Tidak salah untuk dikatakan orientasi PAS sebagai sebuah parti dominan umat Islam di negara ini (jika UMNO dianggap parti sekular berasaskan bangsa Melayu) semakin menyimpangi arah tujuannya yang asal, iaitu memperjuangkan Islam dan daulauh Islamiyah.
Terbaru, mungkin kita boleh melihat kesungguhan parti tersebut ‘memberikan izin’ kepada orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah. Apabila Tuan Presidennya sendiri membuka pintu ini, maka sudah jelas lagi terang bahawa ia mewakili suara parti.
Persoalannya, apakah tujuan ‘keizinan’ itu turut meliputi ruang peribadatan? Dalam Islam, Allah ialah Al-Khalik, Tuan Punya isi alam ini. Mahukah mereka yang bukan beragama Islam, yang tak pernah menjalani kehidupan sebagai Muslim mengakui hakikat ini? Kemudian, di mana pula kedudukan tuhan-tuhan mereka kalau Allah itu Tuan Punya Alam?
Tuan Presiden juga mengatakan, adalah menjadi tugas kita sebagai Islam untuk menjelaskan tentang ’siapa’ Allah selepas itu, dengan keyakinan bahawa, melalui keizinan tersebut, oran Islam di Malaysia telah melakukan usaha dakwah yang cukup besar, yang harus disusuli kemudiannya dengan usaha penjelasan.
Soalnya, penjelasan yang bagaimana? Adakah melalui pentas-pentas ceramah seperti yang dilakukan oleh ‘daie-daie’ PAS selama ini? Atau akhirnya kembali menjadi bebanan kepada kerajaan pusat? Haji Hadi tentu faham apakah implikasinya, khususnya terhadap akidah umat Islam terutamanya generasi muda jika hal ini berlaku. Poin besar mereka kelak ialah, UMNO sebagai tunjang kerajaan BN yang memerintahlah yang bersalah kerana meluluskan kebenaran tersebut.
Apakah PAS khususnya Tuan Presidennya sendiri, setelah melihat bersama-sama para ‘daienya’ yang lain akan ‘kehebatan’ sahabat-sahabat mereka dari DAP menggunakan kalimah-kalimah suci al-Quran sewaktu di atas pentas ceramah, maka ia adalah bukti jelas tentang penerimaan juga kesediaan bukan Islam terhadap keesaan Allah dengan sebenar-benarnya?
Jika inilah puncanya, maka kita umat Islam bakal menyesali keterlanjuran tersebut. Kita tidak harus lupa bahawa agama-agama lain juga punya teras akidah yang akan mereka pertahankan. Kalau pun Allah dibenarkan digunapakai oleh mereka, apakah keesaan-Nya akan diyakini dan diimani? Mahukah mereka berkompromi seperti kita? Apakah ini yang dikatakan bahawa Islam bakal kembali menjadi agama dagang?
Dalam hal ini, saya teringat akan persoalan yang pernah dibangkitkan oleh seorang sahabat saya melalui ruangan Facebooknya baru-baru ini, iaitu antara mempertahankan kalimah Allah dan mengikuti perintahnya, manakah yang lebih penting? Lebih kurang begitulah bunyinya. Pada saya (yang tidak pernah menggunakan Facebook ini), urusan kedua-duanya sama penting.
Islam datang dengan mengusulkan tauhid, mengesakan Tuhan Rabbul ‘Alamin iaitu Allah Yang Maha Esa. Meski pun ketika itu Allah telah pun diketahui wujud kerana hasil penyebaran agama-agama langit terdahulu, tetapi akibat kecelaruan akidah, akhirnya Allah disekutukan dengan Tuhan-tuhan yang lain. Konsep keimanan masyarakat Arab ketika itu sangat bercelaru.
Hal yang sama akan berlaku kalau kita izinkan kalimah Allah digunakan oleh penganut agama lain di negara ini kerana adalah jelas, kita sebenarnya belum tahu apakah tujuan mereka. Soal kompromi sekali lagi mesti difikir sedalam-dalamnya. Mahukah mereka mengesakan Allah seperti kita, yang bermaksud tiada lagi Tuhan yang selainnya?
Kesannya tentu sekali terhadap perkembangan akidah generasi muda Islam. Kita tentu sekali tidak mahukan perkara ini berlaku apatah dalam situasi sekarang, usaha dakwah yang unggul kelihatan sangat lemah. Tiada daie yang benar-benar unggul selepas Ahmad Deedat. Yang ada kini banyak pula yang berorientasikan politik dan sebagainya lagi. Berceramah pun mahukan bayaran yang mahal-mahal. Apahal?
Justeru pada saya, mempertahankan kalimah Allah tidak harus dibandingkan dengan apa-apa persoalan pun. Jangan sesekali kita menimbulkan isu ini kerana Allah itu Hak, Yang Sentiasa Benar. Jika kita mempersoalkan isu-isu pokok sebegini dengan sewenang-wenangnya, maka dibimbangi akan bercampur baur dengan yang bathil lebih-lebih lagi bila akliah digunakan sebagai pandu hujah.
Rasulullah sendiri mengambil masa yang lama untuk mendidik asas ketauhidan yang sebenar dalam kalangan masyarakat Arab apabila Baginda diamanahkan untuk menyampaikan berita tersebut, sebelum diturunkan segala perintah dari langit tentang itu dan ini kemudiannya.
Semuanya kerana sepotong ayat ithbat yang jelas maksudnya kepada kita semua iaitu Allah itu tidak beranak dan tidak diperanakkan. Maka jika penganut agama lain mengakui konsep ini, gugurlah Tuhan Anak, Tuhan Bapa dan Tuhan Jesus ataupun dewa-dewa dan dewi-dewi yang lainnya, semuanya akan tunduk kepada Allah Yang Maha Esa.
Kalau kita sudah boleh berkompromi dalam hal ini, mahukah mereka juga berkompromi? Saya percaya, satu masa kelak Islam akan jadi satu-satunya agama yang diimani oleh seluruh umat manusia bukan saja di Malaysia, tetapi di negara-negara lain. Tetapi bukan melalui jalan ini. Ia hanya melalui usaha dakwah yang unggul seperti yang telah dijanjikan oleh Rasulullah dan Allah swt sendiri. Ia tugas pemuda-pemuda yang akan membawa panji-panji hitam dan khabar berita tentang saat kemenangan, bukannya membawa bendera PAS dengan slogan-slogan retorik ataupun suara-suara dakwah dan politik sekali gus.
Jadi, PAS tak usahlah berangan selagi anda tidak kembali ke jalan Islam yang tulen dan unggul!!