Followers

Saturday, April 17, 2010

PAS Di Persimpangan.

Saya membesar dalam sebuah keluarga pejuang UMNO yang berjuang sejak daripada zaman awal penubuhannya lagi. Arwah atuk merupakan ulama dan pejuang kemerdekaan yang disegani di tempat saya. Saya juga membesar dalam sebuah masyarakat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang politik tetapi hidup harmoni. Keharmonian inilah yang mendewasakan saya sehingga mengenali apa itu UMNO dan PAS sebelum kemudiannya PKR dan DAP dan lain-lain parti.

Saya mengenali parti PAS secara dekat melalui masyarakat di tempat saya. Untuk ke masjid, saya perlu melintasi sebuah markas yang letaknya hanya beberapa meter saja daripada masjid tersebut. Dari situ, lama-kelamaan, saya mula berfikir, Islam bentuk apakah dalam PAS ini? Azan dilaungkan seiring dengan laungan di masjid saban waktu, jemaahnya pula berketayap putih sama seperti jemaah di masjid dan saya pasti, surah-surah yang dibacakan dan ilmu-ilmu yang dikuliahkan sama seperti yang berlaku di masjid tersebut.

Kemudian, saya mengenali PKR tidak lama selepas mantan Timbalan Perdana Menteri yang begitu saya kagumi dahulu, dipecat. Ketika itu, saya masih belajar di sekolah rendah dalam darjah lima. Cikgu-cikgu masuk ke kelas tetapi lebih seronok bercakap tentang reformasi. Saya ingat lagi, seorang ustaz yang mempunyai seorang anak perempuan yang cantik dan begitu saya minati dan sekelas pula dengan saya, telah ‘dihantar’ ke tempat lain kerana begitu taksub berpolitik, disusuli beberapa lagi siri pertukaran termasuk melibatkan bekas guru kanan sekolah.

Pada waktu itu, yang saya fikirkan ialah, kerajaan dan kementerian pendidikan sebenarnyalah yang zalim kerana menukarkan guru-guru sekolah yang begitu banyak berjasa dan disayangi murid-murid ke tempat lain semata-mata kerana mereka ‘mengajar’ tentang politik dan reformasi kepada budak-budak mentah seperti saya. Kesannya, pelajaran banyak yang terganggu sebelum kami ‘diselamatkan’ oleh guru besar baru yang lebih tegas. Guru-guru lelaki tidak lagi tuang kelas pergi ke kedai kopi di luar sekolah ataupun sibuk bereformasi di hadapan audiens kecil yang tak faham apa-apa seperti kami.

Pada waktu itu jugalah, saya sudah berani nanar memberontak dan membenci pihak kerajaan khususnya parti UMNO. Saya berasakan memang benar apa yang hendak direformasikan. Saya kagum sekali dengan pemuda-pemuda Melayu yang berucap membela Anwar Ibrahim, lebih-lebih kagum dan tersentuh melihat air mata isteri yang membasahi pipi Kak Wan. Saya selalu bertanya, apa salah Anwar dan keluarganya? Kemudian, saya semakin berani ‘berkelahi’ dengan ayah kerana hal tersebut tetapi ayah hanya diam dan langsung tak mengendahkan sebaliknya lebih banyak akhbar dibawa pulang ke rumah termasuk Harakah. Rumah saya juga sering menjadi tempat bersidang orang-orang kuat UMNO kampung. Hal ini ternyata membuatkan saya semakin membenci parti ini.

Pengalaman pilihan raya umum pertama saya ialah pada PRU 10. Ketika ini, banyak yang saya lihat dengan mata kepala sendiri. Reformasi masih kuat bergema dan ketika itu juga wujud kerjasama antara PAS dan ‘syaitan’ atas nama Barisan Alternatif, tetapi UMNO tetap utuh. Saya melihat kesungguhan jentera BN di kampung saya berkerja siang dan malam. Ayah sentiasa pulang lewat tetapi emak tidak pernah bising, sebaliknya turut membantu mengacip poster Ahli Parlimen kami ketika itu iaitu YB Dato’ Raja Ahmad Zainuddin bersama kaum wanita yang lain. Kenapa UMNO masih kukuh? Saya merumuskan, sokongan penduduk kampung terhadap UMNO dan BN belum tergugah oleh gerakan reformasi dan percaturan Tun Mahathir ketika itu ternyata lebih bijak mengatasi serangan pihak pembangkang.

Pada pilihan raya 2004, ketika era Tun Abdullah, UMNO dan BN meraih kejayaan yang besar. Gelombang Biru bahkan hampir-hampir menenggelamkan arus hijau di Kelantan dan berjaya merampas Terengganu semula. Ketika ini juga, orientasi politik saya terhadap pembangkang semakin pudar khususnya selepas melihat sendiri bagaimana jentera PAS berkerja. Saya masih ingat, seorang penyokong kuat PAS (seorang tua) yang sememangnya ‘digeruni’ oleh penduduk kampung bertindak mencabut bendera-bendera BN yang dipacak di sepanjang bahu kiri di sebuah jambatan. Kerana lelaki itu membawa bersama sebilah parang, maka tiada siapa yang berani bertindak. Pihak polis juga hanya membiarkannya saja kerana sudah faham akan sikap lelaki tersebut. Bendera-bendera PAS di bahu kiri pula terus megah berkibar.

Pun begitu, pada pilihan raya umum baru-baru ini, saya tidak dapat ‘bergiat aktif’ kerana sudah terikat dengan AUKU. Tetapi sempat juga pulang pada hari raya tersebut kerana mahu merasai kemeriahannya. Calon Ahli Parlimen dari BN sudah berubah, begitu juga kawasan DUN sudah dipecahkan kepada DUN Selama, DUN Kubu Gajah dan DUN Batu Kurau. Berkat usaha gigih semua pihak, kesemua kerusi dimenangi oleh BN. Ahli Parlimen Larut juga telah dilantik menjadi Timbalan Menteri, satu pengiktirafan selepas sekian lama Larut memastikan kawasan parlimen ini tidak pernah jatuh ke tangan pembangkang.

Namun semakin banyak cerita tidak sedap tentang penyokong-penyokong PAS kedengaran. Antara yang benar-benar mengejutkan saya ialah, pengerusi persatuan belia kampung telah bertukar kapal. Cerita sahih kemudiannya terdedah juga iaitu beliau sudah ‘dibeli’. Tetapi kerana akrabnya hubungan masyarakat kampung, hal ini hanya didiamkan saja. Tak cukup dengan itu, satu lagi ‘insiden’ yang memilukan berlaku apabila sebuah markas penyokong PAS yang dibina oleh kaum India menghidangkan minuman keras. Penyokong-penyokongnya pula ramai yang berketayap dan boleh bertakbir sewaktu berkonvoi atau berkempen. Semua ini berlaku kerana janji yang ditabur oleh calon Ahli Parlimen dari PAS yang juga merupakan bekas orang kuat UMNO sendiri yang kecewa untuk membina kuil Hindu jika beliau menang.

Semua ini semakin ketara mewujudkan persepsi dalam diri saya bahawa PAS hanya menunggang nama Islam untuk meraih cita-cita kuasa mereka. Politik itu kuasa dan ia sentiasa berkaitan dengan kuasa. Tujuan PAS selama ini jelas sekali adalah untuk mendapatkan kuasa. Sudah banyak yang dapat disaksikan apabila kita mahu bercakap tentang proses perubahan yang berlaku dalam PAS khususnya pada alaf baru ini. PAS sendiri wujud atas sifat kecewa, justeru tidak hairanlah jika orang-orang yang kecewa bertindak melampaui batas-batas agama dan budaya meskipun mereka berserban dan berkopiah kerana fitrah orang kecewa sering dicemari hasad, lebih-lebih lagi bila ia bersangkut dengan dendam kesumat.

Kejadian di sebuah masjid di Perak pada hari Jumaat lepas seperti yang dilaporkan oleh media menyerlahkan lagi diri dan wajah PAS yang sebenar. Mungkin keterlaluan untuk ‘menghukum’ PAS kerana ia hanyalah sebuah parti politik yang mempunyai cita-cita dan matlamat. Tetapi tangan-tangan dan suara-suara ahlinyalah yang telah mencemarkan imej PAS. Kita lihat bagaimana mereka begitu ghairah dan seronok meluahkan amarah di hadapan masjid yang merupakan rumah Allah SWT. Kita dapat lihat sendiri betapa tegarnya mereka melunaskan dendam. Semua ini berlaku kerana dalam hati mereka sudah tertanam kukuh perasaan benci, dendam dan amarah yang meluap-luap, baik lelaki mahupun wanita.

Malangnya, mereka hanya berani apabila yang ditentang itu ialah UMNO. Siapa UMNO? Tak lain tetapi bangsa seagama dengan mereka sendiri, yang sama-sama bersolat di masjid tersebut dan masjid-masjid lain di negara ini. Tetapi kenapa meraka hanya berani berhadapan dengan UMNO? Mana suara mereka apabila ‘syaitan’ yang menjadi sahabat mereka berkata bahawa ‘langkah mayat saya dahulu jika mahu wujudkan negara Islam’? Bahkan, mana pergi perjuangan mereka untuk membina sebuah daulah Islamiah? Sudah terkuburkah? Mana pergi perjuangan Hudud dan Qisas bahkan?

PAS seolah-olah sudah teruk ditunggang oleh sahabat-sahabat mereka dalam Pakatan Rakyat. Lihatlah ketika kerajaan PR tumbang di Perak, yang paling lantang ialah penyokong-penyokong PAS malah sampai sanggup berbaring di jalan raya yang tentunya kotor dan hina. Malangnya kuasa yang mereka cuba pertahankan itu bukanlah kuasa mutlak mereka, sebaliknya milik ‘syaitan’ besar yang telah mempermainkan iman mereka selama ini. Inikah perjuangan sebuah parti yang kononnya mendokong Islam? Beginikah contoh teladan yang hendak ditunjukkan kepada daie-daie muda, anak-anak muda dan seluruh dunia Islam?

Dalam isu 1Malaysia dan APCO, jelas sekali PAS sudah keliru dengan teruk. PAS gagal memahami isu ini dengan hati dan minda yang lapang, sebaliknya keras menolak berita yang benar apabila disampaikan kepada mereka. Telur busuk yang dibaling di hadapan masjid itu sebenarnya adalah kebodohan-kebodohan dalam diri mereka sendiri. Tidakkah mereka boleh melihat dengan hati yang waras akan hubungan akrab antara Anwar Ibrahim dan sahabat-sahabat Zionisnya di Barat? Gambar sudah berpuluh didedahkan, bahkan cerita-cerita yang sahih sudah beratus kali didedahkan. Adakah penyokong PAS sengaja membutakan hati mereka? Sudah tentu itu satu dosa yang berat jika benar.

PAS sendiri ibarat menjilat kahak yang pernah mereka ludahkan ke muka calon PR di Hulu Selangor dahulu. Calon tersebut dahulunya pernah menentang keras usaha kerajaan PAS Kelantan menggazetkan Hudud di negeri tersebut sehingga ke peringkat saman-menyaman atas nama hak asasi manusia. Calon itu juga yang pernah ‘membenarkan’ gejala murtad atas nama kebebasan beragama manusia. Hidup calon ini bahkan sangat berbeza dengan amalan PAS, tetapi kerana hari ini beliau berada dalam kem Pakatan, maka PAS memilih untuk ‘menyokong’ calon ini menentang BN yang disifatkan sebagai zalim dan kejam terhadap Islam selama ini. Beginikah wajah sebenar PAS?

Pasti ramai yang faham kenapa calon ini dahulu begitu keras menentang Hudud dilaksanakan di negerinya itu. Mungkin kerana tidak mahu gaya hidup elitis dan liberalnya terkongkong. Tetapi apabila melihat fungsi dan orientasi perjuangan PAS semakin hari semakin longgar dan bernada liberal juga, maka calon ini sudah boleh bermesra dengan parti tersebut. Begitu jugalah PAS, sudah boleh menerima ahli baru ini dalam ‘keluarga majmuk’ mereka. Atas nama politik, semuanya boleh termasuk berpelukan dengan ‘syaitan’.

Saya percaya, masa untuk PAS berubah akan sampai, lambat-laun. Ahli-ahli PAS akan sedar bahawa penglibatan mereka dalam Pakatan Rakyat ialah satu kesilapan taktikal yang perlu diperbaiki. PAS akan lebih kuat dan gagah jika mereka tegas dengan prinsip perjuangan sendiri dan tidak nampak terlalu bergantung kepada sokongan daripada parti lain. Sokongan kepada PAS akan menjadi lebih jitu jika parti ini benar-benar berjuang menegakkan Islam dalam erti kata yang sebenar melalui proses demokrasi yang betul tanpa sebarang bentuk kekerasan dan provokasi murahan seperti yang berlaku pada hari ini.

Saya juga percaya, UMNO tidak pernah mahu bermusuh dengan PAS ataupun menolak Islam dan perjuangannya. UMNO itu Melayu dan Melayu itu Islam. Teras utama UMNO selama ini ialah prinsip-prinsip dan nilai-nilai Islam. Bezanya cuma kerana UMNO tidak meletakkan apa yang dicita-citakan oleh PAS selama ini dalam perjuangannya kerana beberapa keadaan, bukannya bermakna UMNO menolak terus Islam. PAS sendiri sudah terbukti terpaksa bertolak ansur dengan ‘rakan-rakannya’ apabila tiba soal menegakkan daulah dan undang-undang Islam, sedangkan hal ini telah lama dilalui oleh UMNO sekali gus mematangkan parti keramat ini berbanding PAS. UMNO sendiri sebenarnya sudah berjaya menegakkan Islam di negara ini apabila meletakkan ia sebagai agama rasmi federal dalam Perlembagaan Persekutuan. Toleransi beragama yang dibawakan oleh UMNO ini jelas selari dengan tuntutan sebenar dalam Islam.

Seperkara, PAS juga tidak boleh terus-terusan mendabik dada kononnya Islam yang diamalkannya ialah Islam yang syumul sedangkan UMNO itu Islam yang sesat. Rakyat tidak boleh terus dikaburkan dengan pernyataan begini kerana adalah jelas, kualiti iman seseorang bergantung pada nilai takwanya sedangkan, takwa itu ternilai pada neraca timbangan Allah SWT, bukannya PAS. Kita sendiri boleh melihat berapa banyak akhlak dan akidah para penyokong PAS di peringkat akar umbi yang rosak, justeru bagaimana pemimpin-pemimpinnya boleh mendakwa sedemikian? Persoalan akidah tidak harus menjadi modal politik kerana ia bersifat amanah yang mesti dipikul secara dakwah oleh semua umat mukmin, bukannya dipolitikkan di pentas-pentas ceramah sehingga menjadi lelucon pula.

Kepada PAS, kembalilah kepada perjuangan anda yang asal jika benar anda mahu menegakkan Islam. Anda lebih mulia jika istiqamah dengan perjuangan sendiri tanpa bersengkongkol dengan ‘syaitan’ dalam PR.

10 comments:

hafiz said...
This comment has been removed by the author.
hafiz said...

Mu Ni orang selama kei?
jaga2 mika semua menang tipih sangat
kami Batu Kurau still Maintaince

sasha2020 said...

komen yg bernas. Saya sokong penuh dengan komen anda. Bukan saya seorang, malah ramai penyokong PAS sekarang diluar sana keliru dan mengatakan PAS sekarang tak sama dengan PAS dulu. Dulu, pun memang teruk tapi sekarang lebih teruk...

Asas perjuangan dah lari..sekarang hanya jadi boneka dan kuda tunggangan...sedih...inilah akibat berkawan dengan syaithan (DAP dan PKR)

Anonymous said...

tertarik dgn 'markas' PAS..di tempat saya dan di tempat2 lain, banyak markas PAS yang dibina berdekatan dgn masjid..peliklah, mana lebih utama, bersolat di masjid atau markas? harap saudara dpt ulas hal ini

Anonymous said...

kupas lar mengenai sikap orang2 politik yang mengunakn agama untuk kepentingan politik mereka bukan mengunakan politik untuk kepentingan agama.........yup pasal markas pas berdekatan ngan masjid tue mmg per aku nmpk berlaku diseluruh negara rasenyer pastu bley plak semayang kat markas daripada semyang kat masjid padahal dekat jer pun tempatnyer....

rayz said...

harapnya artikel ini akan dpt dibaca oleh semua penyokong2 PAS!!!
semoga mereka cpt2 kembali ke pangkal jalan...

Esperalzi said...

PAS di persimpangan? Saya rasa PAS sekarang ni bukan di persimpangan tapi di roundabout dan berpusing2 tak tau macam mana nak keluar dari roundabout itu!

orang kampung said...

aku sokong pas yang korang ni asyik baca surat kabar ja bila nak taw apa yang berlaku!!!!!!

orang kampung said...

baca la altenatif len bagi terbuka ckit minda yang tertutup tu

Anonymous said...

cuba korang tengok kt tv ada ka kemunduran kt negeri y BN perintah?tak dak kan?smua yang mundur kt negeri pembengkang ja..semua yang teruk kt n.pembangkang..rakyat sekarang bukan bangang dah woi..semua dh celik..aku rasa n.pembangkang lagi maju pa..semua negeri kaya lak tu..tapi media takut nak siar bukan pa takut malu la tu tak tahu nak letak muka kt mana..aku rasa letak kt longkang pun belum tentu longkang nak terima..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...