Thursday, March 12, 2009

Shhh...Jangan Tegur!!!


Aku sempat meluangkan masa sebentar tadi untuk menonton filem seram terbaru, Jangan Tegur yang mungkin masuk pawagam bulan April nanti. USM merupakan destinasi tayangan perdana yang pertama, dan kami merupakan penonton terawal yang menyaksikan keseraman filem ini. Tahniah dan terima kasih kepada tenaganita warga desasiswa Saujana yang membawakan tayangan perdana ini ke DTSP. Anda buktikan kredibiliti wanita untuk berkerja kepada masyarakat.

Aku tak mahu mengulas filem ini, tetapi jujurnya, inilah filem seram terbaik karya krew tempatan yang pernah aku tonton. Sangat memberi kesan. Aspek solekan begitu menjadi dan mutu lakonan watak-watak hantunya juga sungguh mengagumkan sekali gus berjaya menutup sisi-sisi tempang filem arahan Pierre Andre ini. Kali ini, selepas menonton Congkak dan JPB, aku semakin percaya dengan kebolehan pengarah muda ini. Ada aspirasi yang boleh diharapkan untuk menyemarakkan industri filem nasional.

Tahniah kepada filem ini. Dan tahniah juga kepada warga Saujana. Kita tunggu Syurga Cinta pula selepas ini.



SINOPSIS FILEM JANGAN TEGUR

Jangan Tegur mengisahkan Natasya (Julia Ziegler) yang telah terlibat dengan kemalangan jalan raya dan koma selama beberapa minggu. Sewaktu di dalam koma, Natasya telah bermimpi tentang seorang gadis bernama Baizura (Nadia Mustafar) yang disyaki telah hilang 2 tahun secara misteri tanpa khabar berita. Natasya sering diganggu dengan mimpi-mimpi aneh yang menceritakan akan kesengsaraan Baizura yang telah dibomoh dan sering didatangi makhluk-makhluk halus.

Tersedar dari koma, Natasya mula mengalami perkara yang sama seperti yang telah dialami oleh Baizura. Daya penglihatannya tidak membataskan dia melihat makhluk-makhluk halus itu. Ini menambahkan kerunsingan suami Natasya iaitu Kamal. Kamal (Pierre Andre) pula adalah seorang yang tidak mempercayai benda-benda khurafat ini sehinggalah dia melihatnya sendiri.

Melalui mimpi-mimpi yang dialami, Natasya mula menyiasat apakah yang telah berlaku kepada Baizura. Siasatan yang dilakukan telah menyebabkan dia sering diganggu oleh makhluk-makhluk yang menganggu Baizura seperti dalam mimpinya. Apakah yang berlaku kepada Baizura? Mengapakah Natasya dibayangi dengan kemunculan Baizura? Apakah kaitan mereka berdua? Saksikan kemunculan filem Jangan Tegur yang bakal menemui anda nanti..

Pelakon lain yang turut menjayakan filem ini adalah Almy Nadia, Ellie Suriati, Azri Iskandar, Kaza dan ramai lagi.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...