Tuesday, April 20, 2010

Edisi Khas : Mengapa Kita Menolak Syiah [Bah. 4]

Imamamah dan Imam

Imamah atau khalifah menurut keyakinan Syiah adalah sebahagian daripada ushuluddin, atau salah satu rukun agama. Justeru sesiapa yang ingkar terhadap imamah maka orang tersebut akan menjadi kafir. Imamah menurut Syiah ialah kelanjutan atau kesinambungan daripada Nubuwwah. Pada waktu-waktu tertentu mereka sendiri tidak dapat membezakan antara imamah dan Nubuwwah. Mengikut pegangan mereka, imamah ditentukan oleh Allah sama seperti Nubuwwah atau kenabian. Justeru Syiah percaya bahawa Allah yang menentukan atau melantik orang yang akan memegang peranan imamah sementelah Nabi juga berwasiat kepada orang yang dimaksudkan sebelum baginda wafat.

Jalan pemikiran sebegini pertama kali dicetuskan oleg Abdullah bin Saba’. Maka Abdullah bin Saba’ diikuti oleh orang-orang Syiah dan mereka menyalahkan secara total terhadap tindakan ketiga-tiga Khalifah sebelum S. Ali yang mengangkat imam (ketua/khalifah) melalui jalan pemikiran atau musyawarah kaum muslimin.

Kaedah ini dianggap oleh orang-orang Syiah sebagai melawan atau menentang wasiat Nabi SAW. Justeru mereka menganggap ketiga-tiga khalifah tersebut telah murtad atau kafir dari jalan Islam termasuk juga kita semua kerana mereka percaya, semua pengikut jalan ini (sunnah) adalah kafir hingga ke hari Kiamat.

Padahal, S. Ali, yang diangkat sebagai imam Syiah yang pertama juga sebenarnya terlibat dalam perlantikan dan pemilihan tiga khalifah sebelumnya, dan beliau juga turut membaiah mereka serta tidak pernah menyampaikan tentang adanya wasiat daripada Nabi Muhammad SAW dalam urusan tersebut.

Sejarah juga ada mencatatkan sewaktu beliau diangkat mnjadi Khalifah setelah Uthman dibunuh kejam, beliau mengatakan bahawa orang-orang yang memilihnya adalah orang-orang yang memilih Abu Bakar, Umar dan Uthman. Siapakah yang ditakuti oleh S. Ali? Bukankah beliau itu Asadullah, Harimau Allah? Jika orang Syiah mengatakan S. Ali selama itu melakukan taqiyah, sehingga Al-Quran yang asli, yang sangat diperlukan oleh manusia pun beliau tidak berani mengeluarkannya maka memang jelas nyatalah Syiah sendiri telah menghina beliau, iaitu Imam mereka yang pertama. Jelas nyata jugalah bahawa Ahlus Sunnah Wal Jamaahlah yang sebenarnya yang mencintai Ahlul Bait, bukannya Syiah seperti yang didakwa oleh mereka.

Kedudukan Imam di mata Syiah juga sangat tinggi. Bahkan ada yang menyamakan Imam dengan Nabi di samping beranggapan bahawa Imam lebih tinggi darjatnya daripada Nabi sendiri. Bagi Syiah, Imam adalah segala-galanya. Lihat kenyataan-kenyataan berikut :

  • Imam Syiah adalah maksum, tidak melakukan dosa baik kecil mahupun besar, hatta bermaksud dosa (berniat jahat) juga tidak pernah. Imam tidak pernah melakukan kesalahan dan tidak lupa. Justeru semua yang dikatakan oleh Imam wajib ditaati seperti sabda Nabi. Hakikatnya, konsep Imam sebegini bertentangan dengan realiti sejarah para Imam Syiah sendiri.
  • Imam-imam itu menerima wahyu. Bahkan mereka mengatakan bahawa imam-imam itu tidak bercakap-cakap kecuali dengan percakapan wahyu (Bihar Al-Anwar, 17/155).
  • Seorang Nabi disiksa kerana tidak menerima tawaran wilayah S. Ali. S. Ali berkata : “Bahawa Allah menawarkan wilayah (kedudukan) saya kepada penduduk langit dan penduduk bumi, maka ada yang mengakuinya (menerima wilayah saya) dan ada tidak mengakui. Nabi Yunus mengingkari wilayah saya, maka Allah tahan (penjarakannya) dalam perut ikan sampai Nabi Yunus menerima dan mengakui wilayah saya” (Bihar Al-Anwar, 26/282).
  • Al-Majlisi mencantumkan bab dengan judul : Bab bahawa Imam-imam itu lebih utama daripada para Nabi dan semua makhluk. Para Nabi, Malaikat dan semua makhluk diambil janji setianya (baiah) untuk Imam-imam, dan bahawa sesungguhnya di antara para Nabi ada yang menjadi Ulul’azmi kerana mereka mencintai Imam-imam (Bihar Al-Anwar, 26/267).
  • Ibnu Babawaih berkata : “Seandainya tidak ada mereka (para imam) maka Allah tidak akan menciptakan langit dan bumi, tidak pula syurga dan neraka, Adam dan Hawa, juga malaikat” (I’tiqadat Ibnu Babawaih, h.106-107).
  • Akhirat adalah milik Imam, beliau akan meletakkannya menurut perintah dan kemahuannya, memberikannya kepada orang yang dikehendakinya. Beliau boleh melakukan semua itu dari Allah sendiri.
  • Allah SWT menciptakan syurga daripada nur (cahaya) Hussein (Al-Ma’alim al-Zulfah, h.249).

Nota: Banyak lagi keterangan boleh ditemukan dalam kitab-kitab Syiah seperti Al-Fushulu Al-Muthimah fi Ushulil Aimah, Bihar Al-Anwar, Ushulul Kaafi, Mir’atul Anwar dan sebagainya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...