Monday, March 1, 2021

REFORMASI SISTEM MAMPU HENTI DRAMA LOMPAT PARTI


SAYA tertarik membaca laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini bertajuk “Drama Lompat Parti Berulang.”

Menurut laporan ini, sekurang-kurangnya sembilan orang wakil rakyat pembangkang berbuat demikian selepas kali terakhir drama lompat parti berlaku telah menyebabkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah terpaksa diadakan baru-baru ini.

Persoalannya, adakah perkembangan ini baik kepada kita semua? Sesetengah pendapat yang meraikan budaya ini melihatnya sebagai suatu bentuk dinamika politik tanah air, mencerminkan kematangan dan berorientasikan kepentingan rakyat.

Bagi yang menentangnya pula berpendapat tindakan para pemimpin  yang mengubah haluan politik mereka setelah dipilih oleh rakyat atau lebih tepat, pengundi,  sebagai suatu bentuk pencabulan hak asasi yang nyata, bersifat khianat dan tidak bermaruah.

Bagi saya, kedua-dua pendapat ini benar belaka. Namun, dalam kita membicarakan tentang kematangan politik, mahu atau tidak kita terpaksa mengakui bahawa “lompat parti” bukanlah suatu tindakan yang wajar dipuji apatah lagi digalakkan sehingga dibenarkan menjadi budaya dalam masyarakat kita.

Pun, selagi wujud kelompangan yang ketara dalam sistem perundangan negara dalam kita mengurus isu ini, selagi itulah drama ini akan berterusan walaupun majoriti rakyat sepakat menolaknya. Justeru kini tiba masanya untuk kita mengambil pendekatan yang lebih bersungguh-sungguh bagi menoktahkan episod-episod pembunuhan demokrasi negara secara demokratik ini. 

Pertama, perlu segera diwujudkan sebuah akta yang khusus bagi menghalang para perwakilan daripada meninggalkan parti selepas dipilih dalam sesebuah pilihanraya, baik di peringkat persekutuan mahupun negeri seperti yang dilaksanakan di Pulau Pinang.

Kedua, jika langkah pertama gagal dicapai, kita mungkin perlu memikirkan suatu bentuk pembaharuan secara total terhadap sistem pilihanraya negara agar tidak lagi berorientasikan calon individu tetapi parti dengan parti yang menang diberikan hak eksklusif untuk melantik perwakilan ke Dewan Rakyat atau DUN (Dewan Undangan Negeri).

Percayalah, lebih banyak pembaharuan boleh dilaksanakan jika kita sepakat menjayakan salah satu cadangan ini.

Persoalannya, bolehkah kita berharap kepada Ahli-ahli Yang Berhormat yang bertanggungjawab menggubal undang-undang negara untuk melaksanakan reformasi sistem ini?

Saya tidak yakin.  


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...