Monday, November 30, 2009

Mantik Politik

POLITIK Malaysia harus menerima hakikat bahawa terdapat seorang lelaki yang sangat berpengaruh ketika ini yang telah banyak mencorakkan suasananya. Lelaki yang dimaksudkan itu juga baru-baru ini telah disenaraikan sebagai antara pemuka berpengaruh di dunia Islam sekali gus melonjakkan politic valuesnya. Di mata dunia, beliau juga bukan lagi figura asing.

Jika disenaraikan lagi, maka ramai yang beranggapan lelaki itu ialah Anwar Ibrahim. Sebenarnya, beliau setanding barangkali dengan Anwar Ibrahim. Kedua-duanya mempunyai pengaruh yang besar baik di negara ini mahupun di dunia Islam, bahkan termasuk di Barat juga. Sempadan hegemoni politik mereka ada kalanya dikagumi dan dihormati pihak kawan dan lawan. Ada kalanya juga, kedua-dua mereka begitu disegani oleh musuh.

Jika kita mahu bercakap tentang Anwar Ibrahim, maka saya orang pertama yang akan mengundurkan diri. Saya lebih berminat dengan lelaki pertama yang saya maksudkan sebentar tadi, iaitu Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Pada saya, meskipun hegemoni politik kedua-duanya agak seimbang khususnya jika diukur dari sudut kekuatan pengaruh dan sokongan masing-masing, namun saya melihat wujud perbezaan yang ketara antara kedua-duanya. Ia berkenaan dengan nilai politik. Anwar membina pengaruh umumnya melalui kredibiliti dan persepsi sementara Tuan Guru, pengaruhnya datang dari gelarannya itu sendiri. Beliau membina sesuatu yang tiada pada Anwar. Ada masanya, yang tiada pada Anwar itu menjadi kekuatan yang cukup luar biasa bagi Tuan Guru.

Dalam juak Pakatan Pembangkang sendiri, kedua-dua Anwar dan Tuan Guru mempunyai stands yang berbeza. Walaupun boleh berkongsi platform yang sama, namun Anwar harus terima hakikat bahawa Nik Aziz ialah Tuan Guru dan Mursyidul Am kepada sebuah parti politik yang tunjangnya satu kaum sahaja iaitu Melayu Islam. Tuan Guru mempunyai kekuatan yang cukup besar jika beliau berjaya memegang tunjang itu dan menjaganya serta menentukan hala tuju tumbuhnya mengikut ajarannya. Sedang Anwar, meskipun beliau adalah Ketua Umum, namun beliau lebih banyak bermain dengan perjudian nasib dan akibat. Politik yang beliau bina dalam juaknya sendiri sebenarnya lebih banyak dicorakkan oleh persepsi. Kepelbagaian kaum dengan matlamat asasi serta ideologi dan nilai moral dan keagamaan yang kompleks adalah cabaran yang cukup berat lagi payah untuk ditangani oleh seorang ketua seperti Anwar.

Anwar harus risau jika beliau gagal memuaskan semua akar politiknya. Pada masa yang sama, beliau juga harus akur bahawa setiap akar yang menghidupkan politiknya itu sentiasa mahu bergerak. Tunjangnya mungkin sudah digagaskan melalui perancangan survivor politicnya selama ini, namun setiap akar itu, yang kadang-kadang boleh bertindak liar menjalar tanpa panduan, boleh menggugat seluruh sistem yang dibina. Sudah banyak contoh yang menunjukkan betapa akar-akar dalam perjuangan politik Anwar berani melencongi wadah perjuangan beliau sendiri. Peristiwa di Sabah umpamanya, adalah isyarat jelas betapa Anwar belum mampu menandingi kebijakan Tuan Guru dalam beliau menangangi permasalah pokok yang timbul. Siri perletakkan jawatan, pengunduran keluar ADUN tertentu dan pembubaran ranting yang semakin parah juga menunjukkan Anwar belum berjaya mewujudkan kemandirian dalam sistem politiknya.

Tidak keterlaluan, jika semua itu dipanjangkan lagi, untuk mengatakan bahawa ada masanya Anwar menumpang pengaruh Tuan Guru dan PAS dengan hajat untuk menguatkan kembali perjuangan beliau sendiri. Malah ada ketikanya, Anwar bertindak lebih bijak sedikit dengan memperlihatkan kepada umum betapa perjuangannya adalah fleksibel dan boleh diseiringkan dengan perjuangan politik PAS. Ketika PAS diheret ke dalam Pakatan, sebenarnya ramai yang menduga hal ini. Ada yang sinis melihat PAS tertipu. Natijahnya apa? Seperti yang terlihat hari ini, PAS sebenarnya semakin bermasalah baik dalaman mahupun luaran. Sistem yang dibina dan diamalkan oleh PAS selama ini sudah banyak yang dicabuli oleh Anwar dan parti-parti lain dalam Pakatan. PAS dilihat gagal memegang tunjang perjuangannya seperti sebelum ini, kecuali Nik Aziz yang semakin dihormati dan disegani.

Namun, jika dibaca dari sudut bahasa politik, adakah Tuan Guru dihormati dan disegani zahir dan batin? Inilah persoalan yang bukan sahaja bermain di minda musuh, tetapi juga dalam kalangan penyokong PAS sendiri. Bahkan, dalam minda sesetengah yang lain pula, khususnya pihak atas pagar, musuh itu sendiri sebenarnya tidak jelas. Ramai yang sahih bahawa UMNO ialah musuh politik utama bagi kedua-dua lelaki ini. Tuan Guru sendiri berulang kali menyatakan kebenciannya terhadap UMNO. Ia bahkan menyeluruh. Begitu juga dengan Anwar yang sudah mengishtiharkan perang terhadap PM DS Najib. Mungkin Anwar sendiri lupa bahawa semboyan perang itu turut menempiasi seluruh ahli UMNO kerana Najib ialah kepalanya. Seluruh badan pasti bergetar sama. Pada masa yang sama, ada yang beranggapan Anwar cuma mahu beretorik lagi terutamanya bagi menutup kembali lubang yang terbuka luas berkaitan isu Azmin dan Shamsidar.

Namun, tidak diketahui dengan jelas, adakah Tuan Guru semakin dihormati dan disegani ketika partinya sendiri sedang bergelut dengan pelbagai masalah. Nik Aziz terus bercakap tentang isu-isu tertentu yang ada kalanya, memperlihatkan kerendahan nilai Tuan Guru itu sendiri. Umum juga tertanya-tanya, apakah sebenarnya yang dinginkan oleh Nik Aziz ketika ini? Kuasa atau dakwahnya? Banyak kenyataan Nik Aziz terpaksa diperbetulkan kembali khususnya apabila ia mula menunjukkan akan menimbulkan polemik. Hal ini sebenarnya menimbulkan persoalan lain iaitu adakah Nik Aziz bercakap berdasarkan keperluan atau beliau bercakap kerana beliau seorang Mursyidul Am? Adakah kerana beliau seorang pemimpin umum, maka beliau berhak bercakap apa-apa sahaja yang difikirkan perlu? Jika begitu, mana nilai integriti kepartian yang ada dalam PAS? Mana suara Presiden dan Timbalannya?

Terbaru, ialah kenyataan Nik Aziz yang bersedia mendoakan kelaknatan terhadap pemimpin negara sendiri. Isu ini mungkin baru dan masih belum menjadi polemik politik. Beliau sendiri sudah memperbetulkan kenyataan itu dengan memberikan definisi yang lebih sedap didengar. Persoalannya, adakah rakyat begitu dungu untuk menerima apa sahaja cakap beliau, sehingga beliau dengan senang mengubah kembali kenyataan-kenyataan sebelumnya? Rakyat yang sudah bijak menilai juga tertanya-tanya, sejauh mana kebencian Tuan Guru terhadap UMNO sedang UMNO tunjangnya adalah Melayu Islam? Kenapa wujud persilangan yang ketara antara sikap dan persepsi Tuan Guru terhadap parti ini, sedangkan pernah satu ketika juga beliau sendiri menyelar sahabat-sahabat politiknya dalam Pakatan? Jika doa laknat itu sampai ke pengetahuan dunia Islam justeru apakah pula tanggapan mereka terhadap Malaysia kelak? Semua ini tentunya bukan sesuatu yang enak dibincangkan, namun kerana ia keluar daripada mulut Nik Aziz, adalah dibimbangi political polemics akan timbul juga kelak.

Jika hal ini berlaku maka besar padahnya. Seperti yang dibincangkan sebentar tadi, pengaruh politik Tuan Guru sangat besar. Malah beliau sudah pun membentuk kelompok penyokong tegar dan taksub yang sanggup mempertahankan apa-apa saja keputusan atau tindakannya termasuk dalam isu-isu sensitif seperti ini. Di satu sudut yang lain pula, isu ini juga akan meninggalkan kesan yang pastinya lebih besar dalam kalangan penyokong PAS. Ia akan membentuk persepsi umum, kemudiannya diyakini dan akhirnya dipegang sebagai benar bahawa Nik Aziz melakukan tindakan tersebut kerana beliau seorang ulamak yang tinggi penilaiannya. Anwar pula mendapat keuntungan yang cukup lumayan. Bukan sahaja semboyan perang itu sudah disambut, tetapi lebih penting ia disambut oleh seorang mursyidul am sekali gus mengukuhkan lagi hegemoninya. Strategi politik Anwar ternyata begitu menjadi ketika ini. Setiap isu yang membelenggu pokoknya akan dicantas dengan mencipta isu-isu baru yang lebih berimpak tinggi.

Justeru politik Malaysia juga harus menerima hakikat bahawa sebarang tindakan oleh Nik Aziz sering menguntungkan kem Anwar, namun tidak semua tindakan Anwar akan memberikan nilai yang sama kepada PAS atau Nik Aziz. Inilah bezanya, kerana PAS tersepit dengan perjuangan Islamnya sementara Anwar dan partinya lebih liberal. Adalah mustahil untuk PAS mahupun Nik Aziz untuk turut meliberalkan seluruh sistem yang telah dibina. Hanya pada bahagian tertentu sahaja unsur tersebut masih boleh diselitkan walaupun ia akhirnya mewujudkan perdebatan. Pun tentu, kedua-duanya tetap berkongsi wadah yang sama iaitu untuk menjahanamkan musuh meraka, PM DS Najib dan UMNO keseluruhannya.

1 comment:

ANAK PRIBUMI said...

layari www.sungeibayor.blogspot.com

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...