Followers

Friday, July 3, 2009

Dua Situasi: Satu Kepincangan, Satu Kebanggaan

Sebentar tadi, ketika dalam perjalanan pulang ke USM dari Bukit Jambul (BJ), saya sempat dipertontonkan dengan dua situasi yang berlainan antara satu sama lain. Satu situasi amat menyejukkan dan mendamaikan hati, tapi yang satu lagi, sesak dan meresahkan sehingga membuatkan dua tiga orang yang turut berada dalam bas yang sama dengan saya, geleng kepala.

Jarak antara BJ dan USM bukanlah jauh sangat. Tapi dalam jarak yang tidak jauh itulah dua situasi ini berlaku. Pertama, ketika bas melintasi sebuah surau (setahu saya surau tersebut adalah kubu kuat PAS di kawasan BJ dan mungkin sehingga ke Sungai Nibong), saya lihat jemaahnya sungguh ramai. Waktu maghrib begitu jika dapat dikumpulkan sejumlah besar orang lelaki, berbaris dalam saf-saf yang tertib, pada saya adalah sesuatu yang mengujakan. Tambahan pula di kawasan bandar seperti itu.

Dan ketika bas berhenti betul-betul di hadapan terminal bas Sungai Nibong, saya dipertontonkan pula dengan situasi kedua. Lokasinya, bukan surau apatah lagi masjid. Lokasinya betul-betul juga di hadapan terminal tersebut, dan lebih tepat di sebuah gelanggang sepak raga di sebuah dewan orang ramai. Saya tahu, tempat ini memang kubu bagi UMNO di kawasan tersebut. Jemaahnya juga ramai, dari kanak-kanak, muda-muda hinggalah dua tiga orang yang dah pun berusia.

Apa yang mereka sedang buat? Rasanya anda pun boleh agak. Ketika ramai umat Islam yang lelaki berkumpul di sebuah surau menunaikan solat jemaah yang memang dituntut oleh syariat, tetapi lelaki-lelaki yang ini pula masih galak meneranjang dan menendang. Kalau yang ditendang diterajang itu syaitan dan iblis, maka berbahagialah umat bangsa kita semua. Tapi mereka menerajang dan menendang masa dan waktu yang cukup berharga. Terasa amat kesal sekali.

Saya cuma bayangkan, kalaulah mereka ini juga berhimpun di mana-mana tempat yang boleh didirikan solat secara berjemaah, membentuk saf yang hebat, dengan jumlah yang sebegitu ramai (tak kurang dua puluh orang semuanya), pasti barisan umat ini juga akan berjaya, kerana inilah yang sebenarnya yang dituntut dalam setiap perjuangan orang Islam. Ideologi politik tidak boleh diletakkan sebagai alasan untuk menidakkan tuntutan syariat ini. UMNO pasti tidak akan menemui penyelesaian terhadap segala permasalahan yang melanda parti ini jika dalam kalangan ahlinya, yang mungkin bukan di lokasi itu sahaja, terus-terusan mengabaikan segala tuntutan agama.

Jika yang wajib sebegini pun tidak ditunaikan, bolehkah diharap kepada golongan seperti ini kelak untuk membetulkan kembali saf kempimpinan bangsa Melayu dan agama Islam dalam UMNO?

3 comments:

Anonymous said...

tahniah atas entry ini, sangat berkecuali..kan?

rizuan mh said...

terima kasih..katakan yg benar walaupun pahit

abu musarrif bin abu bakar said...

1-yah..umno perlu suntik ubat agama banyak agi..

2-saya dah tawan bilik lama cik wan.hehehehe

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...