catatan berikut saya kutip daripada satu blog yang sangat menarik lagi menginsafkan untuk diambil peduli oleh kita semua.


Hura Hara di bumi

Cuba kira... 1Ramadan pada tahun 2012 jatuh pada 20 july hari jumaat,jadi 3
august 2012 bersamaan 15 ramadan jatuh juga hari jumaat.Sama dengan hadis
nabi pasai huru hara besar yang akan jadi pada tengah malam pertengahan
bulan ramadan iaitu hari jumaat 15 ramadan
dekat bumi ni yang akan mengejutkan semua orang yang sedang tidur, pasai
satu suara yang amat dahsyat akan kita dengar dekat langit,bukan kiamat
tapi huru hara tersebut akan melenyapkan umat manusia di atas muka bumi ini
sebanyak 2/3,yang tinggal cuma 1/3 shj.(yang NASA Amerika dok bagitau pada
21-12-2012 planet X akan lintas mai kat bumi ni)Adakah kita semua ni
tergolong dalam 1/3 tu.......ALLAH sahaja maha mengetahui.............cuba
kita tengok hadis nabi kat bawah ni dan kenyataan pasal calender islam 2012
dan klik kat home page bawah ni untuk maklumat lanjut...
Nu'aim bin Hammad meriwayatkan dengan sanadnya bahwa Rasulullah saw.
bersabda:
Bila telah muncul suara di bulan Ramadhan, maka akan terjadi huru-hara di
bulan Syawwal...". Kami bertanya: "Suara apakah, ya Rasulullah?" Beliau
menjawab: "Suara keras di pertengahan bulan Ramadhan, pada malam Jum'at,
akan muncul suara keras yang membangunkan orang tidur, menjadikan orang
yang berdiri jatuh terduduk, para gadis keluar dari pingitannya, pada malam
Jum'at di tahun terjadinya banyak gempa. Jika kalian telah melaksanakan
shalat Subuh pada hari Jum'at, masuklah kalian ke dalam rumah kalian,
tutuplah pintu-pintunya, sumbatlah lubang-lubangnya, dan selimutilah diri
kalian, sumbatlah telinga kalian. Jika kalian merasakan adanya suara
menggelegar, maka bersujudlah kalian kepada Allah dan ucapkanlah: "Mahasuci
Al-Quddus, Mahasuci Al-Quddus, Rabb kami Al-Quddus!", karena barangsiapa
melakukan hal itu akan selamat, tetapi barangsiapa yang tidak melakukan hal
itu akan binasa".

UPCOMING IMPORTANT ISLAMIC DATES

2010 Calendar
Islamic New Year: December 18, 2009 (1431 A.H.*)
Aashura: December 27, 2009
Ramadan: August 11 - September 8, 2010
Eid ul-Fitr: September 9, 2010
Hajj: November 14 - November 17, 2010
Eid ul-Adha: November 16, 2010

2011 Calendar
Islamic New Year: December 7, 2010 (1432 A.H.*)
Aashura: December 16, 2010
Ramadan: August 1 - August 29, 2011
Eid ul-Fitr: August 30, 2011
Hajj: November 4 - November 7, 2011
Eid ul-Adha: November 6, 2011

2012 Calendar
Islamic New Year: November 26, 2011 (1433 A.H.*)
Aashura: December 5, 2011
Ramadan: July 20 - August 18, 2012
Eid ul-Fitr: August 19, 2012
Hajj: October 24 - October 27, 2012
Eid ul-Adha: October 26, 2012


Untuk perhatian lanjut boleh kunjungi http://fazrulls.blogspot.com/

Wednesday, July 15, 2009

Manek Urai : Revolusi atau Evolusi? – Seterusnya, di mana?

Keputusan di Manek Urai dah pun diketahui umum. Majoritinya tipis sekali untuk memberikan kerusi DUN tersebut kepada PAS, tapi dengan satu amaran juga, ia mungkin tidak begitu lama.

Jika dijadikan sebagai kayu ukur mudah, memang benar ia satu amaran kepada PAS khususnya dan Pakatan seluruhnya. Sesungguhnya, PAS dan Pakatan tidak boleh lagi terlalu suka dan bergembira dengan gelombang tsunami yang pernah mereka cetuskan dalam arus politik negara. Seperti tsunami, ia tidak lama meski pun kesannya semerta. Keadaan pasti kembali normal dan orang akan kembali mencari yang asal. Tanah yang asal itu pasti lebih baik.

Beberapa blog ‘lanun’ yang selama ini begitu bongkak menunjang perjuangan Pakatan, mulai semalam, sudah beralih nada. Ada yang sudah mahu berfikir dan mengajak berfikir tentang betapa Pakatan kini sedang dilanda masalah yang besar, yang boleh jadi parah bila-bila masa. Lalu, ada cadangan dibuat supaya pemimpin-pemimpin Pakatan kembali duduk berbincang tentang perkembangan mutakhir ini. Cadangan ini malah datang daripada pemimpin tertinggi mereka sendiri. Nampak benar gelabahnya mereka.

Kita melihat. Rakyat juga hendak lihat, selepas tsunami yang dibongkak-bongkakkan dulu, apakah Pakatan benar-benar sedia menjadi pemerintah di negara ini? Ketika di Penanti, dan terbaru di Manek Urai, banyak sangat isu yang bodoh tapi gagal disepakati dengan mudah oleh geng dalam Pakatan sehingga penyokong-penyokong mereka sendiri jadi resah. Isu-isu bodoh inilah akhirnya jadi batu yang dibaling ke muka mereka sendiri. Isu rasuah, isu penempatan yang dijanjikan, isu kebajikan dan bermacam lagi.

Pada saya, ada baiknya mereka kembali duduk dan berbincang. PAS patut ambil peranan ini jika mahu terus dominan dalam Pakatan. PAS yang patut memulakan segala usaha ke arah membaiki lubang-lubang yang sedang membesar dan membusuk dalam kem Pakatan, jika tidak, sama ada PAS, atau PKR, atau DAP, semuanya akan dapat susah akhirnya. Perkara paling penting, mereka perlu segera terjemahkan reaksi undian di Manek Urai.

Tuesday, July 14, 2009

Agenda Tersirat Di Sebalik Khidmat Jaringan Sosial Maya Global – Seronoknye ehmm..

Mutakhir ini, rata-rata kita sedang asyik dan leka dengan keseronokan menambah kenalan dan berjaringan secara maya dengan teman-teman tersayang. Tapi sedarkah kita, di sebalik semua dinding jaringan sosial tersebut – Facebook, Friendster, MySpace, Tagged etc.- terdapat banyak agenda tersirat yang sangat berbahaya?

Kita biasa lihat di kaca televisyen atau di layar besar bagaimana canggihnya, atau betapa pantasnya pihak risikan seperti CIA, Mi6 ataupun KGB mendapatkan maklumat individu walau di ceruk mana sekalipun mereka berada. Itu yang tergambar di filem-filem atau siri drama penyiasatan yang pernah kita lihat. Bagi kita, ia cuma plot yang sengaja diadakan supaya segala yang dibobrokkan nampak hebat dan gah.

Tapi pernahkah kita terfikir, semua itu memang benar-benar berlaku? Biasa baca berita di dada-dada akhbar tentang bagaimana Interpol, CIA atau badan-badan perisikan yang lainnya memburu dan menangkap penjenayah? Apakah akses yang mereka miliki sehingga segalanya menjadi begitu mudah dan pantas? Adakah dengan hanya bergantung kepada satelit risikan semata-mata? Jika begitu, bagaimana pula mereka mampu memiliki data atau profile peribadi kita dengan tepat dan betul?

Tanpa kita sedar atau perasan, kewujudan khidmat-khidmat jaringan sosial seperti itulah yang membenarkan segala data peribadi dan profile kita diakses oleh setiap badan perisikan utama dunia pada hari ini. Apabila kita memuatkan apa-apa juga maklumat tentang diri, ahli keluarga, alamat, nombor telefon, e-mel atau apa-apa sahaja lagi, secara murah hatinya kita telah memberikan data-data yang sememangnya amat-amat-amat-amat dicari oleh badan-badan perisikan tersebut. Bagaimana pula? Temberang je kot...suka hatilah.

Bagi yang enggan percaya akan hakikat ini, mereka mungkin akan menggunakan pelbagai hujah. Misalnya, bagaimana mungkin segala maklumat dan data peribadi kita boleh diakses, dicuri atau dimuat-turun dengan mudah sedangkan setiap perkhidmatan yang disediakan lengkap dengan ciri-ciri keselamatannya seperti penggunaan ID dan kata laluan atau password? Bagaimana semua maklumat kita boleh diakses kalau hanya kita sahaja yang tahu cara untuk mengaksesnya?

Dan lagi, kalaulah benar begitu, maka segala jaminan keselamatan yang dinyatakan semasa mendaftar mel elektronik dengan Yahoo atau Google, misalnya, hanya tipu semata-matalah? Takkan laa kot macam tu...ok, suka hati.

Cuba fikir yang ini pula, siapakah yang mencipta segala sistem yang digunakan dalam perkhidmatan-perkhidmatan tersebut? Apakah pula tujuannya yang sebenar? Mengimbau sejarah terwujudnya semua ini mungkin memakan masa dan ruang, tapi saya akan cuba pengaruhi anda dengan cara yang lebih mudah tetapi rinci.

Sistem-sistem yang dibina ini tentunya mempunyai pengendalinya yang tersendiri, atau administrator. Pengendali-pengendali ini pula tentunya tahu dari pucuk hingga ke akar tentang sistem-sistem yang mereka bina tersebut. Jika kita yakin bahawa password kita selamat, tapi bolehkah kita ragu-ragu, atau sekadar bertanya, siapakah yang mencipta sistem kata laluan dan untuk apa? Jawapannya tentu BOLEH. Kenapa? Kerana ia memang disengajakan demikian supaya kita berasa yakin dan lega, tapi hakikatnya, kita sedang diperdayakan.

Sedikit juga untu renungan bersama, sama ada kita tahu ataupun tidak, khidmat-khidmat jaringan sosial ini sememangnya dibina ketika pihak-pihak ‘polis dunia’ seperti Amerika Syarikat, Zionis Israel, Kremlin, Britain dan sebagainya lagi sedang berasa terancam dengan pertambahan mendadak umat Islam dan bangsa-bangsa lain yang dianggap boleh memberikan implikasi buruk kepada mereka. Lalu, sebagai alternatif pantas, mereka membina sistem-sistem yang boleh mengumpul segala data dan maklumat peribadi orang ramai sehingga melangkaui batas sempadan negara dan geografi manusia dengan mudah.

Dan terbukti hasilnya apabila kita dengan mudah memasuki perangkap-perangkap yang dipasang ini atas nama ukhwah, atas dasar menautkan silaturrahim sesama kita, atas perasaan kasih dan sayang, atas nama mendekatkan yang jauh. Memang benar, kita telah mendekatkan diri kita yang jauh ini sedekat-dekatnya dengan pihak musuh, bahkan kita menjalin ukhwah secara tak langsung pula dengan mereka. Tergamakkan kita? Belum puas? Suka hatilah..

Biar saya tambah sikit lagi, tahu tak, hatta dengan satu pesanan atau mesej atau komen pun, yang kita rasa cukup-cukup-cukup-cukup personal lagi rahsia (antara kau dan aku sahaja), sebenarnya ia sudah dapat diimbas dan diterjemah oleh perisik-perisik seperti yang disebutkan diatas? Kenapa? Rasa macam dalam filem? Suka hatilah...Bukan nak menghasut tetapi nak ajak renung-renung cuma.

Akhir, mungkin saudara saudari mempunyai kelapangan untuk menyelidik sendiri siapakah di sebalik semua ini? Siapakah sebenarnya yang merancang semua ini? Atau nak lagi best, carilah siapa taikun sebenar yang menguasai alam siber ketika ini termasuk media-media utama dunia seperti CCN, BBC, Fox dan sebagainya. Nak lagi –lagi-lagi best, cari pula apakah bangsanya. Dan dengan satu ingatan juga, usaha dan carilah sendiri apakah perkaitan semua ini. Fikirlah secara kritikal walaupun sekejap ketika banyak masa kita diluangkan untuk berseronok.

Friday, July 3, 2009

Dua Situasi: Satu Kepincangan, Satu Kebanggaan

Sebentar tadi, ketika dalam perjalanan pulang ke USM dari Bukit Jambul (BJ), saya sempat dipertontonkan dengan dua situasi yang berlainan antara satu sama lain. Satu situasi amat menyejukkan dan mendamaikan hati, tapi yang satu lagi, sesak dan meresahkan sehingga membuatkan dua tiga orang yang turut berada dalam bas yang sama dengan saya, geleng kepala.

Jarak antara BJ dan USM bukanlah jauh sangat. Tapi dalam jarak yang tidak jauh itulah dua situasi ini berlaku. Pertama, ketika bas melintasi sebuah surau (setahu saya surau tersebut adalah kubu kuat PAS di kawasan BJ dan mungkin sehingga ke Sungai Nibong), saya lihat jemaahnya sungguh ramai. Waktu maghrib begitu jika dapat dikumpulkan sejumlah besar orang lelaki, berbaris dalam saf-saf yang tertib, pada saya adalah sesuatu yang mengujakan. Tambahan pula di kawasan bandar seperti itu.

Dan ketika bas berhenti betul-betul di hadapan terminal bas Sungai Nibong, saya dipertontonkan pula dengan situasi kedua. Lokasinya, bukan surau apatah lagi masjid. Lokasinya betul-betul juga di hadapan terminal tersebut, dan lebih tepat di sebuah gelanggang sepak raga di sebuah dewan orang ramai. Saya tahu, tempat ini memang kubu bagi UMNO di kawasan tersebut. Jemaahnya juga ramai, dari kanak-kanak, muda-muda hinggalah dua tiga orang yang dah pun berusia.

Apa yang mereka sedang buat? Rasanya anda pun boleh agak. Ketika ramai umat Islam yang lelaki berkumpul di sebuah surau menunaikan solat jemaah yang memang dituntut oleh syariat, tetapi lelaki-lelaki yang ini pula masih galak meneranjang dan menendang. Kalau yang ditendang diterajang itu syaitan dan iblis, maka berbahagialah umat bangsa kita semua. Tapi mereka menerajang dan menendang masa dan waktu yang cukup berharga. Terasa amat kesal sekali.

Saya cuma bayangkan, kalaulah mereka ini juga berhimpun di mana-mana tempat yang boleh didirikan solat secara berjemaah, membentuk saf yang hebat, dengan jumlah yang sebegitu ramai (tak kurang dua puluh orang semuanya), pasti barisan umat ini juga akan berjaya, kerana inilah yang sebenarnya yang dituntut dalam setiap perjuangan orang Islam. Ideologi politik tidak boleh diletakkan sebagai alasan untuk menidakkan tuntutan syariat ini. UMNO pasti tidak akan menemui penyelesaian terhadap segala permasalahan yang melanda parti ini jika dalam kalangan ahlinya, yang mungkin bukan di lokasi itu sahaja, terus-terusan mengabaikan segala tuntutan agama.

Jika yang wajib sebegini pun tidak ditunaikan, bolehkah diharap kepada golongan seperti ini kelak untuk membetulkan kembali saf kempimpinan bangsa Melayu dan agama Islam dalam UMNO?
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...