Followers

Sunday, March 29, 2009

EaRTH HoUR : geLap iTu InDaH



Jam 9.00 hingga jam 10.00 malam, haribulan 27, Mac, USM bergelap. Menyahut seruan Earth Hour. Sebetulnya, ini program kedua di USM selepas berjaya melaksanakannya sidang lepas. Ini langkah proaktif yang perlu diterjemah segera sebagai luahan prihatinan kepada masalah yang lebih besar, iaitu persoalan global. Ini persoalan sejagat untuk kepentingan semua orang, semua makhluk dan untuk kelangsungan masa depan kita semua.

Dalam tempoh cuma sejam mungkin impaknya tak seberapa. Apalah sangat yang boleh diharapkan dengan sejam bergelap dalam bilik. Pelajar bukannya berada di bilik sangat waktu-waktu macam tu. Biasanya keluar makan. Biasanya di kedai-kedai mamak, Khaleel atau melangkah sejauh ke Ivory atau window shopping di Tesco. Atau mungkin melangkah ke Desa Aman melihat karnival yang diadakan (itu pun kalau tak bergelap juga). Kalau rajin, mungkin boleh ke pasar malam saja dekat Sungai Dua yang cuma di depan USM. Banyak lagi yang boleh dilakukan daripada memikirkan sejam yang gelap itu. Senang saja, cuma padamkan lampu dan keluar seperti biasa ke mana sahaja yang dimahukan. USM bergelap namun sekitarnya masih cerah. Apalah sangat.

Itu kalau difikirkan apalah sangat. Tapi hakikatnya, sejam itu terlalu besar ertinya buat alam ini. Kampus Sejahtera, Kampus Lestari dan Universiti Dalam Taman tidak akan membawa apa-apa erti lagi jika di luar, alam yang terbentang ini, semakin tenat dan tidak sejahtera lagi. Barangkali kita tidak ingin rupa Bumi dalam citra Wall-E yang ditinggalkan sebagai koloni sampah-sarap. Barangkali kita gerun dengan gambaran Bumi dalam The Day After Tomorrow (Lusa), atau mungkin juga kita ngeri lihat Bumi dalam imej wanita tua yang berbongkok-bongkok dalam kisah perjalanan Rasulullah s.a.w dalam kembara Israk Mikrajnya.

Kata seorang saintis, selepas peristiwa Tsunami, Bumi kini ibarat sebuah loceng besar yang akan terus berbunyi. Bunyi-bunyi itu tidak pernah berhenti sejak Tsunami meninggalkan kesan jejaknya. Hari ini, loceng tua itu masih berbunyi. Tapi iramanya bukanlah sedap dan ingin kita dengar. Bunyinya kadang merintih-rintih. Bunyinya kadang menjerit-jerit. Bunyinya kadang langsung bingit dan perih sekali. Loceng ini seperti si tua juga, sering lupa dan hilang waras. Kalau si tua bertongkat kerana bongkok, loceng pula akan bergoyang denting tak tentu arah dan irama kerana nyanyuk juga.

Dan kata lagi, Bumi ini ibarat seorang lelaki yang berlari dalam satu arah bulatan di balapan. Lelaki itu berlari semakin jauh tapi yang dikejarnya ialah titik mulanya. Lelaki itu tak pernah menjauh pergi tapi mendekat datang kepada asal mula ia berlari. Itulah mula dan akhir kejadian. Lelaki itu sedang menuju akhir lariannya sendiri. Menamatkan sesuatu yang telah dimulakan dan yang ditakdirkan oleh Yang Maha Pencipta.

Kita meraikan sejam yang gelap kerana keprihatinan terhadap Bumi ini. Kita memanjakan Bumi yang sakit dan tenat. Kita berikan ia sejam rehat supaya ia boleh lelapkan mata demi kita. Kita usapkan matanya supaya ia boleh berkelip lagi untuk kita esok, supaya aktiviti kita sehari-hari tidak akan terganggu. Harapan kita, sejam itu cukup kerana ternyata kita masih berkira dengan baki 23 jam yang kita masih ada. Malam ini, tidurlah senyenyaknya kerana Bumi ini masih bernyawa. Tapi adakah jaminan buat kita bahawa esok masih kita boleh bernafas?

1 comment:

Anonymous said...

xberjaya pun aku rsa. tak ramai yg ttp lampu. terang benderang je kat rst aritu. mlm tu kan ujan. so suma lepk blk je

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...