Followers

Saturday, November 21, 2009

Anak-anak 1Malaysia Buktikan Sistem Pendidikan Negara Berkualiti

Tidak tergambar perasaan di hati apabila mata dan telinga melihat dan menyaksikan kisah-kisah kejayaan anak-anak 1Malaysia mencapai keputusan cemerlang dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah, UPSR baru-baru ini.

Mata dan telinga yang melihat dan mendengar inilah menjadi saksi, bahawa segala dakyah dan tohmah Hishamuddin Rais, pemikir songsang yang cuba membina persepsi bahawa sistem pendidikan di negara ini tidak cekap dan tidak berkualiti, adalah salah sama sekali.

Sebagai bakal guru yang turut akan membantu mencorak hala tuju anak-anak 1Malaysia ini suatu hari nanti, sudah semestinya saya berasa cukup berbangga dengan kejayaan generasi muda tersebut. Tidak dinafikan, masih wujud kelemahan tertentu dalam sistem pendidikan yang kita ada, namun ia sentiasa diperbaiki dari semasa ke semasa supaya hasil yang ingin dicapai berada pada tahap terbaik.

Pihak kerajaan melalui kementerian yang terbabit juga pastinya berusaha memantapkan sistem pendidikan nasional. Tidak cukup hanya dengan merangka dasar dan matlamat seperti yang digariskan dalam FPK atau Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Sebaliknya, penambahbaikan terhadap sukatan mata pelajaran serta kaedah pengajaran dan pembelajaran juga sentiasa diberikan perhatian, sekaligus memungkinkan pencapaian-pencapaian cemerlang sebegini boleh direalisasikan dengan jayanya.

Dalam buku beliau, Internet – Keganasan dan Penipuan, Hishamuddin Rais antara lainnya menempelak sistem yang digunakan dalam proses pendidikan di negara ini sebagai gagal melahirkan generasi intelek yang komprehensif sementelah masih terdapat pihak-pihak atau golongan rakyat, yang saya yakin cuma segelintir, terpinggir daripada arus kependidikan negara. Persoalannya, adakah ia benar seratus peratus? Adakah kerajaan mewujudkan sesuatu sistem dan pada masa yang sama, mahu meminggirkan pula segelintir rakyatnya daripada menerima implikasi dan keuntungan daripada sistem tersebut? Atau adakah golongan tersebut terpinggir kerana mereka tidak berusaha mengikut arus sistem berkenaan?

Cerita tentang kejayaan generasi baru Malaysia dalam bidang pembelajaran mereka adalah bukti bahawa jika sistem yang diimplimentasikan dengan baik itu diterima oleh rakyat tanpa mengira latar belakang kehidupan mereka, maka tidak akan timbul isu ada golongan yang terpinggir atau dipinggirkan seperti yang didakwa. Pada saya, dakwaan tersebut lebih bersifat politik berbanding mengemukakan realiti sebenar kepada umum, dan ternyata ia dilakukan dengan mengambil kesempatan di atas kekurangan rakyat marhaien sendiri.

Yang menjadi masalahnya adalah kerana sikap dan persepsi golongan yang segelintir itu terhadap kepentingan pendidikan dalam kehidupan anak-anak mereka sendiri. Pastinya isu tidak timbul sebelum keputusan sesuatu peperiksaan diumumkan, atau tepatnya semasa proses pendidikan itu berlangsung. Ia hanya dibangkitkan sejurus keputusan diumumkan dengan dakwaan-dakwaan kononnya masih ada rakyat umumnya dan para pelajar khususnya yang tercicir daripada kejayaan yang dicapai. Pada waktu itu tentunya kita akan bertanya, apakah lagi yang boleh dilakukan ketika sejumlah besar yang lain semakin laju melangkah ke hadapan? Di pihak kerajaan tentunya akan dilaksanakan langkah-langkah paling wajar kerana ia memang sudah menjadi tanggungjawab sebagai pemerintah. Namun, isunya ialah di pihak ibu bapa atau penjaga pelajar-pelajara terbabit. Ia tetap berkaitan dengan sikap dan pemikiran.

Saya juga tidak nampak saranan oleh Hishamuddin Rais sendiri, dan mungkin daripada pihak-pihak tertentu yang lain juga supaya dipercumakan sistem pendidikan nasional hingga ke peringkat tertinggi sebagai sesuatu yang relevan. Dalam konteks pendidikan hari ini, adalah sesuatu yang kurang bijak sekiranya sistem yang digunakan disubsidikan secara total. Meskipun ia akan memberikan kesamarataan dari segi hak dan peluang pembelajaran terhadap semua golongan pelajar di semua peringkat pendidikan, namun implikasi lain tetap akan timbul malah mungkin menjadi isu major di kemudian harinya.

Soal keberupayaan untuk bersaing dalam kalangan guru dan pelajar, soal kesediaan para guru untuk melonjakkan prestasi mereka apabila mengajar di dalam kelas, soal motivasi diri sama ada di pihak guru mahupun pelajar sendiri dan sebagainya lagi pasti akan timbul sedikit demi sedikit. Isu sama ada pihak kerajaan mampu ataupun tidak, tidak harus timbul. Namun apa yang boleh difikirkan di sini ialah mentaliti rakyat di negara ini akan terus terikat dengan subsidi sedangkan ia merupakan sesuatu yang sedang susut. Natijahnya amat besar sekiranya pada satu tahap, pasti, kerajaan terpaksa menarik balik subsidi dalam pendidikan yang dipercumakan itu. Yang untung tentunya pemimpin-pemimpin politik kerana boleh menjadi hero rakyat pada waktu tersebut.

Kesimpulannya, rakyat Malaysia haruslah membuka mata dan minda mereka bahawa pendidikan di negara ini, melalui sistem-sistem yang fleksibal yang digunakan dari masa ke masa, sudah berjaya melahirkan golongan cerdik pandai dan profesional tempatan. Dakwaan kononnya sistem kita ketinggalan dan tidak komprehensif haruslah di sangkal kerana saban tahun, kita dihadapkan dengan angka-angka yang jelas menunjukkan anak-anak Malaysia sebenarnya boleh. Hanya mereka yang melihat hakikat ini dari jurus pandang politik yang sempit sahaja akan menolaknya. Saya yakin, jika hari ini Pakatan Rakyat memerintah negara, mereka juga tidak mampu mempercumakan pendidikan nasional hingga ke peringkat tertinggi. Hanya idealis songsang sahaja merasakannya wajar.





Dua orang adik yang cemerlang dalam kepayahan. Semoga mereka terus berjaya dalam kehidupan masing-masing, insya-Allah.

2 comments:

Che Leh Jangok said...

TAHNIAH KEPADA ANAK ANAK CEMERLANG APA LAGI DALAM KEADAAN TERHIMPIT PUN MASIH CEMERLANG.

BUKTIKAN BUKTIKAN DAN BUKTIKAN SAMPAI KE HUJUNG JALAN.

Struktur kepimpinan Melayu meletakkan tiga paras:

1) Pemimpin.

2) Penyokong.

3) Pengikut.

Kita nak letak diri kita diparas mana? Kita yang ada sedikit bekalan ilmu anugerah dari hidayah Allah tentulah tidak adil meletakkan diri kita pada paras pengikut semata.

Sekali sekali nak juga muncul sebagai penyokong. Tugas penyokong ialah menyumbang kepada akalan melalui cadangan cadangan (kena berkaedahlah).

Nak letak diri pada paras pemimpin tentulah sukar kerana keikhlasan kita menilai diri kita memperlihatkan diri kita sebagai belum mencapai tahap kelayakan terbaik.

Jadi kerja kita hendaklah nak kena menyumbang. Paling mudahlah ini di maya ini membantu membina kesedaran, keyakinan dan kefahaman orang ramai.

Tetapi yang asyik dok bangkang tu nak letak kat mana.

P E N D E R H A K A !!!

HUKUMNYA ???

IKUT HUKUM BUGHAH ???

YANG GAMBI said...

Salam bro, stuju sangat dengan pandangan tuan dan komen Che Lah. Apa lagi yang rakyat hendak, semuanya tersedia dalam pembelajaran anak-anak, lebih-lebih lagi kepada anak-anak Melayu-Bumiputera.

Bukan pada masa zaman kawan dulu, tahun 60an, tiada kemudahan pinjaman buku tek, tiada tawaran-tawaran bantuan lain, kawan bersekolah pinjam buku tek dari kawan kerana tidak mampu beli buku tek.... tapi kawan terus belajar... pada masa itu yuran peperiksaan LCE RM15, HSC RM60, ibubapa kawan tak mampu bayar... tapi guru-guru menderma tolong bayar yuran pepriksaan kawan..

Sampai sekarang kawan kenang budi dan jasa Che gu-Che gu kawan.....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...