Sunday, April 4, 2010

Nasib Anak-anak Melayu Di Tangan Menteri-menteri Melayu

Gambar olok-olok

Tidak ada yang lebih menggembirakan apabila melihat PERKASA semakin gagah perkasa dan Utusan Melayu semakin prihatin dengan nasib dan masa depan anak-anak Melayu di negara ini. Kempen Selamatkan Mereka (maaf jika silap) pada saya adalah momentum penting yang akan menggerakkan kesedaran bangsa Melayu, sedikit demi sedikit.

Namun, ketika turun ke Kompleks Bukit Jambul petang tadi bersama teman, saya berasa seperti dipermainkan. Hati menjadi remuk redam melihat ramai sekali anak Melayu yang naik ke pentas, berbaris menunggu giliran, semata-mata untuk merebut gelaran KBJ Idol. Saya tak nampak langsung kelibat anak-anak Cina, India dalam program ini.

Bukanlah niat saya hendak mempertikaikan hak individu dan masyarakat melakukan aktiviti riadah sedemikian, yang legal pula. Tetapi kenapa mesti setiap kali dianjurkan program sedemikian, muka anak bangsa sendiri yang paling terhegeh-hegeh terkial-kial di atas pentas? Sampai bila kita mesti jadi hamba hedonisme? Sampai bila kita mesti jadi hamba eksploitasi? Relakah kita terus-terusan diperguna oleh sistem kapitalis yang hanya mengenyangkan mereka yang sudah kaya-raya?

Barat jahanam kerana dasar dan sistemnya yang gagal. Anak bangsanya pula hanyut dengan kelalaian dan keseronokan yang mereka ciptakan sendiri. Hedonistik mengambil alih kemurnian sistem sosial yang sepatutnya melestarikan kehidupan sejagat. Hari ini, ia sudah merebak ke sini. Yang membawanya siapa? Saya pasti, KBJ Idol bukanlah idea daripada orang Melayu kerana ia melibatkan kos yang besar. Sama juga seperti Akademik Fantasia dan sebagainya lagi. Tetapi atas nama hiburan dan mengetengahkan bakat semula jadi, kita rela diperhambakan dan dipergunakan.

Mungkin sudah sampai masanya Menteri-menteri Melayu di Kabinet mula serius memikirkan nasib dan hala tuju anak-anak muda seperti ini. Usah difokuskan lebih-lebih kepada mereka yang tahap akademiknya cerdik-cerdik dalam peperiksaan besar-besar. Di luar sana, ramai yang sedang hanyut dan hilang arah.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...