Monday, April 26, 2010

Masa Untuk UMNO Bermuhasabah Lagi

Apa yang boleh dikatakan ialah, PRK Hulu Selangor telah menunjukkan kuasa orang Melayu telah kembali beraksi dalam kancah pilihan raya.

Pola undi jelas memberikan isyarat kepada semua parti bahawa orang Melayu tetap menjadi faktor penentu kemenangan, dan pada masa yang sama, jangan dilupa DAP dan parti dominan Cina yang lain juga sedang giat mendaftarkan bakal-bakal pengundi muda mereka di seluruh negara.

Jika diambil Hulu Selangor, Bagan Pinang dan Bukit Gantang sebagai contoh situasi ini, maka parti-parti politik tanah air harus segera mempersiapkan jentera pilihan raya mereka untuk memenangi hati orang Melayu dalam PRK-PRK selepas ini (jika ada lagi) sehingga PRU akan datang.

Pun tentu, apa yang berlaku di Hulu Selangor sebenarnya sangat menarik untuk diperkatakan. Walaupun peratus undi Melayu sangat menggalakkan, tetapi alirannya bukanlah kepada calon daripada orang Melayu (PKR) sebaliknya menjurus kepada calon bukan Melayu iaitu daripada BN. Situasi ini jelas menunjukkan betapa sokongan kepada BN telah mula kembali.

Jika dahulu BN diprotes, kali ini undi tersebut telah berbalik dan menjadi protes paling pedih pula kepada pembangkang khususnya Anwar Ibrahim sendiri. Dalam beberapa keadaan, jelas sekali politik gaya Anwar sudah gagal meraih simpati dan strateginya akhirnya diterjemahkan oleh pengundi sebagai tidak laku lagi oleh 1725 pengundi. Majoriti rakyat Hulu Selangor telah menyedari pihak mana yang lebih patut dipilih untuk mewakili mereka.

Dalam hal ini, BN khususnya UMNO sangat-sangat tidak boleh leka lagi dan harus mengatur langkah pantas untuk memastikan orang Melayu kembali kepada BN dan sokongan kaum lain tidak terus lari. Banyak strategi baru perlu difikirkan khususnya apabila melihat kepada kesedaran yang ditunjukkan oleh pengundi muda ketika ini.

Semua parti perlu sedar bahawa pengundi muda bakal menjadi faktor paling ampuh kepada kemenangan masing-masing. Di kampung-kampung, golongan muda sebenarnya sangat jauh daripada akses maklumat yang biasa diperoleh di kawasan bandar. Dalam hal ini, pihak pembangkang telah lama bergerak memenangi hati golongan muda ini. Jentera penerangan mereka sangat hebat berkerja.

Banyak sekali sekali siri ceramah diadakan saban waktu berbanding pihak BN khususnya UMNO sendiri, dan lebih penting untuk diambil maklum, golongan muda sangat diambil berat dan sering diberikan peranan penting oleh pihak pembangkang sekali gus memastikan mereka berasa dihargai dan disedari kehadirannya. Alternatif sebegini agak kurang disambar oleh UMNO berbanding PAS dan PKR.

Sebaliknya, kita masih boleh melihat bagaimana Pemuda UMNO di banyak tempat termasuk di peringkat cawangan terus dengan imej elitis mereka. Setiap kali dianjurkan program, jarang kita dapat bertemu dengan pemimpin yang berimej sederhana sedangkan inilah imej yang mampu menundukkan persepsi golongan muda terhadap UMNO. Bersederhana tidak akan menghilangkan kredibiliti seseorang pemimpin bahkan akan meninggikannya lagi.

Apa-apa pun Hulu Selangor sudah berlalu dan bakal menjadi sejarah dalam siri PRK Malaysia dalam penggal ini. Inilah peluang terbaik kepada semua parti politik khususnya UMNO dan BN untuk meningkatkan keyakinan rakyat terbawah agar kembali memilih perikatan ini dan menolak pembangkang. Banyak lagi yang masih perlu diperbaiki dan langkah kearahnya mesti digerakkan segera.

1 comment:

Anonymous said...

u r rite..apapun kite tggu kputusan makamah..=)))

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...