Friday, July 24, 2009

syoknye@usm

Minggu ni barangkali suasananya agak tidak lengang, bahkan akan bising dan meriah. Sekurang-kurangnya, ada tiga acara besar bakal dan sedang berlangsung di Kampus Sejahtera USM. Sekadar nak berkongsi saja akan rasa keterujaan ini bersama-sama dengan sahabat-sahabat sekalian.

Pertama, sedang dan akan terus berlangsung ketika ini tentunya pameran ICT dan Heboh Buku yang dikendalikan oleh gadis-gadis dari desasiswa Saujana (satu-satunya penempatan pelajar yang hanya dihuni oleh kaum bukan lelaki di USM). Sungguh kagum saya lihat kesungguhan team mereka kendali projek sebesar ini. Lebih kagum kerana penganjurannya semakin matang, bukti pelajar kita tidak pernah lesu. Tempatnya, di Dewan Utama Pelajar.

Keduanya, bakal berlangsung, mungkin serentak ialah Seminar Kebangsaan Kekuasaan dalam Sastera Melayu Nusantara. Seminar kali ini lebih utama dari segi keutamaannya kerana bakal membincangkan tentang kekuasaan Melayu dalam sejarah kesusasteraan di Nusantara. Isinya, dan isu-isu yang hendak dibawa kelak diharapkan boleh mengubah atau sekurang-kurangnya menganjak sedikit paradigma kalut yang pernah ditinggalkan oleh kolonialis dulu dalam lanskap sastera kita, insya-Allah.

Sementara itu, pada masa yang sama, 25hb Julai, satu program tayangan perdana dua buah filem tempatan yang baru bakal berlangsung. Filem-filem tersebut – Setem dan Papadom- tentunya akan menggamit tak kurang orang juga kerana nilai penariknya sendiri. Khabarnya, ada selebriti dan artis yang bakal turut serta. Maka bertindih-tindihlah tumpuan lensa pada hari tersebut. Satu di Dewan Kuliah A yang menempatkan sekalian ramai orang cerdik dan di Dewan Tunku Syed Putra pula sekian banyak orang glamour.

Saya melihat usaha ini sebagai satu bentuk pengenalan yang bagus kepada para pelajar kerana setidaknya, yang terlibat dalam penganjuran itu, akan terdedah dengan banyak kerenah yang boleh mematangkan mereka. Resipi tayangan perdana bukanlah baru di sini. Sudah banyak filem yang berjaya di sini, dan paling pasti ialah filem Sifu dan Tongga di mana lebih seribu orang datang menonton. Kemudian disusuli pula dengan Tale n Time, Histeria, Jangan Tegur dan sebagainya lagi.

Jujurnya, saya menolak jika didakyahkan oleh siapa-siapa kononya pengajuran acara-acara sebegini lebih banyak melekakan pelajar. Dalam situasi semasa, adalah lebih senang menyalahkan daripada berusaha membetulkan keadaan, atau menyelamatkan. Kita tidak mampu menghalang dalam soal fitrah manusia yang ada masanya mahukan hiburan dan kesuka-sukaan. Selagi mereka menjaga batas adat, tak berlakulah sangat masalah yang dibimbangkan dan dipersoalkan itu. Dalam dewan yang sebesar itu tapi penuh dengan manusia, pasti segan silu lebih dahulu timbul dalam diri masing-masing jika kita andaikan mereka hendak buat yang bukan-bukan sekali pun.

Tinggalkan hal itu. Pokoknya di sini, saya mahu rimbunkan dengan satu rasa keterujaan sebagai warga Kampus Sejahtera ini. Sungguh, di sini, segala-galanya ada. Sudah tersedia dan banyak lagi yang bakal disediakan, insya-Allah. Kepada mereka yang sudah berada di sini tetapi belum terasa keterujaannya, carilah. Kalau masih ada yang masih nak perlekehkan, suka hatilah..sentiasa saja ramai yang mensyukuri semua ini.

Dan yang terakhir mengikut apa yang saya tahu ialah acara Futsal 1Malaysia Kosmo. Yang ni saya yakin benar ada ramai yang mensyukurinya..lokasinya, gelanggang stadium tenis kot.. yang dekat saja dengan stadium olahraga tu.

1 comment:

Pei Pan said...

Kampus meriah dengan suasana ilmu yang bakal dijalankan di DK A, juga acara ala-ala hiburan di DUP. Kemeriahan itu amat mengembirakan warga kampus pastinya.

Yang agak tak nak hiburan pergilah ke DK A nanti, yang mahukan hiburan boleh menonton. Pilihan masing-masing.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...